SHAH ALAM - Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada Sabtu menyaksikan beberapa nama besar pemimpin pelbagai parti berjaya memperoleh kemenangan dan tidak kurang juga yang kecundang.
Termasuk dalam senarai pemimpin parti yang meraih kemenangan pada PRN kali ini adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau atas tiket Barisan Nasional (BN).
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, bertanding di DUN Rantau bagi penggal kelima sejak tahun 2004, muncul juara dengan majoriti 10,280 undian.
Menteri Pertahanan berkenaan memperoleh 16,957 undi sekali gus membolehkan beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Rozmal Malakan yang mendapat 6,677 undian.
Turut menang di Negeri Sembilan adalah Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mendapat majoriti 2,790 undi di DUN Pertang.
Pernah menyandang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu memperoleh 5,634 undi bagi mengatasi lawannya daripada PN, Amirudin Hassan yang hanya mendapat 2,844 undian.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula mengecapi kemenangan di kerusi DUN Bertam dengan memperoleh 2,321 majoriti undian.
Beliau yang meraih 10,453 undi mengatasi pencabarnya yang juga penyandang kerusi berkenaan dari PN, Khaliq Mehtab Mohd dengan 8,132 undi.
Senarai kemenangan diteruskan dengan Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeniri dimenangi beliau pada PRU14.
Muhammad Sanusi memperoleh 21,823 undi bagi menewaskan pesaing daripada BN yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat 5,773 undian.
Berikutnya, penyandang Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merangkap Pesuruhjaya Pas Negeri menang di kerusi DUN Pasir Pekan dengan majoriti 12,811 undian.
Ahmad meraih 18,783 undian sekali gus menewaskan Mohamad Zamakh Sari Ibrahim daripada PH yang sekadar memperoleh 5,972 undian.
Penyandang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiada masalah mengekalkan kerusi DUN Ru Rendang dengan majoriti 17,286.
Naib Presiden Pas itu memperoleh 20,927 undian berbanding Suhaimi Sulaiman daripada PH yang mendapat 3,641 undian.
Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah juga menang di DUN Panchor setelah mendapat majoriti 10,686 undian.
Beliau yang meraih 18,700 undi menewaskan pencabar, Syed Mohd Aliduster Syed Mohd Zain daripada PH yang mendapat 8,014 undian.
Seterusnya, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari yang bertanding di DUN Sungai Tua pada PRN Selangor kali ini turut berjaya mempertahankan kerusi disandangnya sejak PRU14 itu.
Berdepan saingan tiga penjuru, Amirudin menang dengan majoriti 5,185 undian setelah memperoleh 19,678 undian mengatasi pencabarnya daripada PN, Muhammad Hanif Jamaluddin, 14,493 undi.
Seorang lagi pencabar Amirudin, iaitu calon Bebas, G. Suman sekadar mendapat 430 undi.
Jejak kemenangan ini turut dirasakan seorang lagi Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mempertahankan kerusi tradisinya di DUN Sikamat meskipun berdepan saingan empat penjuru pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu menewaskan pencabar daripada PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas, Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharudin dengan majoriti 2,662 undian.
Aminuddin meraih 12,730 undian, sementara Ahmad Raihan (10,068 undi) manakala Bujang (83 undi) dan Mohammed Hafiz (339) sekali gus menyebabkan kedua-duanya kehilangan deposit.
Berikutnya, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng turut tersenarai antara pemimpin parti yang berjaya pada persaingan PRN kali ini.
Ahli Parlimen Bagan tersebut, berjaya mempertahankan kerusinya di DUN Air Putih yang disandang sejak PRU12 dengan majoriti 7,923 undian.
Guan Eng yang dicabar Kong Cheng Ann (PN-Gerakan) dan Teh Yee Cheu (Parti Rakyat Malaysia) memperoleh 8,996 undian sementara Cheng Ann dan Yee Cheu masing-masing mendapat 1,073 dan 437 undian dan hilang deposit.
Turut mengikut jejak kemenangan Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menang selesa dengan majoriti 2,200 undian di kerusi DUN Chennah yang disandangnya sejak PRU13.
Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban itu, memperoleh 5,888 undi manakala pencabar tunggal beliau, Rosmadi Arif yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekadar mendapat 3,668 undi.
Seterusnya, Naib Pengerusi DAP, merangkap penyandang Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut menang bergaya di DUN Padang Kota setelah memperoleh majoriti 7,116 undian.
Keputusan rasmi menyaksikan Kon Yeow memperolehi 8,261 undian manakala pencabarnya, H’ng Khoon Leng daripada PN sekadar mendapat 1,145 undian sekali gus hilang deposit.
Sementara itu, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menempa kejayaan apabila menang di DUN Hulu Kelang dengan majoriti 1,617 undian.
Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor memperoleh 25,597 undi sekali gus menewaskan calon PH yang juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Juwairiya Zulkifli yang mendapat 23,980 undi.
Berikutnya, senarai pemimpin parti yang kalah pada PRN enam negeri didahului calon PH merangkap Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang tewas di DUN Alor Mengkudu.
Mahfuz dengan 8,832 undian tewas di tangan pencabarnya, pemain legenda Harimau Malaya dan bekas kapten pasukan Kedah sekitar era 80-an dan 90-an, Radhi Mat Din daripada PN yang memperoleh 18,936 undi.
Turut berkongsi nasib kekalahan, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid tewas dalam perebutan kerusi di DUN Pedu yang pernah dimenanginya sebanyak dua kali pada tahun 2004 dan 2008.
Bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Kedah itu kalah dalam saingan satu lawan satu berdepan pencabar daripada PN, Mohd Radzi Md Amin yang juga penyandang kerusi DUN tersebut.
Mahdzir yang sebelum ini gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap pada PRU15 sekadar meraih 8,024 undi berbanding Mohd Radzi yang memperoleh 14,397 undian.
Berikutnya, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai juga mengalami kekalahan di kerusi DUN Bayan Lepas.
Dominic yang meraih 13,573 undian kalah kepada calon PH, Azrul Mahathir Aziz yang memperoleh 15,462 undian.
Klik di sini untuk terus membaca