"TOLONG carikan untuk saya gambar dan maklumat tentang Dale Carnegie, Norman Vincent Peale, Zig Ziglar, Robert Kiyosaki, Les Brown, Mel Robbins, Stephens Covey, Earl Nightingale, Karl Lillrud serta Eckhart Tolle.”
"Baik bos,” dia mengangguk dan keluar dari bilik. Tidak sampai setengah jam kemudian dia muncul semula menghulur pendrive.
"Semua ada dalam ni, bos.” Demikianlah mudahnya hidup zaman ini.
Saya yakin jika ‘arahan’ itu saya berikan 30 tahun lalu, saya mungkin terpaksa menunggu beberapa minggu atau bulan untuk mendapatkan apa disuruh. Itu pun mungkin tidak sepenuhnya. Akan ada maklumat tidak lengkap atau mungkin juga ada nama tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenainya.
Pada masa itu, untuk dapatkan sesuatu maklumat, kita mungkin terpaksa ke perpustakaan dan kedai buku. Sejumlah wang mungkin diperlukan untuk beli buku, akhbar dan majalah yang ada ketikanya perlu pula digunting halamannya untuk dapatkan gambar tertentu.
Anak zaman sekarang mungkin tidak lagi mengenal erti dan maksud ‘menyalin nota’. Mereka tidak perlu lenguh tangan atau kebas kaki kerana terpaksa duduk berjam-jam menulis semula teks daripada naskhah yang jadi sumber rujukan.
Tidak kira apa juga bentuk maklumat dicari, apa yang mereka perlu lakukan kini hanyalah melakukan carian dengan memasukkan sepatah dua kata kunci. Dalam sekelip mata, maklumat itu akan terpampang di depan mata, lengkap dengan gambar dan rantaiannya.
Pilih sahaja mana suka dan untuk menggunakannya tidak perlu terkial-kial menyalin dengan pen, tidak perlu menggunting skrin komputer atau memotong skrin telefon pintar. Ia boleh dilakukan dengan cara lebih mudah, sama ada memuat turun atau secara salin dan tampal (copy and paste).
Salin dan tampal! Itu sebenarnya ingin saya sentuh. Niat menulis mengenainya datang selepas tersedak-sedak ketawa mendengar ceramah seseorang pada musim kempen pilihan raya negeri di enam negeri baru-baru ini.
Si penceramah seorang yang saya ketahui rajin membuat komen politik di pelbagai platform. Dalam komennya dia kerap memetik ayat al-Quran dan hadis, selain petikan kata tokoh-tokoh ternama. Dia juga kerap memasukkan pelbagai maklumat lama dan baharu berkaitan dengan subjek yang dikomen.
Pendek kata, kalau komennya itu dijadikan ukuran, dia memang boleh dikategorikan sebagai ‘ensiklopedia bergerak’. Serba-serbi dia tahu.
Yang menyebabkan saya tergelak semasa dia berceramah ialah apabila dia menyebut memetik kata-kata Buya Hamka tetapi merujuknya sebagai kata-kata Sukarno, petikan Nelson Mandela dikatanya sebagai ‘kata Mahatma Ghandi’ dan beberapa kesilapan lain termasuk pesanan Sayyidina Umar kepada Saad Abi Waqas sebagai pesan Umar kepada Zaid bin Harithah, selain mengatakan Mesir itu terletak di benua Arab.
Sebenarnya dia bukanlah orang pertama yang saya kesan melakukan kesalahan seperti itu. Ia sering berlaku terutama dalam kalangan mereka yang saya gelar sebagai ‘intelek papan kekunci’. Mereka yang cerdik dan bijaknya hanya bergantung pada internet semata-mata.
Rakan-rakan yang menjadi tenaga pengajar di peringkat mana sekalipun tentu pernah berdepan keadaan sama. Ramai pelajar mereka hebatnya cuma di atas kertas tetapi bila disoal berhadapan, akan terkial-kial dan tergagap-gagap.
Itulah harga perlu dibayar hasil daripada berkembangnya budaya ‘salin dan tampal’. Ia menjadikan maklumat dan ilmu tidak melekat dalam hati serta tidak juga tersemat di akal fikiran.
Jauh bezanya dengan kesan pencarian ilmu pada masa dahulu yang kepayahannya secara langsung meningkatkan keupayaan mengingat di samping kebolehan mencerakin maklumat.
Di sisi lain, ‘salin dan tampal’ telah melahirkan generasi tidak lagi menilai erti harta intelek. Salinan dan tampalan dilakukan sewenangnya. Hakikat ia mungkin melanggar hak cipta jarang sekali dipedulikan.
Tidak ada rasa bersalah kerana telah mencuri hasil kerja orang lain untuk faedah diri sendiri. Tidak ada rasa malu kerana membina kepandaian palsu hasil perbuatan seumpama itu.
Sekarang ini ‘salin dan tampal’ berkembang biak sehingga menjadi satu cara hidup. Bukan hanya dalam kalangan marhaen yang terikut-ikut ‘menyalin’ fesyen rambut dan cara berpakaian orang Korea tetapi juga bangsawan politik yang tidak segan silu menyalin idea pemimpin lain lalu mendakwa itu ideanya sendiri.
Itu masih tidak mengapa. Yang lebih menyolok adalah apabila mereka berjanji dan tidak menepatinya. Ia contoh ‘salin dan tampal’ yang paling klasik...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca