PENGUNDIAN untuk pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan berakhir semalam. Selama 14 hari berkempen dan sebenarnya lama sebelum PRN diadakan, banyak janji ditaburkan pemimpin parti-parti politik bertanding.
Ia bagi memastikan calon diketengahkan menjadi pilihan pengundi dan seterusnya membolehkan mereka menubuhkan kerajaan negeri.
Ada antara janji itu dijaja secara rasmi seperti dizahirkan dalam manifesto pilihan raya yang memberi gambaran umum program mahu dilaksanakan setelah membentuk kerajaan bagi tempoh lima tahun setelah mendapat mandat untuk berkuasa.
Walaupun PRN hanya melibatkan enam negeri yang tidak mengadakan pemilihan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi pemimpin kerajaan Persekutuan turun padang berkempen dan menabur pelbagai janji untuk menangkan parti masing-masing.
Oleh sebab mereka berkuasa, ada antara janji itu diumumkan hari ini, esoknya dapat ditunaikan seperti menaikkan subsidi padi kepada pesawah daripada RM360 kepada RM500 satu tan metrik.
Begitu juga elaun bantuan khas RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM200 untuk pesara kerajaan. Pelaksanaannya dibuat segera.
Ada juga janji yang dibuat mengambil masa untuk dijadikan kenyataan seperti janji menyelaraskan gaji penjawat awam.
Sebahagian kenaikan gaji itu akan dibayar dalam Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan hujung tahun ini, selebihnya selepas proses penyelarasan 10 tahun sekali selesai tahun depan.
Ada juga janji yang bersyarat – ‘beri gabungan parti politik kami menang di peringkat negeri, segala apa yang dijanjikan itu akan kami tunaikan’.
Oleh kerana apa sahaja dijanjikan kerajaan Persekutuan itu tidak dianggap sebagai rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka pemimpin Persekutuan berlumba-lumba menjanjikan itu dan ini.
Dari satu sisi pemimpin politik itu, tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang, tidak boleh dipersalahkan kerana menabur pelbagai janji manis.
Berjanji dan memungkiri janji nampaknya sudah menjadi sebahagian amalan berpolitik mereka – tidak segan silu berjanji kerana mereka tahu pengundi memang seronok dibuai pelbagai janji termasuk janji tidak masuk akal.
Kalau ada antara janji itu tidak dilaksanakan, ada antara mereka tidak begitu kisah.
Mereka kekal taasub dengan pemimpin yang berjanji dan terus memberi sokongan kepada pemimpin politik yang telah memungkiri janji itu.
Hal itu kerana mereka memangkah calon dan parti pilihan bukan kerana mengharapkan segala janji ditunaikan. Ada faktor lain mempengaruhi pilihan mereka semasa PRN atau PRU.
Penyokong tegar lazimnya membuat pilihan kerana mereka menyokong ideologi politik diperjuangkan oleh pemimpin dan parti berkenaan.
Justeru, dalam kes serupa itu, faktor yang menjadi pertimbangan sewaktu mengundi bukan janji tetapi ideologi.
Yang penting parti disokong mendapat kuasa dan membentuk kerajaan sama ada secara sendirian atau perlu bergabung dengan parti politik lain termasuk dengan parti politik tidak sehaluan.
Kerana kuasa, mereka bersikap pragmatik – sanggup tidur sebantal walaupun hakikatnya mimpi mereka berlainan seperti berlaku pada pasca PRU15.
Jadi, janji dilafazkan pemimpin politik semasa berkempen tidak diberi penekanan oleh pengundi jenis tersebut.
Yang diberi tumpuan adalah upaya untuk memenangkan gabungan parti politik yang disokong bagi mendapatkan kuasa. Bagi mereka, matlamat menghalalkan cara – the end justifies the means.
Menyedari hakikat itu, pemimpin politik menggunakan kesempatan berkempen untuk menabur pelbagai janji, sekalipun mereka tahu ada antara apa dijanjikan itu tidak masuk akal dan berkemungkinan tidak dapat dilaksanakan setelah mendapat kuasa.
Pada PRN di enam negeri, perbuatan hipokrasi menabur janji dan memungkiri janji juga terjadi.
Ia hanya mengesahkan berjanji dan memungkiri janji pada pilihan raya sudah diterima menjadi amalan yang ditutup sebelah mata.
Salah pengundi sendiri kerana membiarkan perbuatan tidak beretika itu kekal subur dalam demokrasi di negara ini.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca