SHAH ALAM - Dianggarkan sebanyak 70 peratus sahaja pengundi yang bakal keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) enam negeri, 12 Ogos ini.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Nordin berkata, walaupun pengundian awal mencatatkan peratusan keluar mengundi tinggi, namun ia tidak mencerminkan perkara sama akan berlaku pada Sabtu ini.
"Ia susulan keterujaan antara Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN adalah berbeza kerana rakyat masih berada dalam keadaan pasif yang mana mereka tidak berminat terhadap elemen politik keterlaluan, melampau dan ganas.
"Keadaan itu membuatkan rakyat bertindak untuk menjauhi politik. Bukan itu sahaja, anggaran peratusan berkenaan (70 peratus) itu dibuat berdasarkan masyarakat kini selesa dengan situasi politik semasa,” katanya pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan undi awal mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menyasarkan perkara sama pada hari mengundi Sabtu ini.
Dalam pada itu, Noor Nirwandy turut menjelaskan bahawa jumlah peratusan pengundian sama sekali tidak akan mencerminkan sama ada ia berpihak kepada mana-mana parti kerana bergantung kepada keterbukaan masyarakat.
Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan mempunyai kelebihan kerana naratif yang dibawa menunjukkan masyarakat kini selesa dan mahukan suasana politik negara stabil dan matang.
Menurut Noor Nirwandy, beliau tidak merasakan PRN enam negeri akan berlakunya undi protes kerana suasana politik dalam negara masih terkawal.