RAKYAT di enam buah negeri di Semenanjung baharu saja selesai melaksana tanggungjawab demokrasi pada 12 Ogos lalu. Seperti kelazimannya pihak atau parti-parti yang berjaya menumpaskan musuh politik mereka bersorak gembira meraikan... Klik di sini untuk terus membaca

RAKYAT di enam buah negeri di Semenanjung baharu saja selesai melaksana tanggungjawab demokrasi pada 12 Ogos lalu.

Seperti kelazimannya pihak atau parti-parti yang berjaya menumpaskan musuh politik mereka bersorak gembira meraikan kemenangan.

Mungkin ramai yang kurang arif atau tidak mengetahui kaitan antara pilihan raya, ahli politik dan sebuah angkatan tentera yang diberi tanggungjawab terhadap pertahanan dan kedaulatan negara.

Samuel Huntington, seorang pemikir sains politik terkemuka dalam bukunya The Soldier and the State (Tentera dan Negara) menerangkan bahawa pada masa kini, hubungan tentera-masyarakat dilihat bukan dalam konteks tentera sebagai ‘khadam kepada negara’ tetapi berkemungkinan dalam kes-kes tertentu, tentera akan menentang kerajaan sedia ada.

Perhubungan negatif ini menurut beliau berlaku apabila pembangunan organisasi ketenteraan didapati tidak selari dengan pembangunan kerajaan yang mentadbirkan negara selain kerajaan dilantik dilihat tidak mampu memerintah negara dan mengurus keperluan rakyat.

Di negara ini, hubungan tentera-masyarakat-politik berada pada tahap profesional dengan organisasi ketenteraan dan awam mempunyai hubungan akrab dengan kedua-dua pihak memiliki kepakaran, tanggungjawab dan budaya tersendiri.

Dalam perutusan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Hari Malaysia pada 2020, Tan Sri Affendi Buang menyatakan adalah penting untuk setiap rakyat memperkuat semangat patriotisme dan nasionalisme.

Tambah beliau, dengan pengukuhan semangat dan budaya ini, kesatuan antara rakyat dan angkatan tentera akan dapat terbentuk sekali gus berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Semangat patriotisme dan nasionalisme dimaksudkan oleh Panglima ATM tentunya merentasi semua perbezaan, termasuk bangsa, etnik, kepercayaan agama mahupun jantina.

Menurut sebuah badan bukan kerajaan dikenali sebagai Persatuan Patriot Kebangsaan yang dianggotai oleh bekas pegawai dan anggota tentera dan polis, kesaksamaan berlandaskan semangat patriotisme dan nationalisme dalam ATM mula ‘tercemar’ sejak dari tahun 1980-an lagi.

Dalam satu surat terbuka di sebuah portal media bebas pada Disember 2017, persatuan tersebut menyatakan bahawa akibat daripada dasar-dasar tertentu oleh kepimpinan politik yang memberi impak langsung kepada ATM, penyertaan bukan Melayu dalam ketiga-tiga cabang tersebut telah merosot daripada 30 peratus pada lewat 70-an kepada hanya lima peratus pada tahun 2017.

Sama ada apa yang berlaku ini bakal memberi impak kepada keutuhan angkatan tentera sebagai sebuah organisasi kekal profesional dengan nilai patriotisme dan nasionalime tinggi adalah sesuatu yang subjektif.

Trend politik hari ini memperlihatkan bagaimana isu-isu berkaitan sentimen perkauman dan agama begitu ditonjolkan oleh ahli politik dalam usaha meraih sokongan peti undi dan ini mampu menghakis nilai patriotisme tersebut.

Polarisasi ini semakin ketara apabila keputusan pilihan raya diumum. Malah ada gesaan agar kepimpinan politik negara yang dilantik meletak jawatan oleh pihak yang ‘mabuk’ dengan kemenangan pilihan raya negeri.

Ia mungkin dianggap gimik politik semata-mata, namun mampu memberi kesan kepada pelbagai pihak.

Pertelagahan dalam kalangan ahli politik majoriti Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak menampakkan tanda ia bakal reda, malah lebih bercelaru. Ini boleh menyebabkan kepercayaan masyarakat kepada ahli dan institusi politik semakin tipis.

Kurangnya kepercayaan dan keyakinan terhadap ahli dan institusi politik berbanding angkatan tentera telahpun berlaku di United Kingdom.

Pada tahun 2019, pertubuhan Hansard Society yang merupakan badan kaji selidik bebas parlimen Britain telah mengadakan kajian terhadap beberapa institusi di negara tersebut.

Apa yang mengejutkan ialah 74 peratus penduduk awam Britain percaya bahawa pihak angkatan tentera berkemampuan menyelesaikan masalah yang dihadapi demi menjaga kepentingan rakyat.

Ini berbanding antara 29 ke 34 peratus sahaja yang percaya ahli dan institusi politik mampu melaksana perkara sama.

Sememangnya Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan, namun jika ia terus di’kotor’kan oleh ahli dan institusi politik berkepentingan peribadi, apapun boleh berlaku.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca