SHAH ALAM - Peratus keluar mengundi, kebolehpindahan undi Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan undi golongan muda merupakan tiga angkubah (variables) utama dalam membuat prediksi kalah menang parti dan calon bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kaji selidik Laporan dan Prediksi Akhir PRN 6 Negeri 2023 oleh firma penyelidikan bebas itu yang melibatkan 2,304 responden di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mendapati, peratusan keluar mengundi sama ada tinggi atau rendah akan memberikan natijah berbeza.
"Semakin panas suhu politik ia akan memangkin jumlah keluar mengundi yang tinggi, namun memandangkan keadaan semasa yang agak sederhana, ianya menjurus kepada peratus yang rendah,” katanya kepada Sinar Premium.
Ujar beliau, hanya kempen di Selangor dan Kedah disifatkan agak panas berikutan pertembungan ketara Perikatan Nasional (PN) dan PH-BN, sementara di empat negeri lain suasana kempen hambar dan 'sejuk'.
"Ini dapat dilihat daripada sambutan ceramah politik setempat, perang bendera dan kempen fizikal sangat minima dan agak hambar, sebaliknya perang sebenar lebih tertumpu di media sosial khususnya di Facebook dan TikTok.
"Selain itu, lambakan kempen yang berpusatkan kepada isu nasional juga menyebabkan isu tempatan mahupun negeri tenggelam,” katanya.
Dengan situasi ini, Ilham Centre mengunjurkan ia akan menyebabkan peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di mana pengundi luar lokaliti atau negeri menyatakan dalam kajian ini berkemungkinan besar mereka tidak pulang mengundi.
"Bagi responden yang mengundi di Terengganu dan Kelantan mereka kelihatan selesa dengan kemenangan besar Pas dalam PRU lalu, dan melihat parti itu akan menang walaupun mereka tidak pulang mengundi.
"Di Selangor dan Kedah pula mengundang keterujaan tinggi untuk pengundi berpartisipasi dalam proses demokrasi kali ini,” ujar beliau.
Seterusnya, faktor kebolehpindahan undi PH-BN menunjukkan terdapat dua senario berbeza antara sikap penyokong parti UMNO-BN dan PH.
"Penyokong PH tidak mempunyai masalah untuk memindahkan undi mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi BN namun sebaliknya pula berlaku di DUN PH bertanding.
"Ahli UMNO atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong PH. Sebanyak 27 peratus dan ke atas menyatakan sukar untuk mereka memangkah logo PH kerana faktor DAP,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dapatan kajian berhubung sikap pengundi BN turut mendapati wujud penolakan ketara akar umbi UMNO dan pengundi "fence sitter” yang mengundi BN sebelum ini terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli UMNO akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden UMNO itu menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN, manakala sebahagian besar agak pasif dan dalam mode tunggu dan lihat.
"Kajian lapangan turut mendapati UMNO bergelut untuk mendapatkan undi orang Melayu antaranya disebabkan faktor dalaman parti. Dapatan di lapangan memperlihatkan akar umbi UMNO terbelah kepada tiga kelompok,” katanya.
Menurutnya, pertama adalah kelompok anti Ahmad Zahid yang menyalahkan beliau atas apa yang berlaku terhadap UMNO ketika PRU15.
"Kedua, kelompok yang tiada masalah dengan Ahmad Zahid tetapi marah UMNO bekerjasama dengan PH. Kelompok ini masih tidak dapat menerima kerjasama tersebut khususnya dengan DAP.
"Ketiga, kelompok yang tiada masalah dengan Ahmad Zahid dan Kerajaan Perpaduan tetapi bermasalah dengan calon di kawasan. Antara penyebabnya ialah calon yang diletakkan bukan pilihan akar umbi serta calon PH bertanding di kawasan mereka,” katanya.
Berikutnya, faktor ketiga yang boleh menentukan kalah menang parti dan calon pada PRN kali ini adalah pola sokongan anak muda.
Hisommudin berkata, keputusan PRU15 lalu menunjukkan pola sokongan anak muda terutama dalam julat umur 18 tahun hingga 25 tahun memihak kepada PN dan maklumat kajian ini membuktikan tiada tanda pergerakan sokongan yang signifikan kepada Kerajaan Perpaduan.
Ini sekali gus bermakna PH akan berdepan cabaran menarik sokongan 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun yang dijangka akan keluar mengundi pada Sabtu.
"Walaupun pelbagai rencana yang dilaksanakan Kerajaan seperti ‘rally’ Program Temu Anwar, Jelajah Kampus, pemberian ewallet Belia RM200 dan sebagainya namun, usaha ini belum cukup menarik minat serta melonjakkan sokongan anak muda secara menyeluruh.
"Golongan muda ini tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka malah tiada istilah undi adalah rahsia. Dan kecenderungan mereka membuat keputusan berbeza berdasarkan demografi, psikografi dan lokaliti,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca