BULAN ini adalah bulan kemerdekaan Tanah Melayu. Pada awalnya ramai yang sangsi dengan kemampuan rakyat negara ini untuk mencapai hasrat kemerdekaan. Ketika itu, ada pembesar kurang bersetuju orang Melayu menuntut kemerdekaan kerana... Klik di sini untuk terus membaca

BULAN ini adalah bulan kemerdekaan Tanah Melayu. Pada awalnya ramai yang sangsi dengan kemampuan rakyat negara ini untuk mencapai hasrat kemerdekaan.

Ketika itu, ada pembesar kurang bersetuju orang Melayu menuntut kemerdekaan kerana menganggap bangsa ini masih belum bersedia memandangkan dari segi pelajaran dan teknologi, mereka jauh ketinggalan.

Malah beliau mengeluarkan ungkapan menyindir orang Melayu "Untuk membuat sebatang jarum pun masih tidak tahu, sudah ingin merdeka pula”.

Teguran ini mungkin telah menyemarakkan lagi semangat bangsa Melayu untuk bukan sahaja merebut kemerdekaan, tetapi juga menyahut cabaran agar dua faktor yang disebutkan, kepakaran ilmu dan teknologi dapat dikuasai mereka.

Dari perspektif pertahanan negara, penguasaan ilmu dan teknologi adalah antara perkara paling utama bagi menghasilkan kelengkapan atau peralatan yang diperlukan perwira negara terutama dalam usaha menjaga keamanan negara.

Sejak merdeka sehinggalah hari ini, alat utama bagi setiap seorang perwira serta anggota agensi keselamatan, adalah senjata api dan peluru.

Proses pembuatan peluru oleh industri negara ini dipercayai bermula pada 1972 dengan penubuhan firma SME Ordnance Sdn Bhd (SMEO) di Batu Arang, Selangor pada 1969.

Penubuhan firma ini adalah gabungan antara kerajaan Malaysia, firma Dynamit Nobel dari Jerman, Oerlikon Machine Tools dari Switzerland serta dua firma tempatan.

Pada 1974, kerajaan Malaysia mengambil alih SMEO sepenuhnya dan pada 1993, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah mengesahkan bahawa SMEO berjaya memiliki sijil piawaian MS ISO 9002:1991.

Ini secara langsung membuktikan penguasaan ilmu yang bukan calang-calang.

Walau disokong kuat pihak kerajaan, terutama apabila diberi monopoli pembekalan peluru kaliber 9mm yang diguna pakai oleh kesemua agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara, pasca tahun 2000 mula menyaksikan beberapa isu menghantui prestasi firma tersebut.

Pada Oktober 2000 terdapat laporan menyatakan pengeluaran kilang SMEO hanya beroperasi dalam kapasiti 20 peratus keupayaan hakikinya.

Peliknya dalam satu penerbitan dihasilkan oleh Strategic and Defence Studies Centre berpusat di Universiti Nasional Australia pada 2002, pengurusan SMEO menyatakan bahawa firma tersebut berkemampuan antara lain, menghasilkan kira-kira 16 juta butir peluru kaliber 9mm setahun.

Walaupun mendapat monopoli jangka panjang membekal peluru 9mm kepada pihak polis dan tentera, SMEO tidak mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

Menurut penganalisis, peluru buatan firma ini adalah paling mahal di rantau ini, melebihi antara 5 ke 20 peratus dari harga ditawarkan firma lain di pasaran.

Ini berlaku kerana mereka mengimport rod dan plat tembaga serta kapsul peletup yang merupakan bahan utama pembuatan peluru dari Jerman dan Austria.

Selain itu pergantungan kepada monopoli diberi kerajaan mungkin membuatkan pihak pengurusan dan pengeluaran berada dalam zon selesa dan menjadi jumud.

Sejak beberapa tahun lalu, beberapa agensi keselamatan negara mula mencanangkan kesukaran mendapatkan bekalan peluru 9mm dari sumber dalam negara, akibatnya pada 2021 contohnya, Jabatan Imigresen memperoleh 400,000 butir peluru 9mm import.

Pada Mac tahun ini pula pihak Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membeli 50,000 butir 9mm manakala pada Jun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh lima juta butir peluru kaliber sama yang juga diimport.

Ia dipercayai merupakan sebahagian dari kontrak perolehan 10 juta butir peluru dari sumber negara luar.

Alangkah malangnya bangsa Melayu, telah menguasai ilmu dan teknologi dengan anugerah MS ISO, disuapkan pula oleh kerajaan dengan kuasa monopoli, tapi masih gagal untuk berdiri di atas kaki dan kudrat sendiri.

Ini berbeza dengan firma negara jiran yang mampu bukan sahaja berdikari dalam menghasilkan dan membekal peluru 9mm bagi kegunaan pasukan keselamatannya, malah turut mengeksport ke negara luar.

Thailand dengan firma Narac Arms Industry, Filipina dengan firma Armscor, manakala Indonesia dengan PT Pindad.

Mungkin pembesar itu terlepas pandang faktor atau nilai murni tertentu seperti pengurusan bijak, bertanggungjawab dan telus yang telah lesu atau sengaja diabaikan.

Ini menyebabkan walaupun berjaya menguasai ilmu dan teknologi yang lebih tinggi berbanding menghasilkan jarum, ironinya mereka gagal menghasilkan peluru 9mm untuk keperluan keselamatan negara.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca