TIMBALAN Pengerusi Parti Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini mengulangi pesanan yang kita dengar di ceramah Perikatan Nasional (PN) di merata-rata tempat bahawa kerajaan Persekutuan boleh ditukar berdasarkan keputusan... Klik di sini untuk terus membaca

TIMBALAN Pengerusi Parti Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini mengulangi pesanan yang kita dengar di ceramah Perikatan Nasional (PN) di merata-rata tempat bahawa kerajaan Persekutuan boleh ditukar berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN).

Sememangnya, undang-undang anti lompat parti tidak menghalang ia berlaku seperti dakwaan beliau.

Persoalannya, bagaimana? Untuk apa? Demi siapa?

Dengan berakhirnya gerakan mengumpul akuan berkanun (SD), kini satu-satunya cara untuk menjatuhkan kerajaan Persekutuan ialah dengan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mencabar pembangkang mengemukakan usul itu pada bila-bila masa saja. Beliau bukan jenis pemimpin yang takut cabaran sampai nak tutup Parlimen dengan mengisytiharkan darurat.

Kerajaan Madani kini mempunyai 147 ahli Parlimen (setelah pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob) sedangkan PN mempunyai 74 ahli Parlimen sahaja. Untuk menjatuhkan Kerajaan Madani, usul tidak percaya perlu 37 orang ahli Parlimen kerajaan untuk berpaling tadah.

Mungkinkah PN dapat bilangan 37 ini? Inilah komposisi ahli Parlimen Kerajaan Madani – PH dan Muda 81 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6), Parti Warisan (3), PBM (1), Parti KDM (1) dan ahli Parlimen Bebas (2).

Dengan pindaan perlembagaan, parti komponen rasmi dalam Kerajaan Madani yang mengikuti undang-undang anti lompat parti, wakil rakyat mereka yang melanggar arahan parti dengan mengundi usul tidak percaya dalam Dewan Rakyat akan hilang kerusi yang disandang.

Maka, cuma ahli-ahli Parlimen Bebas, Muda, PBM dan KDM yang bebas menyokong usul undi tidak percaya.

Kecuali jika kepimpinan BN, GPS, GRS dan Warisan menetapkan untuk keluar kerajaan, mana-mana ahli Parlimen daripada parti-parti ini akan dilucutkan kerusi mereka dan menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

Secara teorinya, impian Faizal Azumu dan yang sewaktu dengannya untuk tukar kerajaan Persekutuan memang boleh tercapai dengan memaksa dan memenangi lebih 30 PRK di seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya separuhnya di Sabah dan Sarawak.

Impian Faizal Azumu juga boleh berjaya jika beliau dapat menghasut ahli-ahli Parlimen yang sewaktu dengan beliau untuk memaksa pimpinan BN, GPS, GRS dan Warisan untuk keluar kerajaan demi mengelakkan huru-hara dalam parti.

Persoalannya, mengapa pimpinan parti, ahli-ahli Parlimen, dan pengundi-pengundi di PRK nanti, terutama mereka yang berada di Sabah dan Sarawak perlu mengikut jari telunjuk PN untuk mentakhtakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Hadi Awang sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan Faizal Azumu serta rakan-rakannya sebagai menteri?

Kerajaan Madani paling menguntungkan Sabah dan Sarawak kerana menghormati negeri-negeri Borneo dan pada masa yang sama juga membawa kestabilan politik.

Mengapa orang Borneo perlu mengambil risiko untuk mengembalikan dominasi ‘Ketuanan Semenanjung’ dalam 22 tahun di bawah Tun Dr Mahathir atau ketidakstabilan dalam 17 bulan di bawah Tan Sri Muhyiddin?

Apa yang dibenarkan tidak semestinya perlu. Penceraian dibenarkan, adakah ini bermaksud semua yang berkahwin perlu bercerai?

Untuk apa dan demi siapa, kita perlu tukar kerajaan Persekutuan? Untuk melantik 70 menteri seperti di bawah Muhyiddin?

Dengan kegagalan terjangka, adakah ini alasan untuk meneruskan kemelut politik?

Faizal Azumu perlu beritahu kita

Kalau baik jangan dirosakkan

Kalau cantik jangan dihodohkan

Kerajaan stabil jangan dijatuhkan

Tamak kuasa jangan dihalalkan

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca