APABILA membincangkan isu persaingan dalam perniagaan, saya biasanya akan membangkitkan naratif asal usul kelahiran kita. Kita semua tahu, pertemuan di antara sperma dengan telur yang kemudiannya akan membentuk janin di dalam kandungan ibu.... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA membincangkan isu persaingan dalam perniagaan, saya biasanya akan membangkitkan naratif asal usul kelahiran kita. Kita semua tahu, pertemuan di antara sperma dengan telur yang kemudiannya akan membentuk janin di dalam kandungan ibu.

Sperma yang bertuah itu kena bersaing dengan jutaan sperma lain. Hanya satu yang berjaya. Mungkin kerana kejayaan kita bersaing itu berlaku sebelum roh ditiupkan ke dalam jasad kita.

Dalam realiti semasa kita lupa dan berasa tidak selesa apabila berlaku persaingan dalam pasaran. Walau bagaimanapun, oleh kerana persaingan merupakan lumrah dalam perniagaan, mahu tidak mahu, seseorang usahawan itu kena menerima hakikat.

Amat jarang ada perniagaan yang tidak ada persaingan. Inilah sebabnya mana-mana perniagaan kena ada strategi dan perancangan, yang jelas bagaimana ia boleh menjadi unggul dalam segmen pasaran yang dipilihnya.

Malah, pemilihan segmen pasaran sebenarnya adalah titik penting dalam memilih dengan siapa kita bersaing. Ada segmen pasaran yang sudah dipenuhi dengan pelbagai pesaing dan ada juga segmen yang masih agak sepi. Namun, kesepian itu boleh disebabkan potensinya yang kurang menyerlah.

Setiap perniagaan pula kena menawarkan produk atau perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak para pelanggan. Peniaga perlu serlahkan perbezaan dengan apa yang ditawarkan oleh pesaing. Jika semuanya nampak serupa dan tidak boleh dibezakan, pelanggan akan memilih produk yang paling murah.

Inilah sebabnya mana-mana perniagaan kena mampu membezakan di antara penyelesaian yang ia perkenalkan dengan apa yang dibawa oleh pesaing-pesaing yang lain.

Perbezaan ini memerlukan peniaga menjadi lebih kreatif dan inovatif. Kena fikirkan fungsi atau keupayaan produk yang baharu agar pelanggan nampak produk perniagaan berkenaan bukan sahaja berbeza tetapi mampu memberi lebih manfaat.

Penjenamaan pula ialah proses untuk menanam persepsi yang positif di dalam minda pelanggan agar apabila mereka ada keperluan kepada produk yang kita ada, jenama kitalah yang pertama muncul di dalam kepala mereka.

Inilah sebabnya penjenamaan menjadi aktiviti utama dalam menghadapi persaingan.

Sebenarnya persaingan membawa kebaikan kepada pelanggan. Perniagaan kena berlumba-lumba untuk menawarkan barangan atau perkhidmatan terbaik pada harga yang munasabah.

Ini membolehkan pelanggan memilih mana satu yang kena dengan cita rasa masing-masing. Tanpa persaingan, pelanggan juga yang rugi.

Oleh yang demikian, usahawan kena faham akan realiti pasaran semasa dan tidak boleh menjadikan persaingan satu perkara yang tidak boleh diterima.

Persaingan adalah lumrah perniagaan. Lagi cepat kita menerima hakikat ini, lagi cepat kita fokus membina daya saing perniagaan kita. Itu penting dalam mengekalkan perniagaan kita.

*Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji

Klik di sini untuk terus membaca