MOSCOW - Ketika konflik Rusia-Ukraine makin tegang, Moscow dengan bangga mengumumkan rancangan untuk menghantar misi ke bulan buat pertama kali dalam tempoh hampir lima dekad.
Agensi angkasa Roscosmos memaklumkan pelancaran Luna-25 pada Jumaat bakal menyertai ekspedisi dilancarkan India yang membawa Chandrayaan-3 dan kini sudah memasuki orbit bulan.
Misi pertama sejak tahun 1976 itu bertujuan untuk memulakan dan membangunkan semula program perintis angkasa Kesatuan Soviet.
Selain itu, Presiden Vladimir Putin juga berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama projek angkasa bersama China selepas hubungan dengan Barat semakin keruh sejak kempen ketenteraan dilancarkan ke atas Ukraine pada Februari 2022.
"Pasukan jurutera sedang memasang roket Soyuz di Vostochny Cosmodrome di wilayah Timur Jauh untuk persediaan misi tersebut.
Kapal pendarat berkaki empat seberat kira-kira 800 kilogram itu dijangka mendarat di kawasan kutub selatan bulan.
Selepas Putin menceroboh Kiev pada tahun lalu, Agensi Angkasa Eropah (ESA) menegaskan, ia tidak akan bekerjasama dengan Moscow untuk pelancaran Luna-25 dan misi ke-26 serta ke-27 Moscow.
Keputusan itu bagaimanapun tidak menghentikan pelan asal Rusia yang kini menggantikan peralatan ESA dengan instrumen saintifik buatan tempatan.
Ketika berucap di Vostochny Cosmodrome pada tahun lalu, Putin menyatakan Kesatuan Soviet tetap berjaya menghantar angkasawan pertama ke angkasa lepas pada 1961 walaupun berdepan ‘sekatan secara total’.
Pemimpin Kremlin itu berkata, Moscow akan tetap meneruskan misi ke bulan walaupun berdepan halangan sekatan Barat sebagai respons terhadap kempen ketenteraan di Ukraine.
"Kami dipandu oleh cita-cita tinggi nenek moyang kami untuk maju ke hadapan meskipun menghadapi kesukaran dan sebarang cubaan yang mahu menggagalkan rancangan tersebut,” tegasnya.
Pada Jun lalu, Ketua Agensi Roscosmos, Yuri Borisov bagaimanapun menyifatkan misi itu sebagai sangat berisiko tinggi.
"Ekspedisi itu melibatkan rancangan pendaratan di kutub selatan. Tiada pihak pernah melakukan perkara sedemikian. Kebarangkalian untuk misi tersebut berjaya dianggarkan kira-kira 70 peratus,” katanya.
Berbanding era Soviet, Rusia moden dilihat ‘bergelut’ dengan inovasi dan industri angkasa yang memerlukan pembiayaan tinggi berikutan Kremlin lebih mengutamakan perbelanjaan ketenteraan.
Agensi angkasa Rusia juga masih terlalu bergantung kepada teknologi rekaan Soviet dan berdepan beberapa isu termasuk skandal rasuah dan kegagalan pelancaran.
Selain itu, Moscow mungkin berasa tercabar kerana ia jauh ketinggalan di belakang dalam perlumbaan ke angkasa lepas yang kini menyaksikan persaingan sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China. - AFP
INFO
Ketika misi terakhir ke bulan pada 1976, Luna-24 berjaya membawa pulang sampel tanah daripada permukaan tersebut.
Pada 1957, Kesatuan Soviet pernah menghantar satelit buatan manusia pertama ke angkasa lepas dan disusuli ekspedisi membawa angkasawan pertama, Yuri Gagarin (1961) dan wanita pertama, Valentina Tereshkova di bawah misi solo, Vostok 6 (1963).
Misi Candrayaan-3 dihantar India dikatakan mempunyai protokol berbeza dengan ekspedisi Rusia walaupun kedua-duanya berhasrat mahu menjadi negara pertama mendarat di kutub selatan bulan yang tidak pernah diterokai.
Editor counter: 77 W. 569 Ch.
Klik di sini untuk terus membaca