KEJAYAAN menyapu bersih lapan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya menjadi pembakar semangat Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mendepani pilihan raya negeri (PRN) di Terengganu, 12 Ogos ini.
Walaupun PN tidak membuat pengumuman rasmi berhubung calon poster boy namun penyandang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat masih relevan untuk terus mengetuai pentadbiran negeri itu.
Naib Presiden Pas yang juga Pengerusi PN Terengganu itu akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang dimenanginya selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi pada PRU14.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM bersama Ahmad Samsuri dalam menyelami cabaran dan harapan serta keyakinan beliau bersama Pas dalam mendepani PRN Terengganu kali ini.
SINAR HARIAN: Menghampiri PRN Terengganu Sabtu ini, adakah Datuk Seri positif PN-Pas tidak akan berdepan sebarang masalah mengekalkan status quo kuasa kerajaan negeri?
AHMAD SAMSURI: Saya bercakap bukan berdasarkan emosi atau sentimen tetapi berdasarkan apa yang kita lihat di peringkat akar umbi setelah turun meninjau beberapa DUN.
Sebagai strategi Pas peringkat nasional, kita menilai pelbagai fakta dan kaji selidik dijalankan, kita mendapati respons rakyat bukan sekadar untuk mengekalkan status quo kerusi yang ada.
Jika bercakap tentang status quo, kita bercakap tentang 20 daripada 32 kerusi tetapi setelah melihat respons rakyat, itu bukan lagi sasaran kita. Sasaran kita adalah mencapai maksimum 32 kerusi di seluruh Terengganu termasuk satu kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Pada saya ia tidak mustahil berdasarkan keputusan PRU15. Insya-ALLAH saya percaya prestasi kita akan lebih baik berbanding PRU14.
Ada pendapat mengatakan Terengganu adalah swing state untuk PRN ini, namun adakah Datuk Seri yakin sokongan rakyat tidak akan berganjak?
Saya sangat positif kerana ayat swing state itu adalah apa yang berlaku di masa lalu iaitu tahun 1999 dan 2004 kemudian perubahan 2008, 2012 dan sebagainya.
Dengan kedudukan pertambahan pengundi yang luar biasa disebabkan pendaftaran automatik dan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, ia mengubah pelbagai demografi dalam DUN dan Parlimen.
Itu dapat kita lihat dalam keputusan pilihan raya lalu, menjadi satu testimoni bahawa kelompok besar yang baharu masuk sebagai pengundi ini adalah kelompok yang sangat penting dalam keputusan pilihan raya dan kita tidak lagi bergantung kepada kempen secara tradisional seperti mana pada zaman swing state dahulu.
Misalnya, dahulu ada televisyen dan ceramah sahaja, tetapi hari ini semua orang ada dan boleh mendengar. Kini semua memiliki telefon bimbit, cara kempen juga berbeza.
Kita melihat dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif turut bersaing pada PRN ini. Adakah Datuk Seri melihat pencalonan dua veteran politik ini akan mencabar PN-Pas?
Secara umumnya, saya menghormati semua calon bertanding kerana mereka merupakan wakil kepada kelompok masing-masing.
Kita tidak boleh memandang rendah terhadap mana-mana calon walaupun orang biasa termasuk dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) misalnya. Semua mereka adalah wakil parti dan secara peribadi saya menghormati mereka.
Kita menyerahkan mandat kepada rakyat dan berdasarkan rekod yang kita ada berbanding rekod parti lawan, kita lebih yakin akan dipilih rakyat kali ini.
Sebelum ini Ahmad Said mahu mengembalikan pembangunan di Terengganu, apa komen Datuk Seri tentang manifesto ini? Adakah secara tersirat ia menggambarkan PN-Pas gagal membangunkan Terengganu?
Saya sebenarnya berterima kasih kerana beliau berkata demikian. Apa yang menjadi kerja kita selama lima tahun dari 2018 dan terkini, kita menyelesaikan pelbagai masalah melibatkan pembangunan yang dirancang dan dilaksana oleh mereka (kerajaan negeri terdahulu).
Setiap satunya bermasalah, sama ada terbengkalai, berdepan kes mahkamah atau tiada hala tuju yang jelas. Apabila mengambil alih kerajaan negeri, kita menukarkan kembali pembangunan yang dirancang dan dilaksana itu.
Jika kita tidak mengambil alih, pastinya akan timbul masalah. Alhamdulillah pelbagai masalah berjaya diatasi, hanya tinggal beberapa lagi dalam proses untuk diperbaiki.
Sasaran kita pada penggal pertama yang berakhir baru-baru ini adalah menyelesaikan pelbagai isu asas melibatkan pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini dan yang di dalam proses.
Setiap kali pertukaran Menteri Besar, projek sebelumnya ditinggalkan, lalu menyebabkan berlakunya longgokan projek tidak siap dan berdepan pelbagai masalah.
Saya rasa ini adalah politik lama, di mana setiap pemimpin mahu membuat projek pembangunan untuk dijadikan legasi masing-masing. Politik cara lama ini tidak menguntungkan rakyat.
Sekiranya PN-Pas mengekalkan PRN Terengganu, adakah Datuk Seri juga akan kekal sebagai Menteri Besar atau reda sekiranya individu lain yang dipilih menjawat jawatan tersebut?
Saya menyerahkannya kepada parti untuk membuat keputusan. Bergantung kepada siapa yang menang barulah kepimpinan tertinggi parti akan memilih nama siapa yang akan dihantar kepada Ke Bawah Duli Tuanku untuk mendapat perkenan sebagai Menteri Besar.
Sehingga sampai ke saat itu, saya tidak boleh menjawab lagi soalan berkenaan. Saya sangat terbuka kerana saya bertanding pun kerana diarahkan oleh parti dan saya menjadi Menteri Besar juga kerana dicadangkan oleh parti pada tahun 2018.
Apa jua kedudukan selepas ini adalah keputusan daripada parti.
Apakah perkara pertama yang akan PN lakukan untuk rakyat Terengganu sekiranya memenangi PRN kali ini?
Perancangan untuk rakyat Terengganu ini sebenarnya sudah terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang merangkumi pelbagai segmen antaranya kebajikan rakyat, infrastruktur dan pendidikan.
Kita juga menekankan pembaharuan pentadbiran tata kelola agar dapat menambah kecekapan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada supaya lebih profesional dan menyumbang kepada negeri sekali gus rakyat Terengganu.
Selain itu, kita turut mengharapkan penglibatan lebih ramai golongan profesional dalam GLC yang berdaya maju demi mendapatkan hasil maksimum.
Untuk rekod, pada tahun 2022, Terengganu Incorporated yang menjadi payung kepada semua GLC mencatatkan hasil pendapatan terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM1.7 bilion.
Bagaimanapun, kita berharap untuk melipat gandakan hasil supaya dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai jenis insentif.
Klik di sini untuk terus membaca