Selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, ramai penganalisis telah menyuarakan pendapat. Kesimpulan yang didapati lebih kurang sama dan mesej paling jelas adalah gabungan kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional... Klik di sini untuk terus membaca

Selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, ramai penganalisis telah menyuarakan pendapat.

Kesimpulan yang didapati lebih kurang sama dan mesej paling jelas adalah gabungan kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) gagal mendapat sokongan majoriti Melayu.

Sebenarnya, keputusan undian awal PRN telah mencerminkan senario yang bakal berlaku. Menurut sumber berita lain, maklumat diterima daripada undi awal anggota keselamatan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN). Keadaan itu boleh disamakan dengan trend undi 1.5 juta penjawat awam.

Misalnya, kerusi Bagan Pinang, Negeri Sembilan – terdapat tiga kem tentera dan peratusan undi tentera sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan pengundi, BN kalah buat kali pertama. Calon BN yang dipertaruhkan bukan calon ‘cokia’ tetapi anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Najib Isa Samad dan kerusi tersebut suatu masa dahulu adalah kubu kuat kerajaan pemerintah. Kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mencari punca peralihan trend undi pos tersebut.

Sebagai anak pesara kerajaan yang mendiami kuarters kerajaan selama 12 tahun, saya masih ingat perbualan penduduk pada era 1990-an. Persoalan sama ada undi boleh diberikan kepada pihak pembangkang ketika itu langsung tidak wujud.

Kesetiaan kepada kerajaan BN tidak berbelah bahagi dan sekiranya terdapat keraguan terhadap kerajaan semasa, tiada yang berani menyuarakan pendapat kerana takut akan diarahkan berpindah ke tempat lain kurang memuaskan.

Trend undi penjawat awam bukan baharu. Ia mula menentang arus kerajaan sejak PRU14. Malah, kerajaan BN pada 2013 membuat persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan peletakan kem tentera.

Kehilangan deposit selamat bagi undi anggota keselamatan dan penjawat awam adalah serius kerana kumpulan berkenaan mempunyai kedudukan sosial tinggi dalam masyarakat serta mampu mempengaruhi pemikiran ahli keluarga dan kawan-kawan terdekat.

Kepercayaan mereka terhadap parti yang konservatif harus diberi perhatian dan disiasat puncanya. Sementara itu, ahli-ahli politik konservatif yang memainkan sentimen bangsa, agama dan institusi diraja (3R) patut diberi pengajaran.

Jika Anwar mahu kekal sebagai Perdana Menteri, beliau patut berpendirian tegas dalam naratif madani dan menyekat individu menyebarkan serta memainkan sentimen 3R. Kebangkitan kumpulan konservatif dilihat sebagai ancaman kepada negara bersifat madani yang ingin dibina.

Malaysia memerlukan Anwar era reformasi yang berani melawan, lantang bersuara dan tidak berdolak-dalik menghadapi musuh arena politik. Suatu masa dahulu, mana-mana individu yang biadab terhadap institusi diraja akan diambil tindakan serta-merta.

Adakah negara ini akan berkembang pesat di bawah pemerintahan kumpulan konservatif? Merujuk kepada contoh di Iran dan Afghanistan, rasanya tidak.

Malah, berdasarkan debat antara antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman yang diadakan beberapa hari sebelum hari mengundi PRN, amat ketara bahawa pihak PN tidak mempunyai pemahaman ekonomi yang baik mahupun jalan penyelesaian untuk menguatkan keadaan ekonomi negara.

Pemulihan ekonomi negara tidak bergantung kepada kestabilan nasional sahaja tetapi Kerajaan Madani yang kukuh untuk lima tahun ini akan memastikan pelabur berkeyakinan tinggi melabur di Malaysia, perniagaan domestik dipacukan dan kesejahteraan rakyat dipelihara.

Anwar perlu memerintah dengan semangat reformasi 1998 dan mengambil tindakan keras kepada mereka yang suka menunggang agama untuk menghalalkan fitnah.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca