MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dapat memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga sekali gus membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.
Beliau berkata, gabungan itu mampu menang lebih 38 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
"Sasaran menang dua pertiga di Selangor realistik," katanya.
Untuk mengetahui sejauh manakah kemampuan PH-BN mampu mempertahankan status quo kerajaan negeri, ikuti wawancara wartawan Sinar Premium, MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI bersama Pengerusi PH Selangor itu baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Kempen PRN kini memasuki fasa akhir, jadi pada pandangan Datuk Seri, sejauh mana peluang PH-BN untuk mempertahankan status quo kerajaan negeri di Selangor?
AMIRUDIN: Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian awal, sekarang PH-BN sedang menuju ke arah untuk menang lebih dua pertiga atau melebihi 38 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, pada PRN ini.
Kita juga masih mendahului dengan jumlah margin selesa biarpun keputusan muktamad hanya akan diperoleh pada hari pengundian, Sabtu ini.
Bagaimanakah sambutan rakyat dan pengundi Selangor terhadap tawaran dalam manifesto PH-BN?
Saya bersyukur kerana manifesto PH-BN bertajuk Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun yang mengandungi 53 tawaran mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat di Selangor.
Malah, cubaan pihak lawan untuk memburukkan imej kerajaan negeri dan menafikan pencapaian ekonomi sebelum permulaan kempen juga tidak berjaya, sehingga mereka terpaksa mengitar beberapa isu lapuk yang sudah dijelaskan secara tuntas dalam sidang DUN Selangor.
Adakah tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang cuba memburukkan imej dan menjatuhkan reputasi pihak berkenaan?
Insya-ALLAH, satu atau dua hari lagi kita dan anak syarikat berkenaan akan menghantar beberapa surat tuntutan kepada mereka yang melemparkan fitnah dan mereka-reka cerita bagi menimbulkan persepsi salah dan memburukkan imej kerajaan negeri Selangor, sebelum ini.
Apa pandangan Datuk Seri mengenai tindakan pembangkang atau Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan isu-isu nasional dalam ceramah dan kempen di Selangor?
Saya percaya pembangkang terpaksa mengitar semula beberapa isu nasional kerana mereka ketandusan idea atau modal atau isu setempat untuk dibangkitkan.
Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, saya bertanggungjawab memberikan penjelasan mengenai pelbagai isu nasional yang dibangkitkan pembangkang biarpun ia sudah diperjelaskan secara terperinci oleh pemimpin Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, sebelum ini.
Perikatan Nasional (PN) mungkin menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor jika berjaya menang di negeri ini Sabtu ini. Sejauh mana Datuk Seri yakin kemampuan Juwairiya Zulkifli menewaskan Mohamed Azmin di DUN Hulu Kelang?
Alhamdulillah, kita mempunyai calon sangat baik, iaitu Juwairiya Zulkifli untuk menentang Mohamed Azmin di Hulu Kelang.
Saya percaya Juwariah mampu mencipta kejutan Sabtu ini berdasarkan momentum dan sambutan baik dari pengundi di semua program dihadiri calon kita.
Saya percaya kita boleh mencipta satu lagi sejarah dan kejutan dengan mengekalkan kemenangan PH di kerusi DUN Hulu Kelang pada PRN kali ini.
Apakah Datuk Seri yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua yang disandang?
Alhamdulillah, setakat ini respons dari pengundi Sungai Tua amat baik dan kita mempunyai beberapa hari lagi untuk menjalankan kempen dan melihat situasi. Insya-ALLAH saya boleh mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua kerana bukan muka baharu di sana namun biarpun menyandang kerusi itu selama beberapa penggal, saya tidak boleh memandang rendah kemampuan pihak lawan.
Selain sibuk dengan tugas Menteri Besar, Datuk Seri juga perlu mengetuai jentera PH di Selangor dan DUN Sungai Tua. Dalam sehari berapa lama Datuk Seri dapat berehat?
Walaupun sibuk dengan tugas Menteri Besar dan berkempen, saya akan tidur kira-kira jam 1 pagi setiap hari dan akan bangun sebelum Subuh.
Selepas sarapan pagi saya akan bersiap untuk memulakan tugas harian dan berkempen seawal jam 9 pagi dan menghadiri program sehingga jam 12.30 malam setiap hari. Setakat ini saya sihat Alhamdulillah, cuma kadang-kadang hilang suara seketika.
Klik di sini untuk terus membaca