PERIKATAN Nasional (PN) ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempamerkan prestasi cemerlang pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini apabila kekal mendominasi Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dipacu peralihan sokongan... Klik di sini untuk terus membaca

PERIKATAN Nasional (PN) ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempamerkan prestasi cemerlang pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini apabila kekal mendominasi Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dipacu peralihan sokongan pengundi Melayu atau gelombang hijau bermula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN terutamanya Pas mencipta sejarah di Terengganu di mana buat pertama kalinya menguasai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Malah di Kedah dan Kelantan juga, PN berjaya mencipta tembok ampuh bagi memastikan lawan mereka terutamanya gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) gagal melebarkan sayap dalam PRN ini.

Begitu juga di Selangor, 22 kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu lebih 60 peratus menyaksikan penguasaan PN sekali gus menafikan keinginan BN, parti yang memperjuangkan naratif sama melibatkan Melayu-Islam, untuk kembali bangkit selepas kecundang dalam PRU14 dan PRU15 lalu.

Melihat kepada kejayaan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin rekod prestasi baik ini membuktikan PN mempunyai masa depan cerah memimpin negara, diyakini dan mampu menjadi parti bagi menaungi pengundi Melayu-Islam.

"Pencapaian cemerlang PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah menepati sasaran yang dijangka dan dengan hanya lima kerusi yang tewas dari 113 kerusi DUN di tiga negeri berkenaan. Ia masih kejayaan yang boleh dibanggakan.

"Begitu juga pencapaian PN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga boleh dibanggakan walaupun sedikit terkilan kerana gagal memenuhi sasaran merampas Selangor,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, PN di Selangor meraih 22 kerusi manakala gabungan PH memperoleh 32 manakala rakan sekutunya, BN sekadar menang dua kerusi DUN daripada 12 calon yang dipertaruhkan.

Di Negeri Sembilan pula, PN sekadar mendapat lima kerusi berbanding PH-BN dengan masing-masing 17 dan 14 kerusi.

Di Pulau Pinang, PN berjaya melebarkan pengaruh di ‘tanah besar’ dengan menawan sembilan kerusi DUN iaitu Penaga, Pinang Tunggal, Telok Ayer Tawar, Sungai Dua, Permatang Berangan, Seberang Jaya, Permatang Pasir, Penanti dan Sungai Bakap serta dua kerusi di pulau iaitu Telok Bahang dan Pulau Betong.

Menurut Tuan Ibrahim, kegagalan menembusi kerusi PH-BN di Negeri Sembilan dan Selangor dikenal pasti berpunca daripada peratusan keluar mengundi yang tidak mencapai sasaran, kelemahan jentera serta koordinasi dalaman PN berdepan PRN ini.

Pun begitu katanya, satu jawatankuasa post mortem akan ditubuhkan bagi menilai dan mengkaji kelemahan di beberapa DUN yang gagal mencapai kemenangan.

Referendum rakyat

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman pula berkata, sokongan rakyat, pengundi muda dan pengundi atas pagar telah melonjakkan momentum PN pada PRN kali ini.

"Situasi di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah clean sweep, sementara di Selangor kami menafikan pihak lawan mendapat majoriti dua pertiga. Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut memperlihatkan lonjakan sokongan untuk Pas dan Bersatu.

"Bagi saya, PRN enam negeri kali ini adalah suatu referendum rakyat yang mahukan kestabilan,” ujarnya.

Beliau berkata, kemenangan solid di Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menjadi model sebuah pentadbiran prihatin menerusi gabungan ilmuwan, teknokrat, aktivis masyarakat serta interaksi berterusan dalam kalangan bukan Muslim dan golongan muda.

"Apa yang penting, rakyat dapat menilai dasar perjuangan kami, dan terserah kepada pengundi membuat pilihan dengan matang dan bermaklumat dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Biarpun gagal menawan tiga negeri lain, Mohd Syahir tetap menganggap keputusan PRN pada Sabtu lalu menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PN.

Kebangkitan

Sementara itu, menjawab persoalan mengapa pengaruh gelombang hijau tidak berjaya meruntuhkan pentadbiran Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh PH sebelum ini, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi merumuskan dua faktor utama yang mengehadkan kemaraan PN di tiga negeri berkenaan.

Pertama, katanya, prestasi kerajaan negeri yang memuaskan hati majoriti rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menyebabkan kebangkitan gelombang hijau belum cukup untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri.

"Kedua, pembawaan budaya dan gaya hidup yang dipromosikan oleh PN di mana masyarakat di tiga negeri kubu kuat PH itu merupakan negeri yang menerima arus perbandaran dan menjadikan demografi masyarakatnya lebih majmuk dan terbuka,” ujarnya.

Katanya, imej dizahirkan PN setakat ini belum cukup mempamerkan nilai progresif yang boleh disambut baik oleh masyarakat berbilang kaum di tiga negeri berkenaan."Kedudukan Kerajaan Perpaduan gabungan PH-BN masih selesa di tiga negeri milik mereka dengan mengekalkan kedudukan dua pertiga khususnya di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

"Namun sekurang-kurangnya PN diberikan ruang pertama kali untuk membuktikan keberkesanan mereka sebagai pembangkang,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca