PILIHAN Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru sahaja berlalu. Keputusannya 3-3 mengekalkan status quo iaitu Perikatan Nasional (PN) masih menerajui kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) pula mengekalkan penguasaan ke atas Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.
Berlalu sudah segala kempen yang disaluti sindir menyindir, kritik mengkritik, malah maki hamun antara kedua-dua pihak.
Nampaknya pertengkaran, sorak sorai termasuk menggunakan bahasa celopar di Parlimen telah dibawa oleh ahli politik ke khalayak ramai. Selama berminggu-minggu, rakyat diajar untuk menormalisasikan berbahasa kasar!
Walau apa pun, peribahasa Melayu ada menyebut ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’. Ia membawa maksud dalam sesebuah pertelingkahan, ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Keputusan PRN yang telah berlangsung itu sudah tentu tidak menjamin pertelingkahan antara dua pihak akan terhenti. Siapa saya atau kita yang hendak menasihatkan agar orang berpolitik menghentikan segala perang mulut?
Kita tidak mampu untuk mengatakan ‘sudah-sudahlah bergaduh’ kepada ahli-ahli politik. Mereka lebih tahu, malah mereka lebih pandai untuk menjaga ‘kesopanan dan kesusilaan’ seperti termaktub sebagai teras Rukun Negara yang kelima.
Namun, oleh sebab ia hanyalah lakonan orang politik untuk memanipulasi perasaan rakyat, kita sendiri harus ingat bahawa selepas ini kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada mana-mana parti akan bersalaman serta bergelak ketawa sambil minum kopi di kafe dewan negeri masing-masing.
Rakyat daripada mana-mana pihak yang memilih parti seharusnya menghentikan polemik di media sosial. Kawan-kawan, saudara-mara dan sahabat handai perlulah menghentikan segala pergeseran kerana pilihan raya sudah pun berlalu.
Kita semua hanya ada satu undi yang kita turunkan dalam bentuk pangkah untuk memilih calon kita fikirkan layak bagi menjaga kepentingan kita. Setelah kita memangkah, sebenarnya kita tiada kuasa terhadap mana-mana ADUN yang kita pilih.
Kuasa untuk memilih atau menurunkannya hanya boleh kita lakukan pada lima tahun akan datang. Lama lagi. Apa yang kita ada hanyalah harapan agar mereka yang kita pilih itu menunaikan amanah diberikan oleh kita sebagai rakyat.
Jika mereka tidak berbuat apa-apa, malah mengkhianati janji-janji mereka, kita hanya boleh bising-bising melepaskan perasaan di media sosial. Kita tiada kuasa lain.
Jika ada pun, kita mengharapkan ahli-ahli politik lain, aktivis politik atau mereka daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin untuk menegur.
Sememangnya kita akan menjadi rakyat terbiar apabila mempunyai pemimpin tidak menepati janji. Kita akan malang apabila pemimpin korup atau yang salah laku berbuat tidak tahu kepada segala pembohongan dan penipuan yang mereka lakukan.
Mereka berkata baik dan bermulut manis seolah-olah segala kekotoran yang telah dilakukan itu bukan mereka buat meskipun banyak tertayang video, foto serta dokumen mengenai salah laku tersebut telah tersebar luas.
Kita yang tergelincir dan jatuh basikal pun malu seminggu kerana menjadi bahan lawak orang kampung tetapi mereka yang telah melakukan segala kerosakan kepada alam serta manusia masih boleh tersengih-sengih berdepan dengan masyarakat yang ditipu tanpa jatuh air mukanya.
Kerana itu berpada-padalah apabila kita menyokong atau menentang mana-mana parti politik. Kita berdoa agar mereka yang menang akan menjalankan tanggungjawab. Namun, apa juga keputusan yang mereka buat akan mengambil masa.
Apa juga dasar untuk memberi kemudahan kepada rakyat akan dimulakan bulan depan, sedangkan kita harus selesaikan segala masalah peribadi dan keluarga kita pada hujung minggu ini atau malam ini!
Sebagai individu, kita yang harus memberi janji kepada diri dan keluarga, apakah kemudahan harus dibekalkan untuk melestarikan kehidupan kita.
Jika kita inginkan pemimpin bertanggungjawab, jangan lupa kita juga merupakan pemimpin dalam keluarga. Kita pun pernah berjanji. Jangan lupa janji kita!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca