PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini melahirkan hasrat untuk mewujudkan sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini.
Ia bertujuan untuk memastikan golongan tersebut tidak tertinggal dalam arus pendidikan.
Menurut Anwar, ia akan lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.
Mereka yang layak ialah anak-anak yang miskin khususnya yang paling miskin serta keputusan akademik yang tidak memuaskan. Projek rintis itu dijangka dapat dibuka dan beroperasi seawal tahun depan.
Bagaimanapun, timbul beberapa pandangan berhubung cadangan tersebut.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah kewajaran kewujudan sekolah itu akan menyebabkan jurang perbezaan antara pelajar terbabit.
Mereka mengatakan semua pelajar sepatutnya belajar bersama-sama tanpa mengira latar belakang mereka tanpa membezakan antara yang kaya dan miskin.
Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa kerajaan perlu memperkasa dan melabur lebih banyak untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Turut dibangkitkan ialah tentang kos untuk membina fasiliti baharu dan juga kos tenaga pengajar yang terlibat serta bilangan guru yang mencukupi.
Walau apa pun kritikan yang dibuat terhadap idea yang hendak dilaksanakan itu, kita tidak boleh lupa dengan fakta bahawa pada Jun lalu, hampir 30,000 pelajar di dalam negara tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malah fakta seramai 70,000 calon tidak layak untuk mendapatkan sijil tersebut amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang remeh.
Bukan sahaja pelajar tersebut mengalami kerugian pada masa depan malah negara juga akan kehilangan bakat-bakat terbaik dalam sektor pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja profesional dan mahir.
Apa yang dapat disimpulkan mengenai penubuhan sekolah khas itu mungkin ada kaitan dengan hasrat Perdana Menteri untuk menyambung semula kesinambungan yang pernah beliau lakukan 53 tahun yang lalu ketika menjadi pemimpin pelajar.
Anwar telah menubuhkan Yayasan Anda Akademik (YAA) di Jalan Stony, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang dibantu oleh seorang ahli perniagaan, Daud Seman.
Nama Yayasan Anda merupakan hasil gabungan Anwar dan Daud yang bertujuan membantu memberi peluang kedua kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran mendapatkan pendidikan.
Operasi YAA terdiri daripada sukarelawan dalam kalangan penuntut universiti, pegawai kerajaan dan pensyarah.
Ribuan pelajar mendapat manfaat daripada program tersebut berjaya mendapat kejayaan dalam bidang akademik dan akhirnya peluang kerja yang lebih baik.
Justeru itu, apa sahaja usaha untuk memperjuangkan pendidikan anak bangsa perlu mendapat sokongan yang paling kuat.
Sudah terbukti ramai dalam kalangan pelajar miskin ini ada permata yang amat bernilai tinggi dan perlu digilap dengan baik.
Kita tidak mahu permata ini tenggelam berbanding pelajar lain yang lebih bernasib baik dalam kehidupan mereka dan mendapat peluang untuk ke menara gading serta pekerjaan bergaji tinggi.
Berikanlah peluang kepada anak-anak yang paling miskin ini untuk mengubah kehidupan mereka dan keluarga.
Melabur untuk pendidikan bukanlah satu kerugian kepada negara sebaliknya ia memberikan pulangan dari segi modal insan malah kerajaan juga akan mendapat balik dalam bentuk cukai pendapatan yang lebih besar.
Oleh yang demikian, kita berharap hasrat dan cita-cita untuk mewujudkan sekolah tersebut dapat dijayakan.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca