BEIJING - Sebuah lembangan sungai yang didiami kira-kira 110 juta penduduk dilanda banjir terburuk sejak 1963 walaupun usaha mitigasi berskala besar dilancarkan terutamanya ketika era pemerintahan Mao Zedong. Keadaan itu meruncing di... Klik di sini untuk terus membaca

BEIJING - Sebuah lembangan sungai yang didiami kira-kira 110 juta penduduk dilanda banjir terburuk sejak 1963 walaupun usaha mitigasi berskala besar dilancarkan terutamanya ketika era pemerintahan Mao Zedong.

Keadaan itu meruncing di kawasan yang menjadi tempat pertembungan lima sungai di utara Beijing selepas ribut paling kuat, Taufan Doksuri membadai negara itu pada akhir Julai lalu.

Ia membawa hujan lebat luar biasa di lembangan Sungai Hai, wilayah yang jarang dilanda taufan selain hujan yang tidak pernah dilihat di ibu kota sejak data mula direkodkan kira-kira 140 tahun lalu.

Pada Ogos 1963, kawasan yang menempatkan sistem saliran semula jadi terbesar di utara China pernah berdepan ribut kuat yang membawa hujan lebat dan meragut sekurang-kurangnya 5,030 nyawa.

Kira-kira 22 juta penduduk terjejas banjir malah jutaan terpaksa berpindah setelah lebih 21.7 juta hektar kawasan pertanian atau 76 peratus tapak semaian tenggelam.

Limpahan air Sungai Yongding selepas hujan lebat melandar daerah Mentougou di Beijing pada akhir bulan lalu.
Limpahan air Sungai Yongding selepas hujan lebat melandar daerah Mentougou di Beijing pada akhir bulan lalu.
Limpahan air Sungai Yongding selepas hujan lebat melandar daerah Mentougou di Beijing pada akhir bulan lalu.

Sebagai tindak balas pada masa itu, Zedong yang merupakan pengasas China moden mengarahkan kerja mendirikan benteng sepanjang ribuan kilometer dan membina empangan baharu di bawah usaha 'kawalan kekal'.

Sejak itu, populasi di bandar telah meningkat daripada hanya 16 peratus kepada 64 peratus pada 2022.

Lembangan Hai kini dikelilingi 25 bandar besar dan sederhana.

Penduduk tidak bersedia

Perbandaran yang pesat bermakna penyebaran permukaan konkrit tidak telap dan mengurangkan tanah lembap semula jadi dan paya yang sebelum ini menyerap hujan.

Penghijrahan penduduk ke bandar telah menyebabkan lonjakan projek pembinaan di kawasan berdataran rendah termasuk kawasan simpanan banjir dan berhampiran tasik serta sungai.

Sistem saliran bandar era Soviet China yang menggunakan paip cetek menyebabkan bandar terdedah kepada genangan air semasa hujan lebat, berbeza dengan 'koridor' ribut bawah tanah di bandar seperti Tokyo.

Pasukan penyelamat memindahkan penduduk di kawasan terjejas banjir di Xiamen, wilayah Fujian.
Pasukan penyelamat memindahkan penduduk di kawasan terjejas banjir di Xiamen, wilayah Fujian.

Sejak 2015, kira-kira 30 bandar termasuk Beijing dan Tianjin telah menguji pelbagai sistem tebatan banjir untuk memperlahankan aliran air tetapi banjir teruk pada kali ini telah menimbulkan keraguan tentang keberkesanannya.

Zhuozhou di Hebei merupakan salah sebuah bandar yang terjejas banjir baru-baru ini dan tidak bersedia untuk menghadapi bencana tersebut.

Pada 29 Julai lalu, Pusat Meteorologi Kebangsaan mengeluarkan amaran merah pertama untuk ancaman hujan lebat dalam tempoh 12 tahun.

Tetapi, kebanyakan penduduk mendakwa mereka tidak dimaklumkan tentang keseriusan tahap ancaman itu atau disarankan untuk berpindah.

"Kami agak kecewa. Pihak berkuasa sepatutnya memaklumkan kepada kami lebih awal supaya dapat membuat persediaan menghadapi banjir," keluh seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan.

Kira-kira dua hari kemudian, pihak berkuasa membuka pintu air di tujuh kawasan simpanan banjir berdataran rendah termasuk dua di Zhuozhou yang disifatkan sebagai keputusan tidak dapat dielakkan untuk mengelakkan paras sungai melimpah selain melindungi bandar-bandar di hilir.

Sebuah jambatan utama di Beijing musnah teruk akibat banjir kilat pada awal bulan ini.

"Kemudahan kawalan banjir yang dibina pada 1960-an menyebabkan orang ramai tidak sedar dengan bahaya sebenar jika berdepan cuaca buruk seperti ini.

"Pihak berkuasa seharusnya melaksanakan pelan saliran induk untuk bandar dan pengurusan dataran banjir berdasarkan pemetaan risiko bah berkaitan dengan sungai," kata Naib Presiden Awam dan Infrastruktur untuk China di firma perunding AECOM, Ma Yang.

Data pemerintah menunjukkan ribuan kediaman dan infrastruktur di Zhuozhou yang terletak kira-kira 80 kilometer di selatan Beijing dilaporkan musnah.

Kos kerugian ekonomi secara langsung di kawasan Baoding termasuk Zhuozhou dianggarkan mencecah 17 bilion yuan (RM10.8 bilion).

Di bawah Undang-undang Kawalan Banjir, penduduk di kawasan simpanan banjir berhak mendapatkan pampasan sebanyak 70 peratus daripada nilai kemusnahan harta benda secara total. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca