PAS Kelantan setakat ini menegaskan tiada bayangan calon yang akan menjadi menteri besar negeri itu sehingga pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan selesai.
Namun Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi bayangan beliau akan 'bersara' dari arena politik dengan tidak lagi menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti sekali gus memberi isyarat peralihan kuasa bakal berlaku tidak lama lagi.
Pun begitu, timbul khabar angin mengatakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Datuk Mohd Amar Abdullah bakal diangkat sebagai menteri besar yang baharu jika Pas terus diberi mandat mentadbir Kelantan.
Ikuti wawancara wartawan, HAZELEN LIANA KAMARUDIN bersama Mohd Amar bagi merungkaikan khabar angin berkenaan selain cabaran Pas mendepani PRN Kelantan kali ini.
SINAR HARIAN: Walaupun Perikatan Nasional (PN) di Kelantan tidak menamakan calon poster boy namun nama Datuk disebut bakal menggantikan Ahmad Yakob selaku menteri besar sekiranya menang pada 12 Ogos ini. Apa komen Datuk?
MOHD AMAR: Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, berkenaan jawatan menteri besar, pertamanya mestilah dibuat atau dipilih oleh parti terutamanya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Jadi sekarang ini tidak ada sesiapa boleh memandai-mandai untuk menjadi menteri besar. Malah, penyandangnya iaitu Ahmad Yakob sendiri tidak menamakan sesiapa pun untuk menjadi calon menteri besar Kelantan pada PRN ini kerana itu adalah kuasa dan hak Presiden Pas.
Keduanya, ia mesti mendapat perkenan Sultan Kelantan. Jadi semua pihak tidak boleh suka-suka dengan mengatakan parti telah bersetuju.
Bagi saya, cukuplah apa yang ada pada hari ini. Apa yang saya pegang (jawatan) ketika ini amanahnya cukup berat bagi saya nak tunaikan tanggungjawab sebagai timbalan menteri besar.
SINAR HARIAN: Kelantan dan Pas sudah terlalu sinonim 33 tahun bersama dan boleh dikatakan peluang Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) untuk cuba menembusi tembok kebal itu adalah amat tipis. Melihat senario tersebut adakah ini bermakna Pas langsung tidak gusar mendepani PRN kali ini?
MOHD AMAR: Kita setiap masa tidak pernah pandang rendah pada musuh walaupun sudah memerintah 33 tahun. Sebab politik ini macam orang main bola sepak, pasukan yang kuat pun kadangkala boleh kalah.
Oleh itu kita perlu sentiasa bekerja kuat seolah-olah masih lagi pembangkang. Kali ini pun kita gandakan lagi usaha sebab hari ini lawan politik sudah bergabung (PH-BN).
Kalau dahulu kita lawan tiga penjuru, jadi peluang menang lebih besar. Tapi bila PH-BN sudah bergabung, maka itu satu cabaran besar bagi kita dan ada kemungkinan untuk kita kalah di beberapa DUN yang undinya di bawah 1,000.
Cuma berdasarkan mood semasa yang ada ini, kita berasa yakin boleh pertahankan kerajaan sedia ada.
SINAR HARIAN: Sejauh mana Datuk bersetuju dengan persepsi mengatakan rakyat Kelantan tidak kisah pihak lawan memainkan isu kitar semula seperti isu air dan pembangunan?
MOHD AMAR: Orang Kelantan ini cerdik. Pengundi-pengundi di Kelantan ini pandai menilai. Dalam 33 tahun ini, pandangan kita tidak ada isu yang besar sebenarnya boleh digunakan oleh pembangkang.
Sebab itu kita tengok kebanyakan isu itu, saya selalu sebut 90 peratus atau lebih ialah isu lama yang dikitar semula dan orang Kelantan tahu keadaan sebenar.
Macam isu air, rakyat tahu memang ada masalah air tetapi bukanlah seperti yang digambarkan oleh pembangkang dan rakyat boleh terima hakikat ini.
Contohnya di kampung kalau air yang dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ada masalah, penduduk gali telaga sendiri, buat boring (air bawah tanah). Jadi mereka tahu macam mana hendak selesaikan masalah.
Pada pandangan saya, apa yang orang Kelantan mahukan ialah dasar Islam, itu yang ada pada kita (Pas).
Seterusnya mereka hendak sebuah kerajaan yang baik, bersih tiada rasuah, amanah dan ini kita berjaya sampaikan dalam masa 33 tahun.
Dalam masa sama pembangunan pun berjalan. Nak bandingkan dengan Kuala Lumpur, Selangor memanglah tiada negeri yang boleh dibandingkan tetapi dalam 33 tahun ini, semua boleh nampak pembangunan fizikal terus berjalan dan semakin meningkat.
SINAR HARIAN: Berkenaan kemelut melanda Datuk dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz baru-baru ini, adakah ia akan menjejaskan prestasi PN-Pas pada PRN ini?
MOHD AMAR: Saya dan Nik Abduh tiada masalah. Yang bermasalah itu orang lain. Nik Abduh dah jawab dua kali, beliau tidak mahu bertanding dan itulah yang disampaikan kepada parti. Saya sendiri pun tidak ada apa-apa.
Keputusan tentang calon bukan saya yang buat. Kalau nak kata saya yang terlibat menyekat Nik Abduh, kenapa Ahmad Fathan Mahmood penyandang sebelum ini tidak boleh bertanding? Sedangkan dia sepupu saya. Tapi dia digugurkan di Chempaka. Kalau saya yang ada kuasa sepatutnya Fathan tidak akan digugurkanlah.
Jadi kena faham situasi keputusan di tangan presiden. Jadi bagi saya dengan Nik Abduh tiada apa-apa dan kita harap bapa saudaranya sedarlah. Saya percaya dia (bapa saudara Nik Abduh) dapat maklumat salah, ada orang yang memberikan maklumat tidak tepat pada dia.
SINAR HARIAN: Harapan Datuk terhadap pengundi dan rakyat Kelantan untuk PRN kali ini?
MOHD AMAR: Kita harap seperti sebelum ini, rakyat Kelantan akan terus mengundi Pas. Kita minta dan mengharap supaya masih lagi kekal bersama Pas dan berikan kemenangan besar sepertimana PRU15 baru baru ini.
Klik di sini untuk terus membaca