DATUK Seri Ahmad Said dari Barisan Nasional (BN) sememangnya tidak asing dalam arena politik Terengganu kerana bekas Menteri Besar itu sudah sembilan kali bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tampil sekali lagi untuk mempertahankan DUN Kijal, Pengerusi BN Terengganu itu berdepan tugas getir mengemudi jentera parti untuk merampas semula Terengganu daripada pentadbiran Pas.
Misi itu tidak mustahil berdasarkan rekod kerajaan yang menerajui negeri tersebut sentiasa bersilih ganti di antara dua parti berkenaan.
Sekiranya PH-BN menang pada Sabtu ini, nama Ahmad disebut-sebut menjadi Menteri Besar Terengganu yang baharu.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM bersama Ahmad mengenai peluang PH-BN pada PRN kali ini dan politik di Terengganu yang sentiasa berubah-ubah.
SINAR HARIAN: Apa perasaan Datuk Seri apabila terus diamanahkan untuk mempertahankan DUN Kijal pada PRN ini?
AHMAD: Saya amat bersyukur kepada ALLAH SWT kerana terpilih. Ini merupakan kali ke-10 saya bertanding, sembilan kali untuk kerusi DUN dan sekali untuk kerusi Parlimen (Kemaman) di mana saya mengalami kekalahan.
Bak kata orang, ia diibaratkan mati hidup semula dalam politik kerana apabila kita tewas sebanyak dua kali sebelum ini seperti pada tahun 1999, kita berasa UMNO hampir mengalami nasib sama seperti di Kelantan.
Tetapi apabila Pas gagal melaksanakan tanggungjawab akibat terlalu banyak kelemahan maka UMNO bangkit dengan Gelombang Biru 1.0, kita menang kembali.
Setelah itu, kita kalah teruk baru-baru ini berikutan adanya permainan wang yang begitu besar oleh pihak lawan.
Banyak kali terlibat pilihan raya, tidak pernah saya melihat begitu banyak wang dibelanjakan, seolah-olah berlaku rasuah secara terancang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), selain Pas, Pakatan Harapan juga antara musuh BN tetapi selepas PRU15, BN bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan Persekutuan. Apakah koalisi baharu ini mampu merampas pentadbiran Terengganu?
Di Kelantan, Terengganu dan Kedah, parti dominan di tiga negeri ini adalah UMNO dan Pas tetapi dengan adanya tambahan pakatan iaitu melibatkan rakan dalam PH antaranya Parti Amanah Negara (Amanah), sudah tentu kekuatan akan bertambah.
Insya-ALLAH dengan kekuatan tambahan ini, Terengganu yang dianggap swing state boleh kembali ditawan BN.
Misalnya pada PRU14 lalu, di DUN Jabi kita hanya tewas dengan 55 undi. Insya-ALLAH dengan tambahan beberapa ratus undi dari penyokong PH, kita boleh menang.
Begitu juga di DUN Ajil yang kalah dengan empat undi, kita boleh menang kembali. Sama juga dengan DUN Ladang di mana kita tewas dengan 363 undi.
BN mengatakan tiada calon poster boy di Terengganu, sebaliknya mahu menunggu keputusan PRN. Namun begitu, nama Datuk Seri antara yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar. Apa komen Datuk Seri?
Poster boy itu boleh diumpamakan seperti solekan sahaja, ia tidak penting sebaliknya apa yang lebih penting adalah memastikan kemenangan parti dalam PRN kali ini. Kita mesti bekerja kuat dan saling bersatu hati, pastinya kita boleh mencapai kemenangan.
Selain Datuk Seri, seorang lagi bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut bertanding dalam PRN kali ini. Adakah pengalaman sebelum ini akan memberikan kelebihan?
Sebenarnya rakyat boleh membuat penilaian sendiri walaupun terdapat pihak yang cuba mempersoalkan apa sumbangan saya ketika menjadi Menteri Besar Terengganu.
Sumbangan saya untuk negeri ini termasuklah dalam pembangunan negeri, infrastruktur, pendidikan dan sukan. Antara yang ikonik ialah projek jambatan angkat Kuala Terengganu yang dirancang ketika zaman saya dan Jambatan Pulau Poh di Tasik Kenyir yang baru-baru ini dirasmikan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Selain itu, jalan empat lorong di Rantau Abang, pusat boling dan panggung wayang. Hotel Paya Bunga juga dibangunkan ketika era pemerintahan saya. Projek UTC yang lama terbengkalai dan banyak lagi projek pembangunan. Sekiranya diberi mandat untuk sekali lagi mentadbir, kita mahu membangunkan Terengganu, itu fokus kita.
Datuk Seri berkata, pembangunan sukar dilaksanakan di Terengganu kerana ketiadaan menteri mahupun timbalan menteri dari negeri ini, malah langsung tiada wakil BN atau PH di Parlimen dari Terengganu. Adakah BN mampu memberi jaminan Terengganu akan lebih mudah mendapatkan akses peruntukan pembangunan sekiranya menang?
Kerajaan negeri dan kerajaan Pusat harus seiring dan sealiran. Kita ambil contoh bencana banjir baru-baru ini, apa kerajaan Terengganu buat? Kerajaan Pusat beri RM50 juta, itu pun dikatakan tidak mencukupi, ditambah lagi RM50 juta.
Di kampung saya, sebanyak 500 unit rumah mampu milik tenggelam namun tidak semua menerima bantuan walaupun terletak dalam lot yang sama.
Seterusnya, ketika pandemik Covid-19, kerajaan negeri Terengganu memperoleh RM350 juta, berapa orang yang dapat manfaat? Sebab itu saya mohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat berhubung perkara ini. Kita sudah buat laporan kepada SPRM tentang pendedahan ini.
Untuk makluman, ketika saya menjadi Menteri Besar Terengganu, 18,000 pelajar sebelum meninggalkan sekolah menengah khatam al-Quran, lihat sahaja Tahfiz Imtiaz. Usaha kita adalah mahu melahirkan profesional yang hafaz al-Quran, jika doktor hafaz al-Quran misalnya, inilah yang kita mahu lahirkan.
Kita rancang dan kita buat. Mereka hanya bercakap ketika pilihan raya tetapi kita sudah laksanakan projek pembangunan ketika era saya.
Klik di sini untuk terus membaca