SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) sedia menimbang penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau janji manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu. Setiausaha Pas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) sedia menimbang penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau janji manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, perkara itu antara yang bakal dibawa dalam Mesyuarat PN Selangor yang dijadualkan dalam waktu terdekat.

"Setakat ini PN Selangor belum bermesyuarat lagi dan kita ada banyak cadangan untuk dibincangkan termasuklah pelantikan Ketua Pembangkang DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Roslan Shahir, PN Selangor menerusi 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipilih rakyat dalam PRN akan terus menjalankan fungsi semak dan imbang bagi mengetengahkan isu rakyat termasuk janji manifesto Kerajaan Perpaduan.

"Kita akan menilai semula janji manifesto ini termasuk lima tawaran yang ingin dilaksanakan 100 hari pentadbiran kerajaan Selangor,” ujarnya.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula berkata, penubuhan jawatankuasa itu hanya boleh diputuskan di peringkat PN.

"Saya tidak boleh jawab, kena tanya Pengerusi PN Selangor. Semua keputusan dibuat PN kerana kita bertanding atas tiket gabungan ini,” katanya.

Sementara itu, PN Negeri Sembilan tidak menolak untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan manifesto yang ditawarkan kerajaan negeri di bawah gabungan PH dan BN pada PRN lalu.

Setiausahanya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, setakat ini belum ada perbincangan lanjut mengenainya, namun ia antara yang akan diberi perhatian.

"Jika itu yang terbaik, kita akan lakukan dan barisan ADUN kita pun membantu memantau dan bersuara di dalam sidang DUN berkenaan manifesto dan dasar-dasar kerajaan.

"Yang pentingnya setiap tindakan mestilah dapat memberi manfaat kepada rakyat. Tapi dalam pengetahuan saya, ia (jawatankuasa khas) masih belum dibincangkan lagi, tapi saya tak menolak jika ia diwujudkan dan akan membawanya ke pucuk pimpinan parti,” jelasnya.

ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zin pula berkata, beliau bersama empat lagi ADUN PN bersedia memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam sidang DUN Negeri Sembilan.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat pembangkang, mereka secara tidak langsung akan memantau segala janji-janji manifesto kerajaan negeri walaupun tanpa jawatankuasa khas ditubuhkan.

"Apabila dia (PH-BN) berjanji, kena laksanakan. Kita tak mahu ia sekadar janji pilihan raya dan kalau ada yang tak dilaksanakan, kita akan main peranan tanya dalam sidang DUN.

"Tapi individu yang paling tepat untuk bercakap soal ini, biarlah Ketua Pembangkang kita nanti yang akan dilantik dalam waktu terdekat,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca