BERDASARKAN keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lalu, lebih 60 calon kitar semula telah kecundang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi. Termasuk dalam senarai calon kitar semula yang kalah adalah nama-nama... Klik di sini untuk terus membaca

BERDASARKAN keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lalu, lebih 60 calon kitar semula telah kecundang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Termasuk dalam senarai calon kitar semula yang kalah adalah nama-nama besar seperti Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau.

Rina tewas kepada Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid daripada Pakatan Harapan (PH) dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi DUN Batu Tiga. Mahdzir pula kalah di DUN Pedu kepada Mohd Radzi Md Amin daripada Perikatan Nasional (PN).

Ahmad pula gagal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandangnya sejak tahun 1990 selepas tewas kepada Datuk Razali Idris daripada PN, sementara Mahfuz kalah di DUN Alor Mengkudu kepada selebriti bola sepak, Muhamad Radhi Mat Din yang juga daripada PN.

Megat Zulkarnain pula kalah kepada penyandang kerusi DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham daripada PN dan Dominic yang bertanding di kerusi majoriti Melayu di DUN Bayan Lepas tewas kepada calon PH, Azrul Mahathir Aziz.

Mahdzir (kanan) dan Mahfuz antara calon kitar semula yang kalah PRN pada Sabtu lalu.
Mahdzir (kanan) dan Mahfuz antara calon kitar semula yang kalah PRN pada Sabtu lalu.

Melihat senario tersebut, pengaruh nama besar dan pengalaman berpolitik semata-mata dilihat tidak mencukupi untuk calon kitar semula memancing undi rakyat.

Malah Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan calon kitar semula atau calon yang pernah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau pilihan raya lain sebelum ini umpama ‘dinosaur purba politik’ yang telah tamat tempoh berkhidmat kepada rakyat.

"Calon kitar semula ini telah ditolak rakyat dan kebanyakan mereka ketandusan idea baharu, ia bukan sekadar merugikan parti malah membebankan parti.

"Parti politik wajar menjadikan kekalahan calon kitar semula ini sebagai penanda aras atau indikator untuk menapis serta memilih calon bagi pilihan raya akan datang jika tidak mahu hilang peluang menang kerusi berpotensi,” ujarnya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata, pengalaman calon kitar semula terutama dalam kalangan nama-nama besar ini yang pernah memegang jawatan sebagai wakil rakyat, menteri mahupun menteri besar bukanlah jaminan kemenangan.

Ini kerana katanya, terdapat banyak lagi daya penarik undi seperti calon muka baharu, idea segar serta tanpa kontroversi yang boleh menjadi faktor penarik memancing undi.

"Calon kitar semula yang tewas ini sebaiknya dijadikan pesara politik daripada terus menyebabkan parti hilang sokongan serta peluang dalam pilihan raya,” ujarnya.

TIDAK LAGI RELEVAN

Bagi Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Sharifah Nursyahidah Syed Annuar, calon kitar semula tidak lagi relevan bertanding disebabkan beberapa faktor.

"Berdasarkan trend dan kehendak semasa, pengundi mahu calon segar dan dapat melaksanakan program bertepatan dengan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, alasan parti mencalonkan calon kitar semula kerana dikatakan masih memiliki pengaruh dan kekuatan, selain mahu mengekalkan sokongan pengundi senior ternyata tidak membuahkan hasil pada PRN ini.

Namun katanya, pengundian satu perkara dinamik di mana strategi, iklim dan isu politik semasa dapat menentukan jika calon kitar semula masih relevan atau tidak.

"Faktor parti juga memungkinkan kemenangan calon kitar semula."Jika kempen yang dibawa serasi dengan pengundi, selain faktor pesaing yang mungkin kurang dikenali oleh pengundi, maka tidak mustahil calon kitar semula seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mampu menang,” jelasnya.

Selain Azmin, calon kitar semula yang menang adalah antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di DUN Bertam dan Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin di DUN Taman Medan.

Turut menarik perhatian, senarai calon kitar semula paling ramai tewas didahului BN-UMNO seramai 19 orang, diikuti PN-Bersatu (9), PN-Pas (8), Bebas (7), PH-Amanah (6), PN-Gerakan (5), PH-PKR (2), Parti Rakyat Malaysia (2), Parti Sosialis Malaysia (1) dan Penang Front Party (1).

Menurut Sharifah Nursyahidah, kekalahan ramai calon BN-UMNO bukan semata-mata kerana isu calon kitar semula tetapi juga defisit sokongan yang ketara berdasarkan prestasi lemah parti itu pada PRU15 dan PRU14.

"Situasi ini memberikan gambaran pengundi seolah-olah cenderung menolak mereka. Lebih-lebih lagi dengan pakatan PH-BN yang dilihat masih belum serasi atau tidak sesuai.

"Ditambah kontroversi seperti isu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, ia turut menjejaskan peluang BN-UMNO dalam PRN kali ini,” katanya.

- ANTARA SENARAI CALON KITAR SEMULA KALAH PRN

BN-UMNO

Datuk Jahaya Ibrahim - DUN Jeram

Datuk Mohd Isa Abu Kasim - DUN Batang Kali

Datuk Megat Zulkarnain Omardin - DUN Gombak Setia

Shaik Hussein Mydin - DUN Sungai Dua

Suzaini Adlina Sukri - DUN Manek Urai

Mohamed Hasnan Che Hussin - DUN Bunut Payong

Akbar Salim - DUN Apam Putra

Azmi Ishak - DUN Melor

Dr Zuber Hassan - DUN Guchil

Datuk Seri Ahmad Said - DUN Kijal

Datuk Mohd Sabri Alwi - DUN Ladang

Datuk Nik Dir Nik Wan KU - DUN Pengkalan Berangan

Datuk Rozi Mamat - DUN Telemung

Datuk Seri Jailani Johari - DUN Ajil

Datuk Din Adam - DUN Bukit Besi

Datuk Seri Mahdzir Khalid - DUN Pedu

Noor Hasita Mat Isa - DUN Anak Bukit

Datuk Asmadi Abu Talib - DUN Merbau Pulas

Said Ali Said Rastan - DUN Bukit Lada

- PH-PKR

Mohd Yahya Mat Shari - DUN Permatang

Rosidi Hussain - DUN Penanti

- PH-Amanah

Norwani Ahmat - DUN Paroi

Ismail Ghani - DUN Demit

Abdul Kadir Othman - DUN Temangan

Samsu Adabi Mamat - DUN Bukit Panau

Datuk Mahfuz Omar - DUN Alor Mengkudu

Zainal Abidin Saad - DUN Tokai

- PN-Pas

Datuk Mohd Zubir Embong - DUN Seri Setia

Zaidy Abdul Talib - DUN Taman Templer

Mohamed Sukri Omar - DUN Kota Anggerik

Wan Hasrina Wan Hassan - DUN Pelabuhan Klang

Kumar S Paramasivam - DUN Bahau

Mohd Fadli Che Me - DUN Lenggeng

Rafiel Mustapha - DUN Pilah

Kamaruddin Md Tahir - DUN Johol

- PN-Bersatu

Datuk Seri Rina Mohd Harun - DUN Batu Tiga

Sabirin Marsono - DUN Tanjong Sepat

Datuk Suhaimi Mohd Ghazali - DUN Sungai Pelek

Ruby Chin Yoke Kheng - DUN Kampung Tunku

Chen Win Keong - DUN Seri Kembangan

Surash Sreenivasan - DUN Jeram Padang

Gan Chee Biow - DUN Nilai

Datuk Eddin Syazlee Shith-DUN Juasseh

Jamali Salam - DUN Seri Menanti

- PN-Gerakan

Jimmy Chew Jyh Gang - DUN Kota Kemuning

Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai - DUN Bayan Lepas

H’ng Khoon Leng - DUN Padang Kota

Ng Fook On - DUN Sungai Pinang

Oh Tong Keong - DUN Pantai Jerejak

- Parti Rakyat Malaysia (PRM)

Datuk Ezam Mohd Nor - DUN Selat Klang

Ravinder Singh - DUN Pantai Jerejak

- Parti Sosialis Malaysia (PSM)

A Sivarajan - DUN Kota Damansara

- Penang Front Party

Datuk Patrick Ooi Khar Giap - DUN Padang Lalang

- Bebas

Salleh Amiruddin - DUN Kuang

Nurhaslinda Basri- DUN Paya Jaras

Bujang ABU - DUN Sikamat

Mohamad Rafie Ab Malek - DUN Ampangan

Razalif Mohamad Zain - DUN Kebun Bunga

Izat Bukhary Ismail Bukhary - DUN Kota Lama

Mazlan Ahmad - DUN Kuah

Klik di sini untuk terus membaca