ASIMILASI antara institusi dan industri maritim untuk membangunkan modal insan yang prolifik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tidak dapat dinafikan.
Kemakmuran bentuk muka bumi di negara kita mewujudkan permintaan asas kepada profesional maritim untuk menguruskan sistem perdagangan dengan berkesan.
Bagaimanapun, integrasi antara institusi akademik maritim dan sektor maritim masih kabur walaupun beberapa inisiatif telah diambil untuk mengurangkan jurang antara kedua-dua institusi ini.
Hasil kerjasama yang kurang jelas antara industri maritim dan institusi akademik perlu ditakrifkan sebaiknya. Kedua-dua pihak harus mengenal pasti implikasi hasil kerjasama antara mereka seperti peluang penyelidikan baharu, melahirkan graduan mahir, mewujudkan kurikulum yang dipacu oleh industri dan akses kepada teknologi baharu.
Kurangnya kepercayaan antara mereka satu lagi batasan dihadapi. Penting bagi kedua-dua institusi itu untuk membangunkan kepercayaan terhadap keupayaan, kepakaran dan komitmen masing-masing tanpa mengambil kira dominasi mereka. Ini boleh dicapai melalui komunikasi terbuka dan telus, saling menghormati dan menggariskan komitmen jelas.
Dengan merapatkan jurang antara piawaian akademik dan industri, kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya mereka mampu dicapai.
Inisiatif satu pihak sahaja juga menjurus kepada jurang antara akademik dan industri. Selalunya, institusi pendidikan maritim akan mewujudkan pelbagai inisiatif untuk menarik pihak industri ke universiti. Sambutan daripada pihak industri adalah kurang untuk bekerjasama secara aktif serta berada dalam landasan sama dengan institusi akademik.
Tidak dapat dinafikan pihak industri mula menabur bakti kepada pihak institusi akademik melalui penyediaan tempat untuk latihan industri serta menawarkan diri sebagai panel untuk forum yang diadakan di universiti.
Tambahan kepelbagaian minat dan persepsi memperbesarkan jurang antara dua pemain utama ini. Industri maritim dan institusi akademik mungkin mempunyai minat, pendapat dan persepsi berbeza.
Penting untuk mewujudkan persekitaran di mana perbezaan ini boleh diakui dan ditangani melalui dialog terbuka, rundingan dan kompromi, dengan tumpuan untuk mencari titik persamaan dan matlamat bersama.
Strategi
Kewujudan platform perkongsian antara industri dan akademia adalah penting. Ini boleh melibatkan pembangunan Memorandum Persefahaman (MoU), projek penyelidikan bersama serta program latihan sumber manusia. Perkongsian ini menyediakan rangka kerja untuk kerjasama berterusan dan memudahkan pertukaran pengetahuan terkini.
Strategi mempromosikan penyelidikan dan inovasi menggalakkan projek penyelidikan kolaboratif antara institusi akademik dan industri maritim. Menyediakan pembiayaan dan sumber untuk inisiatif penyelidikan yang menangani cabaran industri dan menyumbang kepada inovasi perlu digalakkan.
Menubuhkan pusat penyelidikan yang memberi tumpuan kepada kajian berkaitan maritim dan menggalakkan penyertaan profesional industri dalam aktiviti penyelidikan. Sebagai prasyarat, interaksi pelajar-industri perlu dipermudahkan. Contohnya, lawatan industri, kuliah tetamu dan program bimbingan untuk memudahkan interaksi langsung antara pelajar dan profesional industri.
Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bersama perlu dikuatkuasakan. Pusat-pusat ini boleh memberi tumpuan kepada menangani cabaran khusus industri, meneroka teknologi baharu dan membangunkan penyelesaian secara kolektif.
Persekitaran kolaboratif menggalakkan perkongsian idea dan menggalakkan aplikasi praktikal penemuan dalam penyelidikan.
Dengan melaksanakan strategi ini, kerjasama industri maritim dan institusi akademik boleh dipertingkatkan dengan ketara, membawa kepada perkongsian yang lebih produktif, hasil pendidikan dan penyelidikan yang relevan, serta tenaga kerja mahir memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
* Profesor Madya Ts Dr Jagan Jeevan ialah pensyarah Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu
Klik di sini untuk terus membaca