DATUK Seri Anwar Ibrahim disifatkan lulus referendum rakyat apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berjaya memimpin Kerajaan Madani dalam pilihan raya di enam negeri yang berlangsung pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sebagai Perdana Menteri, Pengerusi PH, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ketua kerjasama PH-BN, Anwar berjaya mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Jelasnya, semua negeri tersebut merupakan kubu PH dan Anwar merupakan panglima perang dalam pilihan raya negeri (PRN) tersebut.
"Anwar sebagai Perdana Menteri, PH sebagai gabungan politik dan PKR tidak tewas dan kalah dalam PRN ini. Memang ada beberapa kawasan yang tumbang ke tangan PN tetapi secara strategik tiga negeri dikuasai PH sebelum ini masih kekal.
"Ada hikmahnya keputusan PRN ini untuk disemak, dikaji dan diteliti Anwar, PH dan PKR sebelum menghadapi pilihan raya seluruh negara yang lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada PRN Sabtu lalu, PN berjaya mengekalkan penguasaan di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, perkara yang paling penting bagi Anwar selepas ini ialah membuat persiapan bagi PRU16 dengan mendapatkan semula sokongan orang Melayu yang jelas banyak beralih kepada PN dalam PRN kali ini.
"Jika dilihat kempen dan propaganda PN dalam PRN yang baru berlalu ini, seolah-olah PH-BN akan tewas teruk dan tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan dikuasai mereka,” katanya.
Beliau berkata, apa yang jelas tewas dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan UMNO di 89 kerusi yang ditandingi dengan logo BN ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, UMNO-BN memang jelas tewas seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang hilang deposit di semua kerusi ditandinginya tetapi itu tidak berlaku kepada PKR dan PH.
Menurutnya, PKR dan PH tetap menjadi pilihan rakyat untuk membina harapan bagi generasi akan datang.
Katanya, Anwar kini semakin berpengalaman, berwawasan dan akan sedia bermuhasabah diri setelah melalui PRN yang amat sengit dan cukup mencabar kali ini.
Beliau berkata, Anwar perlu terus diberikan peluang untuk memikul tugas demi menyelamatkan negara berbilang bangsa, agama dan tamadun ini daripada diruntuhkan oleh pemimpin-pemimpin politik berfahaman ekstrem kanan dan berpuak-puak dalam kalangan mereka yang berada dalam PN.
Klik di sini untuk terus membaca