KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu bukanlah terlalu mengejutkan buat UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ia adalah lanjutan daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – BN bertanding 178 kerusi dan hanya menang 30... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu bukanlah terlalu mengejutkan buat UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ia adalah lanjutan daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – BN bertanding 178 kerusi dan hanya menang 30 kerusi.

Kali ini pada PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, UMNO/BN bertanding di 108 kawasan tetapi hanya menang 19 kerusi.

Perikatan Nasional (PN) muncul pemenang terbesar kerusi apabila berjaya meraih 146 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 245 kerusi dipertandingkan, sementara sekutu baharu BN, Pakatan Harapan (PH) hanya meraih 80 kerusi.

Orang Melayu telah memberikan mesej jelas pada PRN kali ini. Mereka menolak UMNO dan BN. UMNO telah mencatatkan prestasi buruk dengan hanya menang 19 daripada 108 kerusi majoriti Melayu ditandinginya.

Pengaruh UMNO di Malay Belt – Kedah, Kelantan dan Terengganu hanya nyawa-nyawa ikan. UMNO hanya mampu menang satu kerusi. Lebih memalukan di banyak kawasan, jumlah undi diterima oleh calon UMNO semakin susut berbanding keputusan lepas walaupun pengundi telah bertambah dengan drastik.

Salah satu data keputusan menarik ialah di DUN Ayer Hangat (Kedah), calon BN hanya mendapat tempat ketiga walaupun turut disokong oleh PH. Calon PN, Shamsilah Siru mendapat 10,701 undi mengatasi tiga pencabar iaitu Safwan Hanif Shafie (Bebas-6,877), Hisham Suhaily Othman (BN-4,909) dan Zulfadli Mohd Yusoff (Bebas-134).

Lebih menarik, di sebalik pertambahan jumlah pengundi, calon BN mengalami pengurangan hampir 2,000 undi berbanding keputusan 2018.

Satu-satunya negeri yang menyelamatkan maruah parti ialah UMNO Negeri Sembilan – berjaya memenangi 14 kerusi DUN. Namun, daripada 14 kerusi itu, 10 kerusi UMNO menang dengan majoriti bawah 1,000 undi.

Sama ada UMNO sedar atau tidak, realitinya keputusan PRN lebih teruk daripada keputusan PRU15. Jumlah pengundi Melayu ‘meninggalkan’ UMNO semakin ramai.

UMNO tidak mengambil isyarat jelas pengundi Melayu pada PRU15 yang menolak kepimpinan parti. UMNO juga mengabaikan pandangan hampir 85 peratus pengundi Melayu yang memihak kepada BN dan PN pada PRU15.

Semberono

Bagi majoriti orang Melayu, pembentukan kerajaan campuran dengan PH menunjukkan pemimpin UMNO telah bertindak semberono meletakkan kepentingan diri dan parti melebihi kepentingan orang Melayu.

Walaupun UMNO cuba ‘menjual’ bahawa pembentukan kerajaan itu atas permintaan Yang di-Pertuan Agong, namun ia jelas tidak diterima oleh orang Melayu.

Orang Melayu dapat membezakan antara permintaan pembentukan kerajaan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang membuat kenyataan hanya akan bekerjasama dengan parti-parti lain selain PN.

Ucapan-ucapan pemimpin UMNO selepas pembentukan kerajaan yang mengagung-agungkan DAP juga telah membuktikan bahawa permintaan Seri Paduka Baginda hanyalah untuk mengelabui mata orang Melayu.

Kemungkinan keputusan PRN ini tidak akan mengubah apa-apa keadaan dalam UMNO. Jika demikian, bukanlah mengejutkan UMNO akan perlahan-lahan tenggelam seperti tenggelamnya kapal Titanic.

Sehingga hari ini UMNO tidak berminat dengan isyarat-isyarat yang diberikan oleh pengundi tradisionalnya iaitu Melayu sederhana (moderate). UMNO lebih berminat mempertahankan sudut pandang mereka, berbanding memenangi hati nurani orang Melayu.

UMNO dan BN sebenarnya masih berpeluang kembali menjadi kuat. Ketika ini negara dipisahkan oleh dua sayap bertentangan – PN dilihat aliran kanan yang konservatif Melayu, manakala PH dilihat aliran kiri yang liberal.

Sebahagian besar rakyat negara ini pula mahu melihat parti aliran sederhana – the centre atau centrism. Ia ruang yang masih ada untuk UMNO dan BN. Namun, ruang dan masa merencana pemulihan UMNO semakin mengecil.

Untuk pulih, UMNO memerlukan kepimpinan baharu yang dipercayai oleh orang Melayu, berkebolehan dan bersedia mengembalikan idealisme perjuangan parti. Ia bukan jalan mudah kerana kebanyakan mereka sudah dipecat, digantung dan disisihkan daripada kepimpinan arus perdana.

*Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca