SERINGKALI kita melihat ramai ibu bapa menjadikan telefon pintar sebagai umpan untuk melekakan anak-anak di restoran atau di tempat awam. Akibatnya, ramai mengaku tidak mampu mengawal anak-anak yang ketagih bermain telefon pintar.
Prihatin dengan masalah ini, penulis pernah membangkitkan isu berkenaan. Apatah lagi selepas mengetahui kanak-kanak atau remaja Malaysia menduduki ranking ketiga dunia berdasar trend ketagihan telefon pintar.
Kajian tersebut dilakukan sebuah universiti di Kanada, McGill University melibatkan 37,000 responden pada 2017 untuk mengkaji tabiat kanak-kanak atau remaja yang ketagihan telefon pintar.
Kebimbangan penulis kembali berkocak apabila membaca laporan BBC News Jumaat lalu. BBC News menyebut kerajaan China bercadang memperkenalkan peraturan menetapkan semua telefon pintar, aplikasi dan kedai aplikasi membina Minor Mode. Ia untuk menyekat tempoh kanak-kanak menghabiskan masa melayari dan kandungan telefon pintar yang boleh mereka tonton atau baca.
Meskipun masih di peringkat cadangan dan rakyat China boleh mengemukakan maklum balas, ramai percaya ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam hal ini, penulis tabik kepada kerajaan China yang berani bertindak mengawal isu ketagihan telefon pintar. Cadangan pengenalan Minor Mode akan mengehadkan masa kanak-kanak kecil melayari telefon pintar antara 8 dan 40 minit sehari. Had masa akan ditingkatkan kepada dua jam sehari apabila berumur 16 hingga 18 tahun.
Pada November 2019, China turut mengenakan perintah berkurung terhadap permainan dalam talian kepada kanak-kanak bawah umur. Remaja bawah 18 tahun dilarang berbuat demikian bermula jam 11 malam sehingga 8 pagi. Mereka hanya boleh melayari permainan selama 90 minit pada hari bekerja dan tiga jam pada hujung minggu dan cuti umum.
Persoalannya, bolehkah peraturan seumpama ini diperkenalkan di Malaysia?
Penulis mendapati cadangan terbaharu itu menyebabkan saham syarikat berteknologi jatuh menjunam di Bursa Saham China dan Hong Kong kerana pelabur bimbang syarikat seperti Tencent dan Alibaba, yang banyak bergantung pada pendapatan pengiklanan daripada pengguna remaja dan kanak-kanak akan mengalami kerugian besar.
Di Malaysia, kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan 69 peratus remaja ketagih telefon pintar.
Penulis juga mendapati remaja Malaysia ketagihan telefon pintar kononnya kerana takut ketinggalan atau fear of missing out (FOMO). Remaja akan sentiasa memeriksa telefon pintar kononnya untuk mengelak dilabel ketinggalan zaman oleh rakan mereka.
Tidak kurang juga mendakwa melayari telefon pintar untuk menghilangkan tekanan. Dengan bermain permainan, menonton video atau melayari media sosial, remaja mendakwa mereka bebas daripada permasalahan hidup.
Bagaimanapun, kajian SKMM mendapati ketagihan telefon pintar mendatangkan banyak kesan negatif kepada remaja di negara ini. Antaranya prestasi akademik merudum. Remaja yang ketagih telefon pintar sukar menumpukan perhatian di sekolah dan menghadapi masalah kurang tidur.
Sudah sampai masa ibu bapa di negara ini membantu kerajaan untuk mengekang masalah ketagihan telefon pintar. Penulis mencadangkan kerajaan membangunkan aplikasi dan tapak web baharu yang direka khusus untuk kanak-kanak. Ini untuk menggalakkan mereka melayari kandungan berbentuk pendidikan menerusi telefon pintar.
Kesimpulan isu ketagihan telefon sebenarnya telah menjadi masalah global yang turut menyerang Amerika Syarikat (AS) dan benua Eropah. AS seperti sudah mengakui tahap kritikal yang melanda remaja di negara tersebut.
Isu ini akan menjadi kekangan terbesar di Malaysia sekiranya tidak segera ditangani dengan bijak. China telah pun bertindak.
Soalannya, bilakah kerajaan Malaysia akan bertindak?
*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca