SEKITAR Julai tahun 1518, seorang wanita bernama Frau Troffea memulakan tariannya di satu jalan di Strasbourg, Perancis.
Dia menari berhari-hari tanpa henti. Ia tak berakhir di situ. Datang pula orang lain, sehingga mencecah jumlahnya sekitar 400 orang.
Mereka terus menari beramai-ramai tanpa mahu berhenti sehinggalah mencecah bulan berikutnya. Ia reda sekitar September.
Fenomena yang tak begitu difahami ini menyebabkan ada yang mati, dan ramai yang pengsan dan koma kepenatan.
Ia direkodkan sebagai Dancing Plague dalam sejarah, dan tidak siapa tahu apakah kegilaan ini.
Agak baharu, sekitar tahun 2001 hal yang agak sama, tapi lain sifatnya berlaku di India. Ia berlaku di New Delhi. Orang sepertinya terlihat kelibat manusia berupa seperti monyet.
Berita monyet besar ini tersebar ke merata bandar, dan di mana-mana orang terasa melihatnya. Ia imej yang menggerunkan. Bahkan monyet besar ini dikatakan juga telah singgah di bandar lain.
Kedua-dua kes ini, yang dalam bidang psikologi, kami namakannya sebagai mass hysteria sebenarnya ialah kisah bagaimana emosi manusia boleh berpindah dari satu orang kepada orang lain. Ia bersifat seperti penyakit yang berjangkit juga.
Cuma bezanya ia adalah perpindahan emosi daripada manusia kepada manusia lain.
Jika orang lain marah, kita pun tumpang berasa marah. Jika orang lain gembira, kita juga berasa gembira.
Sama seperti kita menziarahi pusara ketika ada jenazah mahu diuruskan.
Ada waktunya emosi kita secara automatik bersedih juga, bukan kerana kematian tadi.
Tapi kerana melihat wajah-wajah suram pengunjung yang lain. Itu cerita emosi.
Enam buah negeri baru sahaja selesai pilihan raya memilih kerajaan negeri baharu.
Gabungan Kerajaan Perpaduan terpukul teruk di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Nama-nama besar dalam politik yang penuh yakin dan lantang pidatonya semasa berkempen juga kecundang.
Malah ada calon muda baharu yang tak pun pandai bercakap, hanya tersenyum di atas pentas boleh menang.
Di Selangor pun, yang umumnya ditadbir dengan baik, Perikatan Nasional sepertinya sedang melebarkan sayapnya ke sana.
Di Pulau Pinang, di bahagian tanah besarnya juga, seperti bukan lagi deposit tetap untuk UMNO, parti yang dahulunya dikatakan penjaga hak orang Melayu.
Malah di kawasan Permatang Pauh, legasi Perdana Menteri pun, semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ kalah juga.Dalam politik, ramai orang menyebutnya sebagai gelombang.
Tapi mungkinkah juga ia proses perpindahan emosi tidak puas hati. Orang marah dengan banyak hal. Ia kemudiannya merebak. Antara negeri yang teruk diserang ialah Kedah.
Tapi kelihatannya semakin diserang, serpihan pelurunya melantun balik kepada penyerangnya pula. Kedah pula bersambungan dengan sebahagian daratan Pulau Pinang. Orang yang sama juga mungkin berulang alik antara kedua negeri.
Mereka berbual dan ‘membawang’ sesama sendiri di kedai kopi atau tempat kerja. Jadi emosi tertentu itu telah dikongsikan juga. Ia sama ada emosi menyukai parti tertentu, atau membenci sesetengah ahli politik yang tak mahu mengambil iktibar.
Kelantan dan Terengganu diketahui dua negeri dominan orang Melayu, lubuk Pas. Kelantan pula bersambungan dengan Grik, yang walaupun ialah negeri Perak, tetapi bahasanya hampir mirip dengan loghat di Baling dan Sik di Kedah, kubu kuat Muhammad Sanusi Md Nor, ahli politik yang sangat fenomena.
Adanya TikTok, YouTube dan segala macam media sosial mempercepatkan lagi proses berpindahnya emosi tadi.
Bayangkan jika Perak atau Pahang juga mengadakan pilihan raya negeri, tak mustahil jika emosi ini akan bersambungan terus ke Selangor juga.
Pilihan raya sudah selesai. Rakyat kembali ke kehidupannya. Ahli politik juga perlu kembali ke sarangnya.
Tak seperti kes mass hysteria di Peranchis atau India yang tak diketahui puncanya, sepertinya gelombang politik ini sudah diketahui puncanya. Ia disebut orang di mana-mana.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca