SUHAIMI Hj Muhammad, penyair mapan Malaysia a.k.a Sasterawan Perak pertama, telah menulis sepanjang hayatnya bermula tahun 1950 dan terhenti apabila meninggal dunia pada 3 Januari 2014 ketika berusia 80 tahun.
Dilahirkan pada 1934 di Kuala Kangsar, karya awalnya bukan sajak tetapi cerpen berjudul Korban Lantaran Ayah (majalah Mutiara, Disember, 1950). Suhaimi telah menghasilkan 2,000 sajak, secara purata 33 kuntum setahun atau kira-kira tiga kuntum sajak sebulan.
Tiada seorang pun penyair tanah air yang mampu menyaingi prestasi Suhaimi dari segi kuantiti kumpulan sajak. Memiliki 33 buah kumpulan sajak bermula Jalan ke Kota (Pustaka Remaja: 1959; 72 hlm) sehingga Denyutkan Jantungmu (DBP: 2010; 279 hlm). Kebanyakan kumpulan sajaknya dicetak secara swaterbit di samping beberapa rumah penerbitan.
Contoh kumpulan sajaknya yang diterbit sendiri ialah Siluet (Suhaimi Enterprise: 1984), mengandungi hanya 23 halaman manakala As-Salam (2006) dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ketebalannya 495 halaman, merupakan kumpulan sajak Suhaimi yang tebal sekali.
Di samping itu, sajak-sajak Suhaimi turut dimuatkan ke dalam 27 buah antologi bersama-sama penulis-penulis lain. Ini bermakna sajak-sajak Suhaimi itu dianggap penting dan perlu dibukukan.
Kehebatan Suhaimi menukangi sajak telah dihidu oleh akhbar Harian Singgalang, Sumatera Barat, Indonesia (20 Oktober 1982) menerusi tulisan Harris Effendi Thahar yang mengatakan, Suhaimi seorang penyair yang amat subur (prolifik) dan konsisten dalam kepenyairannya.
Tambah Harris, Suhaimi menulis sajak bagaikan ibadah sehari-hari – sentiasa resah mencari rahsia kehidupan.
Seperti yang disebut mula tadi, sajak bukan karya pertama beliau tetapi bermula dengan cerpen. Dalam genre cerpen, Suhaimi mampu melahirkan tiga buah kumpulan perseorangan, antaranya Soliloguy (Fargoes: 1976; 176 hlm) dan Kota Kemenangan (DBP: 1989; 184 hlm) manakala sebanyak empat buah cerpen eceran dimuatkan dalam beberapa antologi, antaranya Sebuah Impian (Penerbitan Pena; 1979 ) dan People on the Bridge (DBP: 2001).
Buku esei kritikan sastera yang diterbitkan ialah Prosa Nyanyi Sunyi (Toko Buku M. Haliza: 1973; 36 hlm) dan Dilema Kesusasteraan Melayu Moden (Fargoes: 1976; 352 hlm) namun sebanyak 89 buah artikel mengenai isu sastera yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa (DB) dan Dewan Sastera (DS) seperti 'Penyair di Malaysia Harus Membangunkan Peribadi Sendiri' (DB, Februari 1959; 72-83) dan 'Saya, Keyakinan dan Kesusasteraan' (DS, April 1998) belum dibukukan.
* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)
Pendidikan
Tulisan kata pengantar dalam antologi sajak turut disumbangkan oleh Suhaimi sebanyak sepuluh buah, antaranya dalam kumpulan puisi Sabar Bohari berjudul Api Cinta (Tra-tra Publishing: 1983; 85 hlm) dan Zikir: Mencari Keredaan Allah: Taman Taqwa (DBP: 2009; 222 hlm).
Sepanjang hayatnya, Suhaimi sempat mengarang beberapa naskhah skrip drama teater, antaranya termuat dalam antologi Asar Belum Berakhir (DBP: 1984) dan Di Atas Pentas (Tra-tra Publishing: 1984).
Suhaimi yang mula bersekolah di Kuala Kangsar pada tahun 1940 dan lulus peperiksaan darjah enam serta sijil persekolahan agama terus ditawarkan jawatan guru di Kamunting (1950) kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Sungai Setar, Parit Buntar.
Alumni Sultan Idris Trainning College (SITC), Tanjong Malim ini pernah mengajar di Sekolah Melayu Padang Empang, Kuala Kangsar pada 1955.
Ketika mengajar di Sekolah Melayu Tanah Kebun, Parit Buntar, Suhaimi belajar tajwid al-Quran di samping bersekolah petang di Sekolah Inggeris Methodist, Nibong Tebal, Seberang Perai dan di Sekolah Methodist, Parit Buntar. Tahun 1966 memperoleh Overseas School Certificate (OSC) dan Malaysian Certificate of Education (MCE), beliau kemudian menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di Sekolah Anderson, Ipoh tetapi tidak sempat menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) kerana jatuh sakit dan terpaksa kembali mengajar di Sekolah Menengah Menglembu, Ipoh.
Semasa di Ipoh, beliau mengasaskan Badan Kebudayaan Melayu Tenaga Utama (Pertama) (1970) dan Gatra Dua (1974) bersama-sama Ahmad Mahmud @ Tamar Jalis dan Abdul Latif Bidin.
Tahun 1975, Suhaimi memilih jawatan Pembantu Pegawai Penyelidik DBP di Kuala Lumpur. Semasa di DBP, beliau pernah menjadi anggota redaksi majalah DS dan DB bersama-sama Keris Mas,
Usman Awang, Baha Zain, Anwar Ridhwan dan Sutung Umar RS. Beliau dikenali dalam kalangan staf DBP sebagai Pak Su dan bersara wajib pada tahun 1978.
Aliran
Semasa di Kuala Lumpur, beliau berkursus bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan mengikuti kelas di Masjid Negara. Ilmu tajwid dipelajarinya menerusi Ustaz Haji Ahmad Ali dari tahun 1980 hingga 1990; taranum dengan Ustaz Tarmizi di Masjid Taman Putera, Ampang serta ilmu tafsir, tasawuf, fiqh, tauhid dan hadis daripada guru pondok tempatan.
Kemudian Suhaimi memperkukuhkan Ilmu Islam yang dipelajari itu dengan pembacaan serius beberapa buah buku beraliran tasawuf, fiqh, sirah Nabi, sufisme serta buku berkaitan Islam. Pada tahun 1980, beliau menerima ijazah tarekat Naqsyabandiah.
Sajak-sajak Suhaimi didominasi oleh empat aliran konvensional. Aliran realisme diperlihatkan dalam kumpulan sajak Jalan ke Kotaku (1959), surealisme melebar dalam Lain Jiwa Lain Wajah (1960); Rontgen (1963); Bulan Purnama (1981) dan Imej (1982).
Aliran mistikisme terdapat dalam sembilan buah kumpulan sajak seperti Lilin Seinci (1980) dan Di Malam Gelita ini (1980) manakala aliran eksistensialisme pula terjelma dalam Apabila Malam Semakin Malam (2008).
Suhaimi gemar aliran surealisme berbanding realisme dan eksistensialisme. Mana Sikana (1982) mengatakan Suhaimi adalah penyair pertama di Malaysia yang membawa masuk aliran surealisme ke dalam dunia persajakan Melayu. Ciri-ciri penting dalam sajak surealisme ialah kewujudan unsur-unsur alam bawah sedar, impian dan imaginasi yang membiak dalam sesebuah sajak itu.
Suhaimi acap kali menyuntik aliran mistikisme yang selari dengan jiwanya; sebagai seorang yang mencintai Islam dan mengamalkan tareqat Naqsyabandiah ketika menghasilkan sajak sufi. Hasni Abas (DS, Nov. 1996) mendapati Suhaimi mengungkapkan persoalan cinta martabat tinggi, cinta terhadap al-Khalik dalam kumpulan Wujud yang mengandungi 206 sajak sufi yang membicarakan mengenai ketuhanan, tasawuf, dan kebatinan.
Suhaimi mengutarakan empat aspek pemikiran dalam sajak-sajaknya iaitu keadilan sosial yang mempersoalkan antikolonialisme; menentang penindasan, pemerasan, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan perdamaian dunia seperti dalam Jalan ke Kotaku (1959), kepincangan sosial dalam Tulisan di Kamar Tidur (1960), Lain Jiwa Lain Wajah (1960) dan Menyalak Bukit (1967); keagamaan (Bunga di Atas Batu (1970), Chorus Manusia Pengungsi (1976), dan Lilin Seinci (1980) manakala sufisme terkumpul dalam beberapa buah kumpulan sajak seperti Wujud (1997), At-Tariq (2000), An-Nur (2003), As-Salam (2006), dan Asyik (2006).
Suhaimi menerima banyak penganugerahan, antaranya Sasterawan Perak (1987), S.E.A Write Award (1995), Karyawan Perak Sepanjang Zaman (1998), serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1971, 1987, 1998, 2000 dan 2006/7). Beliau yang berselindung di sebalik nama pena Suria Negara, Pengeran Budiman, William Plomer, Raden Suhama, S.S Hutagalung, Prem Adinata dan As-Suhaimi dikenali juga sebagai penyair sufi.
Klik di sini untuk terus membaca