PENGENALAN work from home (WFH) agak mengejutkan ramai majikan di negara ini. Malah, sebelum 2020 dan awal pandemik Covid-19, hanya tujuh peratus pekerja di Amerika Syarikat (AS) menikmati faedah WFH. Konsep itu diterima dengan mudah oleh... Klik di sini untuk terus membaca

PENGENALAN work from home (WFH) agak mengejutkan ramai majikan di negara ini. Malah, sebelum 2020 dan awal pandemik Covid-19, hanya tujuh peratus pekerja di Amerika Syarikat (AS) menikmati faedah WFH. Konsep itu diterima dengan mudah oleh Generasi X, Y dan Z.

Dapatan penemuan Kajian Sentimen Pengguna UOB ASEAN baru-baru ini mendapati 74 peratus responden, khususnya Generasi X, Y dan Z bersetuju produktiviti akan bertambah baik jika diberi kebebasan terhadap cara pengurusan serta waktu kerja.

Majikan old school pasti tidak menggemari konsep WFH. Penulis mendapati ramai majikan di negara ini menghentikan WFH sebaik sahaja pandemik diisytiharkan berjaya diatasi sepenuhnya. Ada juga percaya kualiti pekerjaan menurun dengan konsep tersebut.

Microsoft dalam satu analisis berdasarkan pandangan pelbagai pihak turut merumuskan WFH tidak lagi dianggap keutamaan kepada sektor awam dan swasta. Malah, Microsoft menyifatkan WFH sebagai satu kerugian kerana tidak menyumbang secara signifikan kepada pekerjaan.

Tidak hairanlah jika Amazon.com Inc, konglomerat AS yang fokus dalam perniagaan e-dagang, pengkomputeran awan, pengiklanan dalam talian, penstriman digital dan kecerdasan buatan (AI) memberi amaran kepada pekerjanya agar kembali bekerja di pejabat.

Pendedahan itu dilakukan wartawan teknologi BBC News, Shiona McCallum awal bulan ini. Menerusi satu emel amaran, Amazon yang dianggap gergasi besar dunia membayangkan tidak lagi membenarkan WFH selepas mendapati ada kakitangan melakukan penipuan pekerjaan.

Ketika ini Amazon memiliki lebih 1.5 juta pekerja termasuk 950,000 orang di AS, manakala selebihnya di Kanada, Britain, Jerman dan China. Sebenarnya Disney, Starbucks dan Zoom lebih awal berbuat demikian.

Kandungan emel amaran Amazon itu menyebut bermula Mei lalu, pekerja di AS perlu hadir ke pejabat tiga hari seminggu. Tokoh perniagaan berprofil tinggi, Elon Musk juga telah menamatkan WFH atau kerja jarak jauh di Tesla dan Twitter.

Bagi penulis, WFH sesuai ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Seorang rakan editor percaya konsep WFH perlukan kawalan kendiri dan kejujuran ketika bekerja. Industri media digital sangat menitikberatkan kesilapan sifar.

Justeru, WFH tidak akan mengganggu produktiviti dan kualiti pekerjaan sekiranya dilaksanakan dalam kalangan pekerja industri media digital.

Kebaikan WFH paling ketara ialah fleksibiliti, mengurangkan masa dan kos ulang-alik ke pejabat serta potensi peningkatan produktiviti, rentetan pengurangan interaksi sesama rakan sepejabat. Begitu pun, pakar psikologi percaya rakan sepejabat boleh meningkatkan motivasi untuk bekerja.

Sebenarnya ALLAH SWT telah mengkiaskan konsep itu menerusi surah At-Taubah ayat 9:105 bermaksud: "Dan katakanlah, bekerjalah kamu, maka ALLAH dan rasul-Nya serta orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Penulis percaya, WFH mungkin sesuai bagi jenis pekerjaan tertentu, khususnya seni tetapi faktor gangguan, kurang akauntabiliti, masalah teknologi dan cabaran komunikasi perlu diatasi sepenuhnya.

Secara keseluruhan, WFH ialah satu proses yang sesuai untuk meningkatkan kepercayaan diri dan membentuk sikap jujur terhadap tanggungjawab diberikan.

Rakan editor kenalan penulis menegaskan dunia media digital sangat pantas dan perlukan kecekapan. Meskipun terpaksa WFH, tanggungjawab menyelesaikan pekerjaan mesti dilaksanakan dengan apa cara sekalipun.

Di Malaysia, WFH perlukan satu kajian mendalam bagi memastikan kesesuaian pelaksanaannya dan antara perlu diteliti ialah faktor kekurangan pekerja mahir khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat (IT).

Microsoft juga dikatakan sedang memantau corak pekerjaan lebih 70,000 pekerjanya terutama aspek ketegangan dalam kalangan jurutera IT.

WFH ada pro dan kontra. Namun, dalam kondisi terkini, ia mungkin bukan lagi satu keutamaan. Trend gergasi konglomerat dunia menjadi penanda aras bahawa kehadiran fizikal di pejabat adalah satu pilihan tepat.

Kesimpulannya, majikan perlu bijak menangani keperluan semua pekerja sekiranya mahu mendapatkan kualiti pekerjaan secara maksimum.

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca