SOKONGAN hambar terhadap calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini memberi gambaran seolah-olah rakyat kurang yakin dengan kerjasama parti kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dikatakan masih ramai lagi yang tidak dapat menerima kerjasama antara gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) ketika ini hingga menyebabkan mereka beralih dan tidak mengundi calon parti sendiri, sebaliknya memberikan undi kepada pihak lawan sebagai tanda protes.
Meskipun apa yang berlaku tidak memberi kesan kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang, namun keputusan yang diperoleh PKR secara keseluruhan amat membimbangkan apabila hanya memenangi tujuh daripada 13 kerusi yang dipertandingkan.
Tujuh kerusi itu ialah Machang Bubok yang diwakili Lee Khai Loon dengan 28,777 undi; Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung (16,050); Bukit Tambun, Goh Choon Aik (21,985).
Calon Batu Uban, Kumaresan Aramugam juga mendapat 22,773 undi dan bagi kerusi Batu Maung yang diwakili Datuk Mohamed Abdul Hamid dengan 18,939 undi manakala kerusi Pantai Jerejak, Fahmi Zainol dengan 14,116 undi.
Bagaimanapun, enam kerusi yang sebelum ini dikuasai PH pada pilihan raya lalu gagal dipertahankan, malah kalah dengan majoriti yang signifikan.
Difahamkan, kekalahan itu antara prestasi terburuk PKR dalam sejarah pilihan raya negara sejak 15 tahun lalu, selain ia gagal melunaskan impian Presiden PKR yang mahu melihat PH memberikan kemenangan bergaya terutamanya di tiga kerusi iaitu DUN Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya.
Kekalahan semua kerusi DUN di Parlimen yang terkenal dengan kebangkitan semangat reformasi sejak tahun 1998 pastinya memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada semua calon yang bertanding, malah keseluruhan jentera dan pimpinan negeri.
Mereka dikatakan gagal melakukan percaturan tepat pada PRN kali ini termasuk dalam soal pemilihan calon, strategi kempen yang lapuk, propaganda dan sentimen tidak berkesan dalam mempengaruhi minat anak muda.
Rakyat juga didakwa muak dengan sikap pemimpin politik dalam gabungan PH-BN yang sebelum ini lantang mengkritik dan mempertikai lawan masing-masing namun selepas bersama dalam gabungan Perpaduan, sikap mereka dikatakan berubah 360 darjah.
Pada kempen kali ini, penceramah lebih memuji calon serta pihak lawan sedangkan individu sama sebelum ini mencemuh dan melemparkan pelbagai tuduhan bagi merosakkan imej mereka.
Namun, pada hemat penulis, antara faktor lain yang menyebabkan PKR tidak lagi menjadi pilihan di negeri ini disebabkan pengaruh Anwar sendiri yang kian pudar, malah semangat reformasi yang sentiasa dilaungkan di Pulau Pinang tidak difahami oleh golongan muda.
Kenyataan itu bukanlah sekadar andaian penulis memandangkan Presiden PKR sendiri dan beberapa pimpinan tertinggi PH telah turun berkempen bukan sahaja dalam program Jelajah Madani yang diadakan pentas ceramah, malah mereka turun ke kawasan terlibat bermesra bersama pengundi.
Bahkan, Anwar juga pernah hadir makan tengah hari bersama masyarakat di Sungai Bakap sebelum ini dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga giat membantu semua calon, namun kawasan-kawasan itu diumumkan PKR kalah.
Lawatan Perdana Menteri ke Balik Pulau sehari sebelum mengundi juga tidak memberi kesan apabila dua kerusi DUN di Pulau Betong dan Teluk Bahang turut jatuh ke tangan lawan walaupun dengan majoriti tipis.
Klik di sini untuk terus membaca