SYDNEY - Lebih 50 ekor paus pilot yang ditemui mati selepas didapati ‘sengaja’ terdampar di sebuah pantai di Barat Australia masih menjadi misteri, dengan pihak berkuasa bertungkus lumus mencari punca haiwan mamalia itu bertindak sedemikian.
Sebelum kejadian, hampir 100 ekor paus pilot ekor panjang dikesan di perairan cetek di luar perairan Pantai Cheynes yang terletak kira-kira 400 kilometer di tenggara Perth.
Bagaimanapun, 50 daripadanya ditemui mati walaupun terdapat usaha dilakukan sukarelawan dan kakitangan dari pada Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Negeri untuk membawanya ke perairan dalam.
Malah, sukarelawan kayak yang membantu menolak mamalia tersebut melepasi batu di sepanjang pantai tersebut turut akur apabila ia mati walaupun sudah melakukan cara terbaik untuk menyelamatkannya.
Seorang jurucakap Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Negeri menyuarakan perasaan terharu apabila ratusan sukarelawan datang membantu mereka menyelamatkan mamalia tersebut.
"Keutamaan kami untuk memastikan keselamatan kakitangan dan sukarelawan serta kelangsungan hidup paus tersebut.
"Zon menjadi lokasi paus terdampar mempunyai banyak bahaya termasuk jerung, ombak ganas, jentera berat dan kapal yang lalu-lalang di kawasan ini,” katanya.
Kejadian ikan paus pilot terdampar di Australia dan New Zealand bukan perkara yang luar biasa.
Hujung Oktober lalu, sekurang-kurangnya 500 paus pilot ditemui mati apabila mamalia itu terdampar di pantai terpencil di Kepulauan Chatham di New Zealand.
Namun, perkara paling membingungkan ialah saintis juga tidak memahami sepenuhnya mengapa haiwan itu terdampar dengan begitu banyak atau secara berkumpulan.
Terdapat rumusan bahawa paus berkenaan berkemungkinan sesat dan akhirnya terdampar di pantai yang cetek.
Saintis mamalia marin di Project Orca, Bec Wallard berkata, sebab utama ikan paus terdampar masih tidak diketahui sehingga hari ini.
"Kami masih tidak mengetahui mengapa ia terjadi. Jika ada sebabnya, mungkin kami boleh melakukan sesuatu untuk menghalangnya berlaku,” katanya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca