GEORGETOWN - Harga ayam segar di pasaran naik sehingga RM1.50 sejak seminggu lalu menjadikan bahan mentah itu berharga antara RM9.40 hingga RM10.90. Peniaga ayam, Mohd Hafizi Mat Saad, 42, berkata, harga tersebut tidak menentu sejak... Klik di sini untuk terus membaca

GEORGETOWN - Harga ayam segar di pasaran naik sehingga RM1.50 sejak seminggu lalu menjadikan bahan mentah itu berharga antara RM9.40 hingga RM10.90.

Peniaga ayam, Mohd Hafizi Mat Saad, 42, berkata, harga tersebut tidak menentu sejak beberapa bulan lalu menyebabkan peniaga berdepan masalah untuk meletakkan harga jualan kepada pembeli.

"Sebenarnya harga ayam naik turun sejak beberapa bulan lalu. Awal bulan ini, turun tetapi beberapa hari sebelum pilihan raya, harga naik balik.

"Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan memasukkan harga tersebut ke dalam harga siling sebaliknya dimasukkan ke dalam harga caj perkhidmatan.

"Harga siling yang ditetapkan kerajaan adalah RM9.40 dan ia kekal sehingga hari ini. Harga ini perlu dipaparkan pada tanda harga, tidak boleh ubah sehingga kerajaan keluarkan arahan.

"Bagaimanapun, sekiranya harga ayam naik, kami akan naikkan pada harga caj perkhidmatan. Setakat ini, caj perkhidmatan RM1.10, jika naik, maka caj ini pun akan naik,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah Mohd Hafizi, ketika ini, harga caj perkhidmatan akan bertukar-tukar mengikut harga semasa ayam segar.

"Minggu lepas kami jual sekilo RM9.40, tiada caj perkhidmatan kerana harga ayam turun, tetapi dua tiga hari sebelum pilihan raya, naik balik macam biasa, jadi kami terpaksa jual RM10.50.

"Memang tinggi kerana kami dapat bekalan pun, modal tinggi. Pernah peniaga seperti kami dapat harga RM8 hingga RM9 sekilogram, sebab itu kami tak boleh turunkan harga kerana modal kami pun tinggi,” jelasnya.

Dakwanya, kenaikan harga ayam itu dikatakan kerana kenaikan harga makanan ayam di ladang.

Peniaga ayam di Pasar Awam Bayan Baru, Muhammad Shaffi Yacob, 30an, pula berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa harga bahan mentah itu akan naik lagi dalam tempoh terdekat ini.

"Sekarang ini, rata-rata peniaga menjual dengan harga RM10 ke atas, mengikut kenaikan harga. Seperti sekarang, harga naik sehingga RM1.50, maka kami jual dengan harga RM10.90.

"Saya mendapat tahu, harga ini akan naik lagi dalam beberapa hari atau minggu lagi.

"Harga tersebut akan dimasukkan ke dalam caj perkhidmatan. Oleh itu, harga akan jadi lebih tinggi dari sekarang iaitu RM10.90,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca