SHAH ALAM - Proses pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan di Terengganu memerlukan usul itu yang dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) disokong tidak kurang daripada tujuh ahli dan diluluskan dengan majoriti mudah.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Proses pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan di Terengganu memerlukan usul itu yang dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) disokong tidak kurang daripada tujuh ahli dan diluluskan dengan majoriti mudah.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, Terengganu boleh membuat pelantikan itu kerana ia termaktub di bawah Perkara 27(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu.

"Fasal 27(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu menyatakan bahawa DUN boleh pada bila-bila masa membentangkan usul yang disokong oleh tidak kurang daripada tujuh ahlinya untuk melantik ahli bukan Islam atau wanita bagi mewakili kelompok itu jika tidak ada orang bukan Islam dan wanita yang dipilih sebagai ADUN.

"Ia dengan syarat ahli-ahli yang dilantik hendaklah tidak melebihi empat orang. Jadi dalam konteks ini, Terengganu memiliki seorang ADUN wanita, cuma tiada ADUN bukan Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Media pada Selasa melaporkan Terengganu akan memperhalusi kemungkinan melantik ADUN tanpa melalui proses pilihan raya bagi mengimbangi ketiadaan wakil pembangkang dalam DUN.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia perlu diperhalusi berpandukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu dan tiada keputusan dibuat setakat ini.

Dalam pada itu, Khairil Azmin menjelaskan, mengikut Perkara 27(3)(c) ahli yang dilantik itu tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik selain daripada lantikan wanita.

Undang-undang tersebut diperkenalkan semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu antara 1999 hingga 2004.

Menurut Khairil Azmin, dengan mengguna pakai undang-undang itu, kerajaan negeri pentadbiran Pas telah melantik Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Kuala Terengganu, Zuraida Md Noor sebagai ADUN wanita pertama negeri itu pada tahun 2018.

Bagaimanapun berdasarkan pengetahuannya, untuk di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia setakat ini tiada ADUN lantikan dibuat kecuali di Sabah kerana perkara itu tertakluk kepada undang-undang tubuh negeri masing-masing.

"Jadi pindaan ke atas undang-undang tubuh negeri perlu dilakukan sekiranya ADUN tambahan ini mahu dilantik bagi negeri-negeri yang tidak memperuntukkannya,” jelas beliau.

Pas berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri pada Sabtu lalu.

Klik di sini untuk terus membaca