PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sudah ada senarai nama calon menteri besar Kelantan sekiranya parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) berjaya menyekat dominasi Pas di negeri itu sejak 33 tahun lamanya.
Pun begitu, Ahmad Zahid tidak menamakan calon berkenaan sebaliknya menjelaskan senarai itu hanya akan diumumkan selepas PH-BN menang pada pilihan raya negeri (PRN) ini pada 12 Ogos nanti.
Bagaimanapun, ketika ini nama penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Amran Arifin adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai calon.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, HAZELEN LIANA KAMARUDIN bersama Amran yang mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, selain mempunyai latar belakang pengajian Islam yang bersesuaian dengan keadaan politik Kelantan yang kuat dengan pegangan agama dan bangsa.
SINAR HARIAN: Dengan ketiadaan bekas Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dan BN Kelantan setakat ini tidak menamakan calon menteri besar, sebagai antara orang lama parti adakah saudara melihat potensi diangkat sebagai calon poster boy?
AMRAN: Ini satu kejutan buat saya kerana secara tiba-tiba disebut sebagai calon menteri besar. Secara peribadi, saya terlalu naif termasuk dari segi pengalaman untuk sampai ke tahap ini (menteri besar).
Bagaimanapun sekiranya BN menang, urusan pelantikan menteri besar adalah kuasa presiden parti dan pengerusi perhubungan negeri.
BN mengambil pendekatan tidak menamakan mana-mana calon yang bertanding pada PRN kali ini sebagai poster boy kerana tidak mahu mendahului kuasa Sultan Kelantan.
SINAR HARIAN: Pada PRN kali ini, saudara diberi tanggungjawab untuk memastikan DUN Paloh terus dikuasai BN. Adakah ia boleh dianggap sebagai satu tekanan dan cabaran besar?
AMRAN: Tidak ada tekanan dan cabaran besar. Saya sertai pilihan raya untuk memenangkan parti dan kebetulan saya adalah penyandang. Saya juga seorang yang tidak meninggalkan kawasan, maksudnya sentiasa ada dalam kawasan.
Insya-ALLAH saya masuk pilihan raya dengan keadaan bersedia tambahan pula ada kelebihan kerana pencabar dari luar Gua Musang yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
SINAR HARIAN: Apa komen saudara tentang strategi BN mengambil langkah berani menampilkan ramai muka baharu pada PRN Kelantan kali ini dalam usaha menarik sokongan rakyat kepada parti?
AMRAN: Sepatutnya sudah lama BN buat macam ini (calon muka baharu) kerana kita yakin dengan perubahan pola pengundian bila ramai orang muda diberi peluang untuk memilih.
Terutamanya kawasan saya di Gua Musang. Rata-rata pengundi muda hampir 65 peratus di setiap DUN termasuk Paloh. Jadi inilah masanya kita tampilkan muka-muka baharu dan fresh supaya menjadi pilihan terbaik untuk dipilih oleh rakyat Kelantan
SINAR HARIAN: Melihat kepada kekuatan ampuh PN-Pas di Kelantan, adakah BN berpotensi merampas lebih banyak kerusi DUN pada 12 Ogos nanti berbanding PRN sebelum ini?
AMRAN: Atas kertas memang agak sukar tetapi saya yakin dengan qada dan qadar kerana pada saya, orang di Kelantan sudah bersedia untuk menukar kepimpinan Pas di negeri ini.
Bukan kali ini sahaja tetapi dua, tiga PRU lepas pun sudah bersedia untuk menukar kepimpinan tetapi sayangnya orang Kelantan di perantauan gagal melihat hasrat dan keinginan orang di Kelantan yang memerlukan kepimpinan baharu.
Akhirnya bila mereka balik mengundi, kepimpinan Pas kekal kerana mereka beri undi pada Pas dan saya harap kali ini, kesedaran itu wujud dalam kalangan pengundi luar kerana hasil tangan mereka tidak beri kemajuan kepada Kelantan.
Pada kali ini, saya berpandangan rakan-rakan di luar Kelantan seharusnya mempunyai satu sudut pandang yang berlainan kerana kerajaan Pusat telah dipimpin oleh Kerajaan Perpaduan di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai masa empat tahun lebih untuk mentadbir Malaysia.
Jadi jika orang Kelantan di luar nak tengok Kelantan maju, inilah masanya kerana bila kita selaraskan pentadbiran di peringkat negeri dengan memberi kemenangan kepada calon-calon BN-PH, selari dengan Persekutuan, bahasanya mudah, arahannya jelas, pelaksanaan jadi lebih mudah lancar dan insya-ALLAH akan dirahmati oleh ALLAH SWT.
SINAR HARIAN: Selain sokongan kuat terhadap PN-Pas, apa cabaran besar untuk BN dalam usaha memecah dominasi parti yang lebih 30 tahun berkuasa di Kelantan?
AMRAN: Masa akan menentukan kerana penyokong tegar kedua-dua parti ini ada pengaruh masing-masing.
Cuma yang akan menentukan kemenangan ini sudah tentulah orang yang tidak berparti melihat isu-isu semasa dan kali ini senarionya agak berbeza berbanding di peringkat Pusat, isu-isu besar tidak ada banyak berbanding dahulu.
Kerajaan Perpaduan bukan kerajaan UMNO atau DAP. Pada mereka yang dangkal pemahaman politik memang terpedaya tetapi saya yakin dengan tahap pendidikan kesedaran orang ramai hari ini, tidak mudah mereka terpedaya dengan hasutan seperti pilihan calon BN dapat DAP kerana dari segi politiknya, kita sedia maklum kerajaan ini Kerajaan Perpaduan, gabungan 19 buah parti. Bukan hanya antara UMNO dan DAP.
SINAR HARIAN: Apa perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya sekali lagi berjaya mempertahankan DUN Paloh?
AMRAN: Sebagai penyandang saya akan teruskan usaha-usaha lepas seperti membina sebuah balai bomba di Paloh.
Kapasiti penduduk 30,000 lebih dan jaraknya jauh dari Gua Musang sejauh 45 kilometer, ke Kuala Krai pula sejauh 45km dan kawasan ini selalu berlaku kebakaran dan juga kemalangan.
Isu kedua ialah penempatan generasi baharu di DUN Paloh.
Klik di sini untuk terus membaca