ALOR SETAR - Kerajaan negeri mahupun Persekutuan seharusnya pertingkatkan infrastruktur asas terlebih dahulu berbanding menunaikan manifesto yang dijanjikan dalam pilihan raya negeri (PRN).
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ini kerana penyediaan kemudahan asas merupakan tanggung jawab setiap kerajaan seperti termaktub dalam perlembagaan negara.
Menurutnya, setelah infrastruktur asas untuk rakyat dilengkapkan, barulah setiap parti politik yang membentuk kerajaan memikirkan kaedah terbaik untuk menunaikan manifesto masing-masing.
"Setelah 66 tahun kita mencapai kemerdekaan, sepatutnya perkara-perkara asas untuk rakyat bukan lagi menjadi satu perkara yang mustahil disediakan.
"Kemudahan asas seperti air bersih, jalan berturap, jaringan jalan raya yang sempurna, akses internet bukan lagi sesuatu yang harus dibincangkan. Ia sepatutnya sudah ada dan bukan lagi dijadikan manifesto oleh mana-mana parti politik,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sehingga kini masih terdapat negeri-negeri yang gagal untuk melaksanakan agenda infrastruktur asas yang menjadi keperluan rakyat.
"Disebabkan itu, mana-mana kerajaan baharu yang menang PRN Sabtu lalu diminta menjadikan perkara ini sebagai fokus utama untuk diselesaikan dalam tempoh setahun dua ini,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, semua pihak harus memahami bidang kuasa bawah Persekutuan, negeri mahupun kerajaan tempatan kerana ketiga-tiga entiti ini termaktub dalam Perlembagaan.
"Sekiranya salah satu daripada entiti tersebut tidak mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain, sukar untuk pembangunan itu dilaksanakan.
"Kita mahukan supaya rakyat dapat sama-sama duduk bawah satu bumbung, yang mana kehidupan ini boleh mengetepikan politik,” jelasnya.
Justeru katanya, semua pihak hendaklah jangan terlampau berpolitik, sudah tiba masanya ketepikan perbezaan politik dengan menjalin hubungan lebih harmoni.
Beliau berharap semua parti politik yang membentuk kerajaan di enam negeri PRN memberi perhatian agar perancangan membangunkan negeri akan menjadi lebih lancar.
"Paling penting sekarang secara tuntasnya selesaikan lah perkara-perkara asas. Selain itu jaga hubungan baik antara negeri dengan Persekutuan termasuk kerajaan tempatan supaya setiap perkara boleh dilaksanakan dengan mudah,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca