PENEGASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-36 untuk terus mempertahankan kedaulatan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di Laut China Selatan sangat dialu-alukan.
Namun, penegasan semata-mata tanpa tindakan proaktif untuk mengehadkan pembulian China di Laut China Selatan tidak akan bermakna apa-apa kepada negara.
Sebahagian besar rakyat mungkin leka dengan kempen pilihan raya sehingga terlepas pandang mengenai kegiatan agresif China menceroboh sempadan maritim Malaysia, Filipina dan Vietnam sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Laporan media antarabangsa dan pemerhati keselamatan serantau telah merakamkan sikap China yang semakin membimbangkan.
Kapal pengawal pantai, pasukan rondaan tentera laut dan ‘kapal ikan’ negara China telah berulang kali melanggar ZEE negara ASEAN.
China telah beberapa kali berkonfrontasi dengan Filipina dan Vietnam. Terbaharu, Filipina mendakwa kapal membawa bekalan makanan tentera telah ditembak meriam air oleh pasukan pengawal China.
Bagi Malaysia sendiri, hampir saban minggu pemerhati di Laut China Selatan melaporkan kemunculan dan pencerobohan kapal pengawal pantai China di Kasawari Oil Field dan Beting Patinggi Ali.
Bagaimanapun, laporan seperti itu tidak dibesarkan oleh media tempatan, mungkin kerana mahu menjaga hati China. Keadaan itu sangat membimbangkan kerana kita berharap ada ketegasan dalam mengehadkan budaya buli kuasa besar seperti China.
Laut China Selatan dikongsi oleh China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia dan Singapura. Dalam tuntutan sempadan laut, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) memberikan hak untuk negara pesisir menuntut ZEE dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika dari garis akhir dasar laut negara pesisir.
Bagi negara ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih kerana jarak dekat antara satu sama lain, reaksi kepada tuntutan tersebut tidak begitu kritikal tetapi China melangkaui semua itu dengan menuntutnya berdasarkan faktor sejarah. Mereka menerbitkan peta sempadan laut yang mempunyai sembilan garis putus melangkaui prinsip UNCLOS 1982.
Peta yang dikenali sebagai Nine Dash Line (NDL) telah diterbitkan oleh China pada 1952, namun ia menjadi kontroversi. China mula menggunakannya dalam pertikaiannya dengan Vietnam pada 2009.
Pada 2013, Filipina membawa isu NDL ke Mahkamah Tetap Timbang Tara The Hague. Pada 2016, Timbang Tara tersebut memutuskan tuntutan China tidak berasas. China tidak mengiktiraf keputusan itu dan sejak awal tidak menyertai proses timbang tara berkenaan.
Kebimbangan kita ialah kerajaan terlalu mengejar pelaburan China sehingga memejamkan mata atas tindakan-tindakan pembulian itu. Kebimbangan tersebut bukannya tidak berasas.
Misalnya April lalu, Anwar menerima kritikan keras daripada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana satu ucapan beliau yang memberi isyarat kerajaan sedia berunding dengan China mengenai hal Laut China Selatan.
Sehari kemudian, Perdana Menteri memaklumkan kenyataan beliau disalah tafsir kerana yang dimaksudkan ialah Malaysia berhasrat terus menjalinkan hubungan baik dengan China, namun tidak akan menghentikan sebarang kerja cari gali minyak dalam ZEE sendiri.
Malaysia tidak boleh sekadar menegaskan secara umum mengenai kesungguhan menjaga kedaulatan sempadan maritim negara atau kekal dasar berkecuali.
NDL turut menuntut James Shoal atau Beting Serupai yang terletak 50 batu dari pantai Malaysia.
Justeru, sebarang pencerobohan walau sekecil mana pun harus dibalas dengan cemuhan atau kritikan keras secara terbuka ke atas China agar masyarakat antarabangsa memahami kedudukan negara.
Malaysia tidak boleh keseorangan dalam berdepan isu pembulian China. Mendapat sokongan antarabangsa termasuk mendapatkan keputusan The Hague seperti dilakukan oleh Filipina boleh mengingatkan China agar tidak terus menjadi pembuli di Laut China Selatan.
Rakyat juga berhak mendapat tahu tingkah laku China di Laut China Selatan melalui Kementerian Pertahanan sendiri.
Setakat ini kita hanya membaca laporan media luar mengenai pencerobohan sehingga menimbulkan tanda tanya, apakah pencerobohan itu dikesan oleh anggota keselamatan kita.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca