PADA 6 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Batik Air telah dipilih sebagai pengendali penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken,... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 6 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Batik Air telah dipilih sebagai pengendali penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken, Istanbul.

Batik Air ini adalah milik Indonesia, anak syarikat kepada konglomerat penerbangan Lion Air, sementara Sabiha Gocken pula dimiliki oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Perkhidmatan tersebut dijadualkan bermula Oktober ini. Sabiha Gocken merupakan lapangan terbang antarabangsa kedua bagi bandar raya Istanbul.

Anwar membuat kenyataan tersebut di laman media sosial beliau setelah mengadakan persidangan atas talian dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Cerita pelaburan MAHB dalam lapangan terbang Turkiye bukanlah baharu. Ia bermula sejak 2008. MAHB dipilih membangunkan lapangan terbang baharu itu kerana Turkiye mengiktiraf kepakarannya dalam pembinaan dan pengurusan kemudahan udara, bermula dengan KLIA.

Yang saya rasa lebih perlu didalami dan difahami adalah transformasi Batik Air menjadi syarikat penerbangan besar di Malaysia.

Batik Air ini adalah syarikat penerbangan milik bersama Malaysia-Indonesia.

Ia merupakan anak syarikat kepada konglomerat penerbangan Lion Air dan pelabur Malaysia. Ia dilancarkan pada 2012 sebagai Malindo Air oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang menimbulkan tanda tanya, kenapa kerajaan Najib beria-ia menggalakkan penubuhan Malindo Air, sedangkan sebagai syarikat penerbangan tambang penuh, ia bersaing terus dengan Malaysia Airlines tetapi tidak banyak mengganggu operasi AirAsia.

Pada mulanya, Malindo Air dimiliki bersama oleh Lion Air (49 peratus) dan National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI) sebanyak 51 peratus. NADI ialah syarikat dengan majoriti sahamnya dimiliki kerajaan Malaysia.

Kita juga ingin tahu apa yang terjadi kepada pelaburan kerajaan melalui NADI dalam Malindo Air sebelum pemilikannya disusun semula dan dijenamakan sebagai Batik Air? Untung atas rugi atau lesap begitu sahaja.

Yang pernah dilaporkan adalah pengurangan saham NADI dalam Malindo Air daripada 51 peratus kepada lima peratus pada 2017.

Pegangan yang dilepaskan NADI itu dilaporkan diambil alih oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy.

Dalam perkembangan lain, amaran mengenai bahaya terlalu bergantung kepada pelaburan besar dari China mungkin telah mula menjadi kenyataan.

Laporan media massa tempatan dan antarabangsa menyatakan pemaju hartanah raksasa China, Country Garden Holdings telah gagal membuat pembayaran sebanyak AS$22.5 juta (kira-kira RM125.8 juta) ke atas dua bon dolar bulan ini.

Mungkir janji Country Garden itu dibimbangi akan menjangkiti hutang sukuk RM1.5 bilion yang diambilnya di Malaysia sekitar 2015. Hutang itu diambil atas nama anak syarikatnya, Country Garden Real Estate Sdn Bhd (CGRE).

Syarikat inilah yang memajukan projek raksasa Forest City di Johor.

Melalui program hutang tersebut, CGRE menjual sukuk RM1.5 bilion itu kepada pelabur tempatan dan antarabangsa termasuk bank serta syarikat insurans Malaysia.

Forest City yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM450 bilion itu adalah usaha sama antara Country Garden dengan Sultan Johor atas nisbah 66:34.

Dari sudut berasingan, orang Melayu-Islam di Malaysia bangga dengan perbankan Islam, perniagaan patuh syariah dan persijilan halal tetapi realitinya yang banyak mengambil kesempatan serta meraih keuntungan ialah usahawan bukan Melayu dan bukan Islam, sedangkan sebahagian modal untuk melabur dalam ekonomi syariah datangnya daripada orang Melayu miskin.

Merekalah yang menabung dengan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sebagainya.

Ia adalah antara manifestasi ketidakberdayaan ekonomi dan intelektual orang Melayu-Islam di Malaysia walaupun pelbagai dasar serta rancangan khas telah dilaksanakan.

Kini dicadangkan pula sekolah khas untuk anak orang miskin yang pastinya Melayu-Islam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca