BERAPA ramaikah dalam kalangan kita yang mampu menghantar wang ke kampung RM1,000 sebulan, setiap bulan selama berpuluh bulan secara konsisten? Atau kalau tidak dihantar ke kampung pun, mampukah menghantar jumlah yang sama ke bank untuk disimpan secara berterusan?
Saya tidak tujukan soalan ini kepada golongan kayangan atau puak angkasa lepas yang tidak begitu menyedari apatah lagi memahami realiti kehidupan di muka bumi ini. Sebaliknya, ia khusus untuk golongan marhaen macam saya yang makan di rumah harus bersukat, makan di kedai perlu beringat.
Saya bertanya soalan ini kepada banyak orang, namun tiada seorang pun yang mengaku mampu menyimpan atau menghantar ke kampung jumlah tersebut.
Ramai yang kata, kemampuannya setakat seratus atau dua ratus ringgit sebulan, itu pun kadang-kadang. Yang mengaku hantar balik dua tiga kali, kemudian minta balik tiga empat kali pun ada.
"Saya selalunya simpan seribu ringgit setiap kali selepas mendapat gaji dan ia jarang berbaki menjelang gaji yang berikutnya,” ada seorang mengaku demikian.
Untuk makluman, responden-responden tinjauan rambang saya itu datang daripada pelbagai latar belakang, yang makan gaji sehinggalah yang membayar gaji.
Daripada kerani besar a.k.a ketua kerani atau sekarang ini disebut ketua pembantu tadbir di jabatan kerajaan membawa kepada kontraktor kecil yang cakapnya kadangkala mungkin sedikit besar.
Jawapan mereka lebih kurang sama. Alasan mereka pun begitu, gaji tidak cukup, perniagaan merosot, kos sara hidup tinggi, dan kerajaan bla, bla, bla...
Dan itulah bezanya mereka dengan tenaga kerja asing yang mencari rezeki di negara ini. Seorang pengawal keselamatan dari Nepal yang bertugas di Bangi memberitahu, dia menghantar balik RM500 sebulan, jumlah yang sama dengan yang dihantar balik oleh seorang pekerja restoran mamak di Puchong.
Angka itu sebenarnya masih kecil kalau dibanding dengan angka yang diberi seorang pembuat naan dan capati di sebuah restoran di Kajang.
Katanya, dia dibayar gaji RM2,500 sebulan, dan hanya menggunakan RM500 untuk menampung perbelanjaan di sini, manakala selebihnya dihantar balik ke kampungnya nun jauh di Asia Selatan.
Jika rajin, anda jenguk-jenguklah YouTube. Buat carian. Tetapi jangan gunakan kata kunci ‘isteri pengarah’, ‘suami pelakon’, ‘pasangan curang’, ‘ustaz kelakar’, ‘politik terkini’, ‘buat duit sambil tidur’. Sebaliknya masukkan perkataan ‘TKI di Malaysia’ (TKI itu akronim kepada ‘tenaga kerja Indonesia’), ‘Gaji di Malaysia’, ‘Rezeki Indonesia di Malaysia’.
Hasilnya anda akan mendapati terdapat begitu banyak saluran yang menceritakan tentang kehidupan TKI di negara ini. Kebanyakannya kisah-kisah manis tentang kehidupan di Malaysia; tentang peluang pekerjaan dan gaji yang lumayan.
Di situ anda akan temui kisah pekerja kilang, pengait buah kelapa sawit, pemandu lori, buruh bangunan dan sebagainya yang setiap bulan menghantar pulang jumlah wang yang besar ke negara asal. Ada yang menghantar separuh, malah dua pertiga daripada pendapatan bulanannya.
Jumlah yang membolehkan keluarga mereka di kampung bukan sahaja tumpang senang, malah mampu membina rumah agam yang lantainya tujuh lapan kali ganda lebih luas dan lebih cantik daripada lantai flat anak tempatan yang menjadi rakan sekerja mereka di sini.
Dengan realiti itu tidak hairanlah jika dianggarkan puluhan bilion wang negara ini mengalir ke luar setiap tahun disebabkan oleh penggunaan tenaga kerja asing.
Tetapi itu bukan isunya. Isunya ialah kalau mereka boleh menghantar wang kepada keluarga dengan jumlah yang besar secara konsisten, kenapa kita di sini, yang melakukan pekerjaan yang sama, dengan memperoleh pendapatan yang sama jumlahnya atau kadang-kadang lebih banyak, tidak mampu berbuat demikian?
Alasan yang selalu kita dengar ialah orang asing yang bekerja di sini tidak ada komitmen. Mereka hanya perlu bekerja tanpa perlu memikirkan perkara lain. Tidak perlu berkereta kerana tiada anak isteri yang perlu dibawa, tidak perlu menyewa rumah tetapi memadai hanya berkongsi bilik.
Jika ada sakit atau kematian tidak perlu ambil cuti dan tidak perlu ziarah. Jika ada kenduri kendara, tidak perlu hadir, sekali gus tidak perlu hulur ‘sepuluh dua’, dan banyak lagi.
Saya bersetuju. Tetapi saya dapati ramai juga orang kita yang ada kerja, ada gaji, tak ada komitmen sebab tinggal dengan keluarga, tidak pernah peduli soal kenduri-kendara atau sakit mati saudara mara, namun masih tidak mampu menghulur seratus dua kepada keluarga atau kepada bank untuk disimpan.
Kenapa? Saya malas hendak bertanya kerana saya tahu mereka telah bersiap siaga dengan alasannya. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca