SHAH ALAM - Parti UMNO kini diibaratkan seperti kapal Titanic yang sudah sampai ke dasar laut kerana semakin hilang sokongan orang Melayu dan rakyat.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berkata, dengan kekalahan terburuk dalam sejarah parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu, parti itu dilihat sudah mencapai ‘hayatnya’.
Menurut Jayum, apa yang pasti, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah pemimpin yang dapat menyelamatkan parti keramat Melayu itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ahmad Zahid yang mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas keputusan buruk parti itu dalam PRN.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, meskipun UMNO kalah, itu tidak bermakna beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden parti.
Dalam pada itu, Jayum berkata, keputusan untuk melepaskan jawatan atau tidak adalah hak Ahmad Zahid.
"Beliau diberikan jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding. Justeru, ahli UMNO dan umum tidak tahu sejauh manakah beliau benar-benar mendapat sokongan dalam kalangan perwakilan.
"Mengambil tanggungjawab ke atas kelemahan kepimpinan dan meletak jawatan sebagai tanda hormat kepada amanah dan integriti diri bukan sikap dan budaya orang Malaysia berbanding di negara Timur seperti Jepun dan Korea Selatan yang mengamalkannya pada satu sudut agak ekstrem.
"Orang kita lebih suka mencari alasan dan menuding jari kepada orang lain atas kelemahan diri. Mereka juga adakalanya hilang rasa malu jika tidak menjalankan amanah dengan sebaiknya,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca