KUALA KRAI - Harga ayam di beberapa daerah di Kelantan didakwa meningkat sejak beberapa hari sebelum pilihan raya negeri (PRN) berlangsung.
Peniaga ayam di Kok Lanas, Danial Izani, 30, berkata, harga ayam di sekitar Kota Bharu kini meningkat RM1.50 sekilogram.
"Harga meningkat empat hari sebelum mengundi. Saya menjual ayam sebelum ini pada harga RM7.50 sekilogram dan kini dijual sekitar RM8.80 sekilogram,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, sambutan terhadap bahan mentah itu tetap menggalakkan dan pelanggan tidak banyak bertanya mengenai kenaikan harga berkenaan.
Menurut peniaga ayam di Machang, Muhamad Hamizad Azmi, 24, harga jualannya kini ialah RM8.30 sekilogram berbanding tiga hari lepas iaitu RM7.20 sekilogram.
"Dua minggu lepas harga ayam lebih tinggi iaitu mencecah sehingga RM9 sekilogram,” katanya.
Muhd Rohaizid Amirul Mohd Yuti, 23, yang menjual ayam di sebuah pasar di Kampung Batu Balai, Kuala Krai pula berkata, dia terpaksa menjual ayam pada harga RM8.20 sekilogram.
Dia yang mengambil bekalan di Kota Bharu dan Tanah Merah mendakwa, dua hari sebelum mengundi harga naik mendadak dan kini mencecah pada harga berkenaan.
"Sebelum ini kami menjual ayam pada harga RM6.50 tetapi kini mencecah RM8.20,” jelasnya.
Peniaga itu juga berkata, dia terpaksa menjual pada harga itu kerana ayam yang diambil dengan pemborong juga tinggi berbanding sebelum ini.
"Kami tidak pasti sebab berlaku peningkatan harga tetapi berharap selepas ini boleh turun pada harga lebih murah,” ujarnya.
Peniaga dakwa dapat ayam saiz kecil
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Pasar Awam Mentakab, di sini pada Isnin mendapati harga runcit ayam bersih dijual pada harga RM11 sekilogram.
Beberapa peniaga ketika ditemukan memberitahu, kenaikan harga bahan mentah itu mula berlaku sejak beberapa hari lalu.
"Memang harga sebelum ini turun, ketika itu bekalan lebih di pasaran, sekarang ini harga kembali naik,” kata peniaga tersebut.
Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali turut mendakwa banyak mendapat bekalan ayam bersaiz kecil yang beratnya tidak sampai sekilogram berbanding sebelum ini.
Tinjauan di sebuah pasar raya di sini juga mendapati ayam dijual dengan harga RM9.40 sekilogram dan RM9.90 bagi potong bersih.
Seorang pekerja mengakui kenaikan harga berlaku sejak beberapa minggu lalu berbanding RM8.80 sebelum ini.
Sementara itu, bagi seorang peniaga nasi kukus ayam berempah, Nor Akmar Ahmad Bihauddin, 45, kenaikan harga itu mula dikesan pada Khamis lalu.
"Sebelum ini dapat ayam berharga RM8.80, kemudian RM9.80 dan terkini RM10.50 sekilogram.
"Tiada alasan diberikan berhubung kenaikan harga ayam dan peniaga kecil macam saya, terpaksa akur walaupun dihimpit dengan kenaikan kos barangan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca