PADA pilihan raya negeri (PRN) kali ini, mentaliti sebahagian pengundi Cina dilihat turut berubah. Sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), pengundi Cina mula menolak Barisan Nasional (BN) yang pernah mereka sokong pada 2004.
Pada PRU14 dan PRU15, parti Pakatan Harapan (PH) telah berjaya mengumpul kira-kira 94 peratus undi Cina. Pada PRN pula, meskipun kebanyakan orang Cina masih menyokong PH, terdapat perubahan ketara dalam mentaliti sebahagian daripada golongan berkenaan.
Pertama, sebahagian pengundi muda Cina. Golongan itu telah kehilangan hangat politik berbanding pada PRU15. Ketika itu, semangat mereka adalah untuk menolak BN yang dipersepsikan sebagai rasuah dan rasis. Mereka mengharapkan sebuah negara yang adil, saksama dan bersih.
Perihal harapan tersebut, mereka berasa hampa dengan polisi-polisi kerajaan PH-BN kebelakangan ini, khususnya melantik mereka yang masih dibicarakan sebagai menteri kabinet.
Sudah tentu, majoriti dalam kalangan pengundi Cina akan memilih PH-BN berbanding Perikatan Nasional (PN). Namun, kini jelas kelihatan sebahagian pengundi muda Cina amatlah kecewa dengan kedua-dua parti tersebut dan kehilangan semangat untuk mengundi di kampung halaman.
Mereka lebih cenderung untuk memberikan peluang kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dilihat sebagai segar dan sepadan dengan generasi mereka. Sekiranya Muda bertanding di kawasan mereka, kumpulan berkenaan akan memberikan peluang kepada calon-calon Muda.
Kedua, generasi lama Cina di luar bandar, khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kumpulan pengundi tersebut adalah minoriti.
Mereka telah hidup di bawah pemerintahan Pas sejak sekian lama. Mereka jarang minum arak dan berjudi, berpakaian konservatif, tidak mendambakan pakaian dengan fesyen terkini dan tidak lagi mengejar kehidupan mewah.
Segala tuduhan ‘ekstremisme’ yang dilemparkan oleh PH terhadap Pas kurang dirasai oleh mereka dan ke-mungkinan besar golongan berkenaan akan menyokong PN.
Ketiga, pengundi ‘anti-BN’ yang tidak berpuas hati dengan kerjasama antara PH dan BN. Jelas pada PRU sebelum ini, PH menyerang BN dengan ‘penyamun’ tetapi kini menubuhkan kerajaan bersama ‘penyamun’ sejurus menghancurkan niat asal sokongan mereka terhadap PH.
Namun, golongan ‘anti-BN’ juga tidak bersetuju dengan polisi PN. Kebanyakan mereka tidak akan mengundi pada hari ini.
Keempat , penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, BN dan ahli-ahli MCA. Golongan berkenaan tidak ramai dalam kalangan pengundi Cina. Sebelum ini, PH menyerang Najib, BN dan MCA sebagai ‘penyamun’.
Sementara itu, penyokong PH menuduh MCA sebagai ‘pengkhianat kaum’ atas dasar-dasar yang dipersepsikan sebagai perkauman seperti tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), kuota bumiputera, sekolah vernakular dan sebagainya.
Kini, DAP-PH sebagai kerajaan gagal membetulkan tuduhan-tuduhan mereka seperti pengiktirafan UEC dan tidak pernah memohon maaf kepada Najib, BN serta MCA atas tuduhan ‘dasar perkauman’. Malah, mereka tidak malu mengambil kredit Najib-BN seperti kerjasama Proton-Geely mahupun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang pernah dikritik PH.
Sebahagian daripada golongan berkenaan masih menyokong calon PH-BN atas semangat parti, namun tidak dinafikan terdapat juga yang tidak akan mengundi atau sebaliknya mengundi PN sekadar untuk melepaskan geram. Bagi mereka, ia hanyalah PRN yang tidak membawa kesan terus terhadap pemerintahan kerajaan pusat.
Kelima, sebahagian pengundi Pulau Pinang. Terdapat golongan pengundi Cina pro-PH tidak lagi menyukai tindakan dalaman DAP kebelakangan ini dengan mencantas pemimpin lama dan masih mencalonkan Lim Guan Eng pada PRN.
Mereka berpendapat ia lebih kepada kepentingan diri daripada kepentingan rakyat. Dengan itu, segelintir pengundi pro-PH telah kehilangan semangat untuk mengundi. Bagaimanapun, majoriti pengundi Cina masih menetapkan sokongan mereka kepada PH-BN berbanding dengan PN.
*Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca