SHAH ALAM - Malaysia perlu bergerak ke arah kematangan berpolitik dengan mewujudkan pelan perdamaian secara bersama di antara kerajaan dan pembangkang dengan mencari titik kesimbangan, persamaan supaya tidak mengganggu proses merancakkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia perlu bergerak ke arah kematangan berpolitik dengan mewujudkan pelan perdamaian secara bersama di antara kerajaan dan pembangkang dengan mencari titik kesimbangan, persamaan supaya tidak mengganggu proses merancakkan semula ekonomi.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Sivamurugan Pandian berkata, perkara itu hendaklah dilakukan namun ia memerlukan tekad luar biasa di antara kedua-dua pihak.

"Mengambil kira keseimbangan dan persamaan itu perlu agar tidak merencatkan ekonomi, institusi dan struktur sosial lain kerana pada akhirnya pengundi yang akan dibebani soal ini.

"Mereka (pengundi) telah memberi mandat kepada wakil rakyat dan jangan sesekali membiarkan masyarakat berhadapan pertukaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali lagi, sebagaimana yang pernah kita lihat sebelum wujudnya Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sinar Live pasca pilihan raya negeri (PRN) yang bertajuk 'Tahniah YB! Jangan janji kari' yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Ahad dan dihoskan oleh Haizir Othman.

Sivamurugan turut menjelaskan bahawa pengundi pada masa kini perlu menghentikan ketaasuban terhadap parti politik yang disokong.

Menurutnya, masyarakat perlu melihat kepada perkara yang lebih penting seperti kos sara hidup, pendidikan, pengangguran, peluang pekerjaan dan sebagainya.

Tambah beliau, antara perkara utama yang perlu diperhalusi adalah berkaitan masalah salah laku dan pecah amanah dengan membiarkan undang-undang negara menyelesaikannya.

"Masalah berkenaan jangan sesekali campur aduk dengan politik kerana apabila disekalikan, ia akan menyebabkan kesukaran untuk merealisasikan impian negara yang mahu dicapai,” ujarnya.

Pada masa sama, Sivamurugan turut menjelaskan di dalam arena politik tanah air terdapat dua perkara yang perlu diberi pertimbangan iaitu penggabungan politik dan isu agama, kaum dan raja.

Katanya, gabungan politik di antara parti lain bukan dilakukan secara secara sendiri sebaliknya perlu dilakukan sekiranya tidak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Perkara kedua ialah kebanyakan latar belakang parti hampir sama kerana ia berteraskan kepada agama, ras dan etnik dan jangan sesekali kita terlepas cakap mengenainya.

"Bagaimanapun, perkara ini sering kali dijadikan bahan berkempen, sedangkan sebelum ini telah banyak diperkatakan untuk tidak memainkan isu agama, etnik dan kedaulatan diraja kerana ia dianggap sensitif yang boleh melahirkan politik kebencian serta prejudis,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca