SHAH ALAM - Trend sokongan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan atau gelombang perpaduan semakin meningkat dan mendahului gelombang hijau, 48 jam menjelang hari pengundian Sabtu ini, kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Azizuddin Mohd Sani.
Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat berdasarkan maklum balas positif daripada rakyat mengenai dasar Kerajaan Madani dan agenda yang diketengahkan oleh gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Katanya, PH-BN semakin agresif menyerang pihak lawan berbanding Perikatan Nasional (PN) yang lebih kepada bertahan.
"Saya nampak gelombang merah biru lagi lebat, sebab sekarang ini mereka dalam mood menyerang sekali gus menarik perhatian masyarakat terutamanya pengundi atas pagar. Pengundi muda bawah 40 tahun serta peniaga mula tunjuk sokongan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan.
"Tidak dinafikan berlakunya gelombang hijau sebelum ini namun masuk pilihan raya nampak perlahan. Ini kerana, mereka mengambil langkah bertahan untuk pastikan pengundi asal tidak lari ke parti lain,” jelas Azizuddin.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan setelah lapan bulan Pilihan Raya Umum ke-15 memberikan sedikit kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan khususnya dari sudut politik matang dan tidak keras.
"Ia telah memberikan tempoh bertenang kepada masyarakat untuk memilih pada PRN dengan mengambil kira kestabilan politik negara yang telah terbukti stabil dari segi keselamatan.
"Jadi gelombang kali ini diharapkan dapat menterjemahkan demokrasi sebagai satu kestabilan dan kematangan politik negara,” ujarnya.