SHAH ALAM - Tawaran inisiatif-inisiatif peringkat negeri boleh dijadikan senjata untuk menarik sokongan pengundi menjelang hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini. Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tawaran inisiatif-inisiatif peringkat negeri boleh dijadikan senjata untuk menarik sokongan pengundi menjelang hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, menerusi kempen saat akhir itu juga tawaran-tawaran yang boleh meningkatkan pendapatan golongan luar bandar juga boleh dilakukan di peringkat persekutuan.

Menurutnya, kempen PRN tentunya berbeza dengan PRU kerana bidang kuasa negeri lebih kecil berbanding persekutuan.

"Tidak banyak yang boleh dilakukan di peringkat ini. Namun, dalam kempen saat akhir ini, parti-parti yang memegang kerajaan sementara negeri boleh menambah atau menawarkan insentif-insentif negeri untuk meraih sokongan rakyat.

"Di peringkat persekutuan, tawaran seperti peningkatan eksport untuk menambah pendapatan golongan peneroka, petani dan nelayan boleh dipertimbang.

"Ini agar ia tidak dianggap sebagai gula-gula pilihan raya tetapi pada masa sama menarik sokongan orang Melayu kepada kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, isu-isu terkait dengan 3R juga menjadi peluang menarik sokongan pengundi Melayu.

"Khususnya isu mengenai kedudukan undang-undang syariah di negeri yang menimbulkan kegusaran sebahagian umat Islam,” katanya.

Selain itu ujarnya, tekad untuk memberikan perbicaraan yang adil kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah pasukan pembelaan aktif menunjukkan wujud kecuaian keadilan juga boleh menjadi strategi berkesan pada waktu ini.

"Peluru ini penting untuk memandu hala tuju undi penyokong BN yang rata-ratanya penyokong Najib,” ujarnya.

Jelas beliau, dari segi pendekatan kempen ketika ini PH-BN dan PN memiliki dua pembawaan berbeza.

"Dari segi naratif, kelihatan PN telah mampu mengenal pasti naratif utama iaitu menjadikan enam PRN ini sebagai referendum rakyat menolak kerajaan Persekutuan dan meletakkan PH-BN dalam keadaan defensif.

"Dari segi isu pula, isu utama adalah hal tatakelola sumber nadir bumi di Kedah. Kedua-dua pihak menggunakan strategi ofensif yang agresif,” katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Klik di sini untuk terus membaca