GELOMBANG haba tahun ini benar-benar membuat dunia kecut perut. Kebakaran hutan (wildfire) yang meragut nyawa misalnya, disangka berakhir di benua Eropah sahaja. Rupa-rupanya ia hanya permulaan. Terkini, Hawaii pula dilanda musibah menakutkan tersebut.
Melalui imej satelit, Laihana, salah satu bandar di Maui ranap seluruhnya dijilat api Selasa lalu. Sehingga 11 Ogos, sekurang-kurangnya 67 kematian dilaporkan dalam kebakaran yang hanya beberapa jam. Angka kematian sebenar dijangka jauh lebih besar.
Jika di Malaysia, kita terbiasa ‘menanti’ kehadiran banjir apabila musim hujan tiba setiap tahun, manakala di Hawaii yang sering dilanda kemarau, wildfire bukanlah perkara baharu.
Clay Traurenitch, pakar alam sekitar dari University of Hawaii mendapati jumlah kawasan yang terbakar di Hawaii meningkat daripada lebih 8,093.7 hektar pada tahun 2016 kepada 16,187.4 hektar pada 2021. Ia jauh lebih besar berbanding purata 2,023.4 hektar sahaja berbanding sebelum tahun 1880-an.
Kerana itu, pelaburan dalam sistem amaran awal menjadi begitu penting. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah melaporkan, di negara membangun sahaja, pelaburan sebanyak 800 juta dolar untuk membangunkan sistem amaran awal bencana, boleh mengelakkan kemusnahan sehingga 16 bilion dolar setiap tahun.
Jepun selepas dilanda gempa bumi Tohoku-Oki pada tahun 2011, melabur lebih satu bilion dolar untuk membangun sistem amaran awal gempa bumi. Melalui data yang dicerap dari lebih 4,200 seismometer, sistem tersebut mengeluarkan amaran kepada penduduk melalui media massa dan siren. Penduduk boleh segera berpindah ke kawasan selamat.
Sistem amaran awal bencana di Hawaii tak kurang hebatnya. Sistem mereka lebih bersepadu dengan jaringan siren terbesar di dunia. Selain kebakaran, sistem tersebut juga boleh mengesan bencana lain seperti tsunami, puting beliung, banjir dan letusan gunung berapi.
Di Maui ada 80 siren amaran bencana. Malangnya, semasa kebakaran Selasa lalu, tiada seorang mangsa pun mendengar apa-apa bunyi siren. Hanya asap dan letupan yang menyedarkan mereka. Dalam nada kecewa, mereka mengatakan, jika siren berbunyi, pasti lebih banyak nyawa dan harta benda dapat diselamatkan.
Hawaii Emergency Management Agency pula mengesyaki sistem tersebut tidak dihidupkan pada malam itu. Sesi menuding jari bermula di sana. Persoalannya, benarkah sistem tersebut tidak dihidupkan malam itu, atau mungkin sistem yang memakan belanja besar itu gagal berfungsi sejak mula lagi?
Keberkesanan sistem amaran awal sebenarnya mengambil masa lama. Di Jepun sendiri, dalam beberapa tahun terawal, kebanyakan rakyatnya langsung tak sedar akan amaran gempa bumi yang dikeluarkan. Hanya apabila gegaran itu dirasai sendiri, barulah mereka bertindak menyelamatkan diri.
Belajar daripada pengalaman, kini Jepun sudah memperbaiki sistem amaran awalnya agar sampai terus ke telefon bimbit individu. Begitu juga di UK. Semasa musim pandemik Covid-19 misalnya, mesej memaklumkan kes Covid-19 yang dikesan berdekatan dengan kawasan kejiranan akan dihantar melalui telefon bimbit agar mereka lebih berjaga-jaga.
Mac lalu, kerajaan UK menaik taraf sistem amaran bencananya. Dengan pelaburan 25 juta pound, mereka bekerjasama dengan semua syarikat rangkaian mudah alih di UK untuk melaksanakan mobile broadcast bagi tujuan ini.
Amaran awal pelbagai bencana termasuklah ancaman pengganas, dihantar terus kepada telefon bimbit penduduk di kawasan terlibat. Lebih menarik, ada siren amaran yang datang bersama mesej tersebut. Rakyat UK menyambut baik usaha kerajaan ini. Mereka ikut teruja dan menyertai sesi percubaan sistem yang dibuat pada April.
Dalam dunia di mana manusia dan telefon bimbit hidup bagai belangkas, pendekatan kerajaan Jepun dan UK ini lebih praktikal. Manusia akan bersedia lebih baik jika amaran itu datang lebih ‘personal’ kepada mereka. Yang pasti, setiap musibah pasti ada hikmahnya.
Salam takziah Hawaii!
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca