SHAH ALAM - Pembangkang di setiap negeri disyorkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Pelaksanaan Manifesto sebagaimana di Terengganu bagi memastikan kerajaan lebih serius dalam melaksanakan aku janji semasa pilihan raya. Felo Kanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembangkang di setiap negeri disyorkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Pelaksanaan Manifesto sebagaimana di Terengganu bagi memastikan kerajaan lebih serius dalam melaksanakan aku janji semasa pilihan raya.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, langkah itu bukan sahaja menjadi mekanisme semak dan imbang, tetapi ia juga bagi memastikan kerajaan sentiasa berjaga-jaga dalam menunaikan segala janji yang dibuat.

"Saya sangat bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa sebegini kerana kita nak pastikan manifesto yang diuar-uarkan sebelum ini ditunaikan dan bukannya sekadar satu janji.

"Apa yang berlaku sebelum ini, banyak janji indah yang ditawarkan kepada rakyat tapi gagal dilaksanakan. Dengan adanya kuasa pemantau di pihak pembangkang ini, akan meletakkan pihak kerajaan sentiasa berjaga-jaga.

"Terpulang kepada pihak kerajaan untuk memastikan tindakan seterusnya selepas teguran pembangkang. Pada akhirnya bagi saya, kesannya akan menjadi positif dan pihak yang mengeluarkan manifesto itu lebih serius dalam apa juga aku janji manifesto itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Pakatan Harapan (PH) menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan janji manifesto oleh Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda berkata, jawatankuasa melibatkan wakil daripada parti-parti komponen PH itu akan dibentuk dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, menurut Jeniri, sebagai rakyat tentunya mereka mengharapkan segala janji yang dibuat itu adalah realistik dan bertujuan untuk kebaikan serta meningkatkan taraf hidup mereka.

"Maka, ini sangat baik untuk kedua-dua pihak bukan sahaja untuk pembangkang tetapi kerajaan juga.

"Jadi, kerajaan harus mengambil sikap terbuka dengan segala teguran yang dibuat oleh jawatankuasa ini nanti,” jelasnya.

Pada masa sama, Jeniri berkata, penting untuk kerajaan mempunyai mekanisme sendiri melakukan semak dan imbang untuk memastikan bahawa aku janji itu dilaksanakan, sesuai dengan yang terkandung untuk tempoh lima tahun ini.

"Jawatankuasa dalaman kerajaan itu lebih penting sebenarnya kerana ada banyak manifesto dan inisiatif yang harus ditunaikan.

"Kita tak mahu tiada pihak yang membuat pemantauan sampai kepada pilihan raya akan datang sehingga pada akhirnya rakyat menganggap manifesto itu hanya omong kosong sahaja,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca