SELEPAS 15 tahun, Barisan Nasional (BN) kembali berada dalam Kerajaan Pulau Pinang apabila menang dua kerusi dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15) baru-baru ini hasil gabungan baharu Pakatan Harapan (PH)-BN.
BN 'hilang' dalam radar pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang sejak 2008 apabila ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Pada PRN15, BN menang di kerusi Bertam yang diwakili bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican manakala Sungai Acheh diwakili Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol.
BN berpeluang menganggotai kerajaan negeri semula selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bersetuju melantik seorang Exco daripada UMNO mewakili BN dalam majlis mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP.
Kini tumpuan pastinya ke arah jawatan timbalan ketua menteri di mana secara tradisi jawatan tersebut akan diisi oleh wakil Melayu.
Pada penggal lalu ia diisi oleh wakil daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Ahmad Zakiyuddin bagaimanapun telah digugurkan dalam senarai calon bagi PRN15 oleh partinya.
Nama Reezal Merican disebut-sebut untuk mengisi jawatan timbalan ketua menteri malah, beberapa poster mengucapkan tahniah kepada beliau sudah mula tersebar di media sosial.
Bagaimanapun, Chow Kon Yeow yang baru mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada Ahad lalu mempunyai pilihan apabila PKR memenangi kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) juga menang satu kerusi.
Tokoh akademik, Profesor Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang memenangi kerusi DUN Batu Maung atas tiket PKR juga dikatakan menjadi pesaing Reezal Merican untuk merebut jawatan tersebut.
Jika dilihat dari segi pengalaman, kedua-dua calon ini mempunyai kelebihan tersendiri. Reezal Merican pernah menjadi Menteri Kabinet sebelum ini manakala Mohamad mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran kerana pernah menjadi Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang.
Sama ada Kon Yeow akan mengekalkan 11 jawatan exco kerajaan negeri seperti sebelum PRN15 hanya akan terjawab apabila ketua menteri itu dijangka mengumumkannya pada Rabu.
Sabtu lalu, gabungan PH-BN Pulau Pinang meraikan kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri baharu apabila menang 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jumlah itu bukan sahaja cukup untuk membentuk kerajaan negeri malah mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang berjaya dimenangi.
DAP merupakan penyumbang terbesar apabila menang kesemua 19 kerusi yang ditandingi.
Kerusi yang ditandingi DAP ialah Sungai Puyu, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Berapit, Padang Lalang, Perai, Jawi, Tanjung Bungah, Air Putih, Pulau Tikus, Padang Kota, Pengkalan Kota, Komtar, Datuk Keramat, Sungai Pinang, Batu Lanchang, Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong.
BN menang di kerusi Bertam dan Sungai Acheh manakala Amanah menang selesa di Bayan Lepas.
Sementara itu, tujuh kerusi yang dimenangi PKR adalah di Kebun Bunga, Batu Uban, Pantai Jerejak, Batu Maung, Machang Bubok, Bukit Tengah dan Bukit Tambun.
Klik di sini untuk terus membaca