PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua 22 kerusi Parlimen membabitkan 14 di Kelantan dan lapan di Terengganu, ekoran gelombang hijau atau peralihan sokongan pengundi Melayu kepada... Klik di sini untuk terus membaca

PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua 22 kerusi Parlimen membabitkan 14 di Kelantan dan lapan di Terengganu, ekoran gelombang hijau atau peralihan sokongan pengundi Melayu kepada koalisi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini, sudah tentu ramai ingin melihat adakah gelombang hijau itu akan berterusan di dua negeri itu selepas Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melibatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menampilkan pemerintahan mendahului rakyat.

Sudah tentu, sama ada PN atau PH-BN sedang berusaha bermati-matian untuk menambat hati 1,411,912 pengundi di Kelantan dan 930,894 pengundi di Terengganu melalui poster boy menteri besar masing-masing.

PRN Terengganu melibatkan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen menerusi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu yang dijalankan serentak.

Selaku penyandang kerajaan negeri, pastinya PN akan cuba mempertahankan status quo manakala gabungan PH-BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan turut mengintai ruang kemenangan.

Walaupun sehingga ke hari ini, PN dan PH-BN masih belum menamakan calon menteri besar mereka, namun ada pendapat mengatakan kedua-dua parti itu masih bergantung kepada muka lama atau veteran politik.

Ahmad Samsuri wajar dikekalkan

Mengulas mengenai calon poster boy bagi PN, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berpendapat, nama penyandang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak wajar diketepikan.

"Sudah semestinya PN wajar mengekalkan Ahmad Samsuri sebagai poster boy berikutan pencapaian dan kepakarannya dalam hal ehwal pengurusan kerajaan negeri Terengganu.

"Selain itu, beliau selaku menteri besar dilantik oleh Pas telah berjaya melaksanakan semua manifesto yang dijanjikan dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Pusat atas semangat federalisme, ketokohan serta sikap profesional yang telah ditunjukkan,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas akan mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang yang dimenangi pada PRU14 menentang calon PH daripada Amanah, Suhaimi Sulaiman.

Hussain Yusri turut berpendapat, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said merupakan calon poster boy gabungan PH-BN yang sesuai diketengahkan.

"Ahmad adalah mantan menteri besar dengan kekuatan pengaruh yang tersendiri di Terengganu sekali gus berpotensi memberi cabaran kepada Pas.

"Pada masa sama, beliau juga antara pemimpin yang berani bercakap tentang isu melibatkan kepentingan rakyat dan bertindak sebagai pembangkang yang ingin melakukan perubahan di negeri itu berbanding pemimpin UMNO Terengganu yang lain,” katanya.

Kelantan perlu MB muda

Di Kelantan pula, PN mahupun PH-BN masih ‘membisu’ siapa yang bakal dinamakan sebagai poster boy.

Menariknya di negeri ini, penganalisis politik mengatakan tiada keperluan untuk menampilkan poster boy berikutan PN yang ditunjangi Pas sudah terlalu sinonim dengan rakyat negeri itu selama 33 tahun.

Malah, parti tersebut dikatakan tiada masalah untuk sekali lagi mengekalkan status quo sebagai kerajaan negeri pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, terdapat desas-desus mengatakan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah bakal menggantikan Datuk Ahmad Yakob selaku Menteri Besar.

Pensyarah Kanan Jabatan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Marwan Ismail berkata, jika Mohd Amar dijadikan poster boy bagi PN dalam PRN Kelantan, ia boleh dianggap strategi yang bakal mengundang masalah kepada parti tersebut.

"Walaupun Mohd Amar merupakan seorang tokoh Pas yang agak senior dan berpengalaman, namun era beliau untuk menerajui Kelantan di era revolusi industri 4.0 ini dilihat sudah tidak relevan.

"Kelantan memerlukan sosok tubuh pemimpin kerajaan negeri yang lebih muda, berpendidikan tinggi, berpengalaman serta mempunyai idea yang lebih segar dan mempunyai strategi,” katanya.

Marwan berkata, kem PH-BN ketiadaan calon poster boy di negeri Cik Siti Wan Kembang itu kerana tiada nama besar yang menyerlah untuk ditonjolkan sebagai menteri besar.

"Namun begitu sekiranya PH-BN ingin mengangkat poster boy, satu nama yang boleh diketengahkan adalah calon BN, Amran Arifin yang bertanding di DUN Paloh,” kata Marwan.

Beliau berkata, Amran adalah salah seorang daripada tiga penyandang kerusi DUN di Parlimen Gua Musang yang dikekalkan oleh BN pada PRN kali ini wajar diketengahkan selaku poster boy berdasarkan beberapa kriteria.

"Antaranya, Amran masih muda dan bertenaga serta tidak terpalit sebarang isu kontroversi yang melibatkan integriti atau salah laku semasa menjadi nwakil rakyat di Paloh.

"Malah, perwatakan beliau yang lembut dan sentiasa cakna urusan dan kebajikan rakyat bakal menyerlahkan lagi bakat kepimpinan jika PH-BN terpilih membentuk kerajaan Kelantan,” katanya lagi.

Tambahan pula katanya, Amran juga mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, selain mempunyai latar belakang pengajian Islam yang bersesuaian dengan budaya warga Kelantan.

Bagaimanapun, kata Marwan, gabungan PH-BN di Kelantan boleh dianggap sebagai underdog untuk membentuk kerajaan di negeri itu kerana Pas yang sekian lama mentadbir Kelantan sukar digugat rentetan politik keagamaan diterapkan oleh parti itu telah berakar umbi dalam pemikiran rakyat.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Klik di sini untuk terus membaca