KESEMUA 19 calon yang dipertaruhkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukan sekadar gagal memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu, bahkan turut hilang wang pertaruhan.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, mereka menerima kekalahan dengan hati terbuka dan percaya kekalahan kali ini dapat mematangkan mereka sebagai pemimpin anak muda.
"Ini merupakan pengalaman yang memberikan pengajaran buat Muda,” jelasnya.
Strategi Muda yang mempertaruhkan calon paling ramai di Selangor buat pertama kali tidak berhasil apabila kesemua 14 calonnya tewas.
Daripada keseluruhan jumlah itu, Setiausaha Muda Selangor, Zayd Shaukat Ali yang bersaing di DUN Subang Jaya, menjadi satu-satunya calon Muda yang memperoleh undian tertinggi dengan 4,749 undi.
Kerusi Subang Jaya dimenangi Michelle Ng Mei Sze daripada Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 60,364 undi manakala pelakon dan pelawak, S Gana yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) meraih 9,173 undi.
Selain itu, Muda juga tidak berhasil menawan kawasan majoriti pengundi Melayu di Selangor seperti DUN Batu Tiga mahupun Dusun Tua.
Timbalan Ketua Parlimen Muda, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen sekadar meraih 1,908 undi berbanding calon PH, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid yang memperoleh 29,064 undi,
menewaskan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dengan 25,682 undi di DUN Batu Tiga.
Pengerusi Muda Selangor, Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad pula tewas dengan sekadar meraih 3,110 undi di kerusi Dusun Tua.
Sementara itu, Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi yang bertanding di DUN Seri Serdang sekadar berpuas hati dengan 1,834 undi.
Amir Hariri ketika dihubungi Sinar Premium berkata, tidak ada penyesalan bagi mereka kerana niat bertanding bukan sekadar untuk menang tetapi ingin menyampaikan kekecewaan khususnya kepada agenda reformasi yang tidak dilaksanakan.
"Malah, kami sudah menjangkakan keputusan PRN mungkin tidak akan berpihak kepada Muda dari peringkat awal lagi.
"Kami akur dengan keputusan yang dibuat oleh rakyat dan pastinya Muda akan terus jalan ke hadapan untuk orang muda,” katanya.
Biarpun tewas di semua kerusi ditandingi, Amir Hariri akan meneruskan peranan mereka dan bersuara demi rakyat dan negara.
"Semua yang terjadi pada PRN kami terima dengan positif. Dengan menyertai PRN kali ini, banyak perkara yang kami pelajari terutamanya cara menguruskan jentera-jentera dalam keadaan Muda bertanding hampir tiga kali ganda daripada jumlah kerusi sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu di Pulau Pinang, tiga calon Muda iaitu Priyankaa Loh, Penyelaras Muda Nibong Tebal, Vikneswary Harikrishnan dan Ahli Jawatankuasa Muda negeri, Lee Kim Noor tewas di kerusi masing-masing.
Priyankaa yang bertanding di DUN Pantai Jerejak meraih 472 undi, Vikneswary di DUN Perai dengan 253 undi manakala Kim Noor di Batu Uban mendapat 803 undian.
Di Terengganu pula, Muda yang membuat tindakan berani dengan menamakan Ketua Penerangannya, Luqman Long di kerusi DUN Bandar gagal memberi saingan terhadap calon PN dan Barisan Nasional (BN) apabila sekadar meraih 372 undi.
Luqman yang melakukan penampilan sulung itu tidak mampu menyaingi kekuatan calon Pas, Ahmad Shah Mohamed yang memperoleh 8,438 serta calon BN, Armi Irzan Mohd dengan 6,074 undi.
Di Negeri Sembilan, Muda terpaksa mengibarkan bendera putih apabila gagal meraih kemenangan bagi satu-satunya calon yang dipertaruhkan di kubu kuat koalisi PH-BN itu.
Ahmad Qusyairi Abdull Rahim yang bertanding di kerusi DUN Temiang hanya meraih 640 undi berbanding Ng Chin Tsai daripada PH yang memperoleh 5,710 undi dan Chua Eng Pu (PN-Gerakan) dengan 2,642 undi.
Secara keseluruhan, Muda mempertaruhkan masing-masing satu calon di Negeri Sembilan dan Terengganu, Pulau Pinang (tiga) serta Selangor (14).
Klik di sini untuk terus membaca