"DALAM perjalanan ke Kyoto, kereta api itu membawa Tunku Abdullah melepasi Hiroshima – sebuah bandar yang musnah sepenuhnya dengan semua bangunannya hancur berkilometer di sekelilingnya. "Ia adalah pemandangan yang mengagumkan dan... Klik di sini untuk terus membaca

"DALAM perjalanan ke Kyoto, kereta api itu membawa Tunku Abdullah melepasi Hiroshima – sebuah bandar yang musnah sepenuhnya dengan semua bangunannya hancur berkilometer di sekelilingnya.

"Ia adalah pemandangan yang mengagumkan dan menakutkan. Orang ramai hanya diberitahu bahawa sebiji bom besar telah dijatuhkan. Dia berharap rakannya, Syed Omar dan Nik Yusof telah melarikan diri.”

Begitulah Tunku Halim mengenang kembali bagaimana ayahandanya (dan datuk saudara saya – anak bongsu Yang di-Pertuan Agong pertama) menyaksikan kemusnahan bom atom di Hiroshima, digugurkan minggu ini, 78 tahun lalu.

Tunku Abdullah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum perang tetapi selepas pendudukan Jepun (ekoran pencerobohan mereka yang bermula di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Disember 1941, sebelum serangan ke atas Pearl Harbor), mereka menghantar sekumpulan orang Malaya untuk belajar di Jepun di bawah Lingkungan Kesemakmuran Asia Timur Raya (Greater East Asia Co-Prosperity Programme) mereka.

(Kisah yang lebih lengkap terdapat dalam biografi Tunku Abdullah yang diterbitkan semula – A Prince called ‘Charlie’. Tunku Abdullah bersama Raja Nong Chik dan Raja Shaeran Shah memilih bidang pertanian tetapi dua rakannya yang lain mengambil bidang pendidikan di Hiroshima.

Malangnya, mereka terbunuh oleh bom tersebut. Nik Yusof akibat melecur sejurus selepas letupan dan Syed Omar lima hari kemudian akibat kesan radiasi yang mengerikan.

Seorang lagi warga Malaya, Abdul Razak Hamid terselamat – "Semuanya diratakan. Seolah-olah seribu taufan melanda seluruh negara. Saya tertanya-tanya jika itu adalah kiamat,” katanya.

Kemudian, beliau menjadi ahli akademik, diberi nama jolokan ‘Razak-sensei’ dan mengetuai Dasar Pandang Ke Timur Malaysia bersama Jepun.

(Individu-individu ini juga mempunyai pertalian keluarga yang menarik. Anak Datuk Abdul Razak, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak kini Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Saudara perempuan Syed Omar Mohammad Alsagoff ialah Sharifah Azah, wartawan yang juga isteri kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, selain merupakan ibu bapa Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara, mereka berdua mempunyai hubungan lebih luas dengan Arab Hadrami dan Rogayah Hanim Uthmaniyyah seperti yang ditulis oleh Syed Farid Alatas).

PERDEBATAN MORAL

Tayangan filem Oppenheimer baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan tentang moral membangunkan dan menggunakan bom atom (walaupun suapan YouTube kini cuba mengajar saya tentang fizik nuklear juga).

Hujah utama penggunaannya adalah bom atom memendekkan peperangan, sekali gus menyelamatkan nyawa rakyat Amerika dan Jepun.

Walaupun sejarawan berbeza pandangan sama ada jumlah mangsa yang dianggarkan oleh bekas Presiden Herbert Hoover, Jeneral Douglas MacArthur dan laksamana Amerika Syarikat (AS) yang saling bersaing adalah tepat.

Bagaimanapun, rakan-rakan terpelajar saya yang menonton penderitaan J Robert Oppenheimer seperti dilakonkan oleh Cillian Murphy – "Saya rasa saya bertanggungjawab atas kematian yang berlaku,” katanya kepada Presiden Harry Truman – sebulat suara dalam berhujah bahawa ia tidak betul dari segi moral mahupun dari segi ketenteraan.

Dari segi perasaan ingin tahu mengenai sejarah, terdapat perspektif lain untuk kita juga. Sekiranya perang berlarutan, keadaan pasca konflik di Tanah Melayu mungkin amat berbeza.

Tidak syak lagi bagi kebanyakan orang akan ada kesukaran hidup yang berterusan, disebabkan keadaan ekonomi yang amat teruk dan kekejaman Kempeitai.

Sebaliknya, mungkin penentangan tempatan terhadap Jepun, dengan komponen sayap kiri yang ketara boleh menang sebelum kembalinya British, menetapkan politik pasca perang ke dalam trajektori yang sama sekali berbeza.

Malah, dengan kepimpinan dan keutamaan geopolitik yang berbeza, berkemungkinan Malaysia mungkin tidak terbentuk sama sekali! Hari ini, Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang ditandatangani pada 1995 oleh negara anggota ASEAN memastikan rantau ini bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran lain.

Namun, dengan persaingan kuasa besar yang wujud di mana-mana, pengajaran tentang kengerian perang termasuk kesan senjata nuklear harus tetap diajar di sekolah.

Pada masa ini, tiada negara ASEAN yang menjana kuasa nuklear. Malaysia sebenarnya mengkaji kemungkinan penjanaan kuasa nuklear pada 2010-an tetapi memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Namun, sesetengah pakar tenaga berpendapat ia perlu dipertimbangkan terutama sebagai sebahagian daripada strategi ke arah tenaga hijau – walaupun sebahagian lain berpendapat melabur dalam tenaga boleh diperbaharui adalah satu-satunya jalan ke hadapan.

(Mungkin, satu-satunya masa reaktor nuklear berada di rantau ini ialah apabila kapal induk pesawat udara (aircraft carrier) berkuasa nuklear AS berlayar merentasi ASEAN seperti dilakukan oleh USS Theodore Roosevelt pada 2018).

Sementara itu, tragedi yang menimpa rakyat Malaya yang terkorban dalam peperangan perlu diingati, sebagaimana pengajaran lebih luas disebabkan oleh pengalaman konflik, penjajahan, politik serantau dan kesannya terhadap sains serta moral.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

Klik di sini untuk terus membaca