SEORANG pelari wanita dari Somalia, Nasra Abubakar Ali mencatatkan rekod baharu dalam acara lari 100 meter di satu kejohanan universiti dunia di China.
Ia bukan rekod yang biasa-biasa. Dengan 'kelajuan' 21.81 saat yang dicapainya, ia dikatakan antara yang paling perlahan di dunia, bahkan pelajar sekolah pun lebih baik daripadanya. Video lariannya tersebar dan ditonton seluruh dunia.
Akhirnya diketahui bahawa inilah hasil nepotisme. Ramai mendakwa Nasra dipilih kerana hubungan persaudaraannya dengan salah seorang pegawai kanan persatuan olahraga negara tersebut.
Memilih saudara mara atau anak pinak, dalam apa keadaan pun, jika tak kena pada tempatnya akan hanya membawa malu. Nasra tidak menang, tetapi namanya disebut orang.
Itu dalam sukan yang sepatutnya hanya yang ahli sahaja dipilih, tapi, dalam dunia politik memilih kaum keluarga sebagai legasi bukan lagi hal pelik.
Politik dianggap kerjaya keluarga, dan dipindahkan kepada anak beranak atau adik beradik yang lain. Ia bukan sahaja budaya di negara kita, malah mungkin di seluruh dunia juga.
Seperti Nasra yang dipilih sebagai pelari pecut 100 meter, ia mungkin tak menimbulkan sebarang masalah jika menang.
Tetapi masalah bakal timbul jika kalah, dan lebih teruk jika dibawanya bersama dengan rekod memalukan.
Tapi, bagi ahli sukan mereka cuma sekadar melakukan tugasan mereka dalam satu-satu kejohanan sahaja.
Politik tak begitu. Mereka ada tugasan yang lebih besar. Memanglah rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat.
Tapi yang terdahulu untuk memilih mereka untuk dijadikan calon ialah parti politik yang ada pula hubung kait dengan jawatan ahli keluarga mereka.
Tidakkah ada orang lain yang berbakat dan boleh diberi peluang?
Tapi antara yang paling lama dan disebut orang ialah 'Dinasti Nehru- Ghandi' di India.
Sejak kemerdekaan pada tahun 1947, keluarga Ghandi menguasai Parti Kongres yang membolehkan mereka menjadi peserta paling dominan dalam politik India.
Sejak Jawaharlal Nehru menjadi Perdana Menteri pertama India, dua lagi keturunan Gandhi juga pernah menjawat jawatan itu, termasuklah Indira Gandhi dan Rajiv Gandhi.
Cuma setelah Parti Bharatiya Janata menguasai kerajaan, terdapat usaha mengekang dominasi keturunan ini.
Rahul Gandhi antara yang terakhir, tetapi kini sebagai pembangkang yang sedang dalam proses mahkamah kerana dikatakan memfitnah Perdana Menteri.
Tapi walaupun keluarga Gandhi mungkin tidaklah mencipta kontroversi yang banyak, malah mungkin juga disukai banyak orang, tetapi kelihatannya nepotisme politik yang paling menyayat hati dapat dilihat dengan apa yang berlaku di Sri Lanka.
Pada tahun 2005, Mahinda Rajapaksa memenangi pilihan raya presiden, dan kemudiannya melantik adiknya Gotabaya sebagai setiausaha pertahanan. Pada tahun 2010, tidak hanya Gotabaya, tetapi ahli keluarga yang lain dibawa masuk.
Malah lapangan terbang baru dibuka dengan nama Mattala Rajapaksa International Airport, namanya sendiri.
Sejak dibuka pada tahun 2013, ia dianggap sebagai lapangan terbang paling sepi di dunia.
Kerana perlembagaan tidak membenarkan menjadi presiden lebih dari dua penggal, tahun 2015, jawatan presiden ditandingi Gotabaya.
Setelah menang, Mahinda dilantik pula menjadi perdana menteri. Sikap boros kedua-duanya, akhirnya Sri Lanka menjadi negara bankrap.
Malah untuk membeli barangan dan keperluan hidup rakyat, negara tiada wang untuk melakukannya.
Sekolah dan pejabat kerajaan ditutup untuk menjimatkan wang. Begitulah hebatnya penangan nepotisme dalam politik.
Pemilihan atlet yang tak berbakat hanya kerana ada kaitan persaudaraan mungkin memberi imej buruk kepada negara untuk beberapa hari.
Tapi memilih ahli politik tak berbakat kerana nepotisme mungkin bakal menyusahkan hidup semua orang.
Itulah pelajaran yang kita semua boleh pelajarinya daripada pengalaman.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca